Sambil menafikan dakwaan Dr Syed Husin Ali, YB Datuk Zulkifli Noordin mendakwa bekas Timbalan Presiden PKR itu diperalatkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyerang bekas-bekas aktivis PKR daripada terus membongkarkan kebenaran.
“Begitu terdesaknya Anwar Ibrahim sehingga terpaksa menggunakan khidmat “anjing-anjing pencen” untuk menyerang para pejuang kebenaran dan anti-kebatilan termasuk saya, YB Senator Ezam Mohd. Nor dan lain-lain.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Syed Husin tesebut. Sebaliknya saya ingin menegaskan bahawa Syed Husin sepatutnya lebih tahu apa yang dikisahkan beliau itu (adalah) satu pembohongan” katanya dalam tulisan terbaru di blognya, zul4kulim.blogspot.com. Menurutnya, dakwaan Syed Husin yang dipetik oleh portal pro Anwar, Malaysiakini berdasarkan buku, “Memoir Perjuangan Politik”, tulisan bekas Timbalan Presiden PKR itu yang menuduhnya meminta RM60,000-00 sebagai pertukaran untuk mengosongkan kerusi parlimen adalah tidak benar.
“Sebenarnya Syed Husin sendiri yang berjumpa dengan saya mewakili Anwar Ibrahim untuk menawarkan (kepada) saya supaya mengosongkan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu dengan menyatakan bahawa jika saya bersetuju mengosongkannya, Anwar berjanji akan menawarkan jawatan tinggi kepada saya di dalam mana-mana GLC Kerajaan Selangor dengan imbuhan bulanan antara RM50,000—00 sehingga RM60,000-00 sebulan!”, tegasnya.
Katanya, Syed Husin juga turut meyakinkannya bahawa Anwar akan mengotakan janjinya itu kerana beliau juga mendapat janji yang sama supaya mengosongkan jawatan Timbalan Presiden PKR untuk diberikan kepada Azmin Ali.
“Syed Husin memberitahu saya kalau dia mengosongkan kerusi Timbalan Presiden PKR untuk memberi laluan kepada Azmin Ali, Anwar menjanjikan dia jawatan Senator.
“Syed Husin kata dia juga teringin nak menjadi Yang Berhormat tetapi bila bertanding asyik kalah, malah nak dicalonkan bertanding di Parlimen Kota Bharu pun ditolak kerana dilabel sebagai ‘anak kominis’ oleh kepimpinan PAS pada masa itu. (maka) jadi Senator adalah jalan mudah untuk dia menjadi Yang Berhormat melalui “pintu belakang!”, katanya.
Menurutnya, beliau telah memberitahu Syed Husin yang juga bekas Presiden PRM tentang kesediannya mengosongkan kerusi Parlimennya, dan dalam masa sama turut menolak tawaran Anwar tersebut.
“Saya memberitahu Syed Husin bahawa walaupun saya memang bersedia mengosongkan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baru, saya bertegas menolak tawaran jawatan CEO GLC Selangor tersebut kerana perjuangan saya bukan untuk imbuhan.
“Kalau itu yang saya cari, lebih baik saya menjalankan khidmat sebagai seorang peguam.
“Malahan saya menegaskan kepada Syed Husin, selama lebih 10 tahun saya menjadi antara peguam utama Anwar, sehingga disumbat dalam tahanan ISA, saya tidak pernah meminta atau dibayar walau satu sen pun daripada Anwar sebagai imbuhan khidmat guaman saya. Semuanya percuma dan pro-bono”, katanya.
Katanya, beliau tidak ada masalah dengan petisyen pilihanraya yang dikemukakan oleh calon Barisan Nasional, Datuk Aziz Sheikh Fadzir kerana beliau telah bersedia dengan hujah pembelaan yang mantap.
Sebaliknya, dalam proses pembelaan itu, beliau telah disabotaj oleh Anwar dan beberapa kepimpinan pakatan pembangkang.
Namun, katanya, sabotaj itu tidak berjaya dan beliau masih mengekalkan kerusi parlimen tersebut.
Zulkifli tidak mendedahkan sabotaj dalaman yang dimaksudkannya itu dan berjanji akan mendedahkannya pada masa yang sesuai.
Menurutnya, beliau mula meluat dengan kepimpinan PKR bukan disebabkan isu wang, tetapi isu agama.
“Ini jelas pada peringkat awal lagi.. selepas 8 Mac 2008 ..saya mengambil sikap mempertahankan dan membela Islam apabila rakan sekutu Anwar iaitu Bar Council dan Ambiga Sreenavasan mahu mengadakan ‘Forum Masuk Islam’.
“Forum itu menerima bantahan keras dari pelbagai pihak termasuk Raja-Raja Melayu, NGO-NGO, pertubuhan-pertubuhan dan tokoh-tokoh masyarakat termasuk beberapa kepimpinan pembangkang sendiri.
“Tindakan saya mengetuai umat Islam menghalang Forum tersebut sangat tidak disenangi (oleh PKR), malah Anwar Ibrahim (sendiri) telah membentuk satu Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan oleh Syed Husin untuk mengambil tindakan disiplin terhadap saya”, katanya.
Menurutnya, Syed Husin yang ketika itu Timbalan Presiden PKR telah mengarahkannya agar meminta maaf kepada Datuk Ambiga Sreenavasan, dan Majlis Peguam dengan alasan Ambiga dan organisasinya adalah penyokong pakatan pembangkang.
Syed Husin memberitahunya, arahan tersebut datang dari Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.
“Saya masih ingat Syed Husin yang menyatakan bahawa Anwar mengarahkan dia supaya meminta saya meminta maaf secara terbuka kepada Ambiga Sreenavasan dan Bar Council, kerana mereka (adalah) penyokong Pakatan.
“Mereka bagi undi kepada kita, kata Syed Husin. Tidak apa, kalau meminta maaf sekarang, kerana bila kita berkuasa (nanti), Anwar kata “taulah kita apa nak buat dengan mereka””, katanya.
Zulkifli memberitahu Syed Husin, bahawa beliau tidak akan memohon maaf kepada Ambiga kerana beliau tidak kesal dengan tindakannya itu, malah berkata jika Majlis Peguam melakukan aktiviti yang sama pada masa akan datang, beliau akan membantah dengan lebih keras lagi.
“Syed Husin menyatakan kepada saya bahawa ‘awak ini tidak sealiran dengan pemikiran Pakatan yang liberal’, dan beliau memberi amaran bahawa Anwar akan pastikan saya akan membayar harga yang mahal untuk sikap tegas saya mempertahankan Islam saperti ini.
“Saya menjawab dengan tegas, saya mengutamakan Islam dahulu, ahli parlimen kedua. Saya mungkin bukan Muslim yang terbaik, tetapi saya akan buat yang terbaik untuk Islam!”, katanya.
Katanya, Anwar begitu terdesak mahukan kerusi parlimen itu dikosongkan selepas bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis pada 28 Jun 2008 mengadu dirinya diliwat Ketua Umum PKR itu.
“Anwar sendiri selepas itu berjumpa dengan saya dan menawarkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah beberapa GLC ternama Kerajaan Selangor dengan tawaran gaji puluhan ribu dengan pelbagai kemudahan, syaratnya saya mesti mengosongkan kerusi Ahli Parlimen dengan segera.
“Saya menolak tawaran jawatan dengan imbuhan lumayan tersebut, sebaliknya menyatakan saya bersedia untuk tidak membela kes petisyen tersebut dan membiarkan mahkamah mengisytiharkan kerusi Parlimen itu kosong untuk membolehkan satu Pilihanraya Kecil diadakan”,katanya.
Tindakannya itu tidak disukai Anwar, kerana katanya, Anwar mahu menjadi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang bila pendakwaraya membawa kes pertuduhan meliwat stafnya itu ke mahkamah.
“Kata Anwar, kalau mereka membawa juga pendakwaan terhadapnya kerana meliwat stafnya Saiful, sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang, dia akan gunakan sepenuhnya parlimen dan Inter Parliamentary Union (IPU) dan badan antarabangsa lain untuk menekan Kerajaan Malaysia supaya tidak meneruskan pendakwaan terhadapnya.
“Apabila mahkamah menangguhkan kes tersebut, saya dipanggil oleh Anwar menyatakan bahawa dia membuat keputusan untuk mengarahkan Wan Azizah mengosongkan kerusi Permatang Pauh supaya Pilihanraya Kecil dapat diadakan segera.
“Lagipun kata Anwar, dia kurang yakin boleh menang di Parlimen Kulim Bandar Baharu, sebaliknya yakin boleh menang di Permatang Pauh. Jadi Anwar kata tidak perlu saya kosongkan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu”, katanya.
Menurutnya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut mengadu kepadanya bahawa beliau telah dipaksa oleh Anwar untuk mengosongkan kerusi parlimen Permatang Pauh.
“Saya juga dipanggil oleh Wan Azizah yang memaklumkan kepada saya bahawa dia dipaksa oleh Anwar untuk mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh.
“Jelas (menunjukkan) Wan Azizah berada dalam keadaan tertekan semasa perjumpaan itu kerana beliau bersedih dan menangis semasa memaklumkannya kepada saya.
“Malah Wan Azizah membuat komen ‘apa yang I dapat, (setelah) berkorban macam-macam untuk Bang Non (Anwar). Kalau I yang kena macam dia you ingat Bang Non nak berkorban macam I ke? Kata Wan Azizah sambil mengalirkan airmata!”, katanya.
Bang Non adalah panggilan Wan Azizah kepada Anwar.
Zulkifli menasihati Wan Azizah supaya tidak melepaskan kerusi Permatang Pauh, dan turut memberitahunya bahawa Anwar turut memujuknya untuk mengosongkan kerusi parlimen Kulim Bandar Baharu dengan janji untuk memberi jawatan CEO dan Ahli Lembaga Pengarah di beberapa GLC di Selangor.
Katanya beliau terkejut dengan jawatan spoantan Wan Azizah yang tidak mempercayai janji suaminya, Anwar.
“Takkan you percaya janji Bang Non ?”, kata Wan Azizah kepadanya.
Menurutnya, berdasarkan latar belakang kejadian di atas, ternyata tuduhan Syed Husin Ali dalam bukunya berkenaan dirinya adalah satu rekayarsa untuk menyerang kredibiliti dan kewibawaannya.
Anwar marah kepada Zulkifli setelah bekas peguam bela kes liwat I itu berjaya membongkar pembohongan, penipuan dan putar belit politik Anwar Ibrahim yang tidak dapat disangkalnya.
Oleh itu, katanya, Anwar tiada pilihan lain kecuali mengarah Syed Husin menulis buku dengan memasukkan kisah rekasyasa untuk memusnahkan kredibiliti musuh politiknya.
“Pada saya, rakyat semakin matang dan bijak hari ini. Mereka tidak lagi boleh diperbodohkan oleh para politikus kalkatus yang rakus mahu merampas Putrajaya dengan cara kotor dan jijik melalui politik pembohongan, penipuan, putar belit dan apa sahaja cara kotor untuk menghalalkan matlamat demi memenuhi nafsu untuk bersemayam di Putrajaya”, tegasnya. AIDC