CUBA bayangkan apa yang akan berlaku jika mat rempit mahu berunding dengan polis untuk mengadakan perlumbaan haram. Mereka berhujah, akan mengikut arahan jika polis menentukan haluan yang perlu mereka ikuti.
Mereka juga berkata, apa salahnya perlumbaan haram kerana ia boleh menarik orang ramai dan ini sekali gus akan menguntungkan peniaga dan pemandu teksi?
Hujah mereka lagi, ini hak asasi mereka sebagai rakyat Malaysia, kenapa hendak dihalang? Apa yang dibentangkan ini mungkin nampak pelik dan aneh kerana mustahil satu kegiatan haram hendak dibenarkan oleh pihak berkuasa.
Tetapi apa bezanya hujah ini dengan kenyataan pemimpin-pemimpin pertubuhan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
Pengerusi Bersih, S.Ambiga mahu polis menyediakan laluan khas kepada mereka berarak dalam himpunan haram Bersih pada 9 Julai ini manakala Mohamad Sabu berhujah hairan dengan sikap pemandu teksi dan peniaga yang membantah himpunan haram tersebut.
Lebih menyakitkan hati, Mohamad Sabu berkata, ''Kalau meniaga di tempat tiada orang, suruh mereka pi (pergi) meniaga di Hulu Tembeling. Tempat tiada orang boleh laku...''.
Jelaslah pemikiran pemimpin Bersih dan pembangkang dalam soal melanggar undang-undang ini tidak ada bezanya dengan mat-mat rempit yang terus berdegil berlumba di jalan raya. Mereka tidak peduli kesusahan pengguna jalan raya lain asalkan niat mereka tercapai.
Begitu juga penganjur dan penyokong Bersih. Mereka juga tidak peduli sama ada ia akan memberi kesan buruk kepada orang ramai atau tidak, apa yang penting bagi mereka ialah berarak di jalan raya kononnya bagi menuntut sebuah pilihan yang bersih dan adil.
Atas sebab itulah, langkah polis menutup pintu rundingan dengan kelompok berkenaan amat tepat. Masa untuk berlembut sudah berakhir, tiada lagi pujukan, rayuan mahupun perbincangan tetapi sekarang adalah masa untuk bertindak. Ini memandangkan demonstrasi pada tarikh tersebut mempunyai seribu satu kesan buruk kepada negara.
Hasil risikan PDRM setakat ini sudah jelas membuktikan himpunan haram berkenaan adalah petaka kepada Malaysia jika ia berlangsung.
Keamanan negara akan tergugat, kehidupan rakyat akan terjejas, imej Malaysia akan tercalar dan perkembangan ekonomi tanah air kita akan terbantut.
Mungkin inilah yang dimahukan oleh Ambiga, Mohamad Sabu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin DAP dan Pas yang lain.
Kedudukan Malaysia yang diiktiraf sebagai negara ke-19 paling aman di dunia, berada di kedudukan kedua di Asia dan pertama di ASEAN akan terjejas teruk dengan himpunan haram tersebut.
Itu belum lagi mengambil kira bagaimana pelabur-pelabur asing akan membatalkan kehadiran mereka ke negara ini jika himpunan haram itu mencetuskan huru-hara. Justeru tidak keterlaluan jika mereka yang mahu mengadakan himpunan haram berkenaan boleh dianggap sebagai 'perosak negara'.
Kalau mereka benar-benar memikirkan kesan kepada rakyat dan negara berikutan himpunan haram itu sudah pastilah mereka tidak akan meneruskannya. Tetapi malangnya, mereka bukan sahaja menunjukkan kedegilan malahan terus melakukan tindakan melanggar undang-undang dan adab sopan.
Mereka cuba menunjukkan keangkuhan, kedegilan dan kebiadapan dengan memakai kemeja T Bersih yang diharamkan bukan sahaja ketika berkempen mengajak orang ramai ke himpunan tersebut tetapi juga ke dalam Dewan Rakyat.
Malahan Ambiga dan pemimpin parti pembangkang begitu angkuh menyatakan akan tetap meneruskan himpunan haram biar pun apa juga tindakan pihak berkuasa.
Begitu juga dengan tindakan penyokong-penyokong Pas yang ada antara mereka bersedia menjadi penyumbang dana bagi membiayai penunjuk perasaan ke Kuala Lumpur, biar pun penyumbang dana itu meraih keuntungan dalam perniagaan hasil daripada kemakmuran negara di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
Oleh itu apa lagi peluang yang hendak diberikan kepada kelompok-kelompok yang tidak tahu bersyukur dan mementingkan agenda politik serta peribadi mereka semata-mata. Kelompok ini sememangnya tidak harus 'diberi muka' kerana sanggup menggadaikan masa depan negara demi kepentingan mereka.
Jika mereka boleh menunjukkan kedegilan dan keangkuhan, kenapa pihak berkuasa tidak boleh menunjukkan sikap yang sama demi menjaga keamanan dan kemakmuran kehidupan jutaan lagi rakyat Malaysia.
Pembangkang dan NGO seperti Bersih perlu diajar supaya menghormati serta memahami undang-undang negara, jangan memutar-belit dan memperalatkan undang-undang serta Perlembagaan demi perjuangan sempit mereka.
Berdasarkan kepada keadaan itu adalah wajar jika mereka yang cuba melakukan sabotaj kepada keamanan, ketenteraman dan ekonomi negara ini ditahan dan dikurung termasuklah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Mungkin pembangkang akan berhujah tindakan itu zalim tetapi bagaimana dengan hasrat mereka untuk menghuru-harakan negara pada 9 Julai ini? Apakah itu tidak zalim?
Rakyat Malaysia bukan bodoh dan tidak tahu berfikir, mereka tahu bagaimana hendak melahirkan perasaan jika tidak berpuas hati dengan kerajaan mahu pun pembangkang. Mereka tidak akan terpedaya untuk turun ke jalanan bagi menumbangkan kerajaan.
Mereka sudah buktikan dalam tahun 2008 apabila memastikan pakatan pembangkang yang disertai oleh PKR, DAP dan Pas menguasai Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta menentukan Pas terus berkuasa di Kelantan.
Ia belum lagi mengambil kira bagaimana pengundi menyerahkan 82 kerusi Parlimen kepada pembangkang sehingga ramai ahli politik ternama BN tumbang.
Kalau benar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus, pilihan raya kita berlangsung secara tidak bersih dan tidak adil, maka sudah tentu kuasa mutlak rakyat itu terpadam begitu sahaja.
Persoalannya, adakah himpunan haram ini berkaitan dengan pilihan raya atau ia mahu dijadikan medan untuk membalas dendam serta mengalih isu yang sedang melumuri pembangkang? Atau apakah ada agenda lain yang lebih besar? Apa agenda berkenaan?
Dalam soal ini tidak perlulah pembangkang berbohong kerana pihak berkuasa sudah mengetahuinya! Sekarang masa untuk tindakan lebih tegas dan keras demi keselamatan rakyat dan negara kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah beri peringatan bahawa, ''kerajaan tidak takut untuk bertindak''.- Utusan