Najib Garis Lima Risiko Dan Cabaran Baharu Perlu DiHadapi


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan lima risiko dan cabaran baharu yang perlu dihadapi negara iaitu dalam isu geopolitik; keselamatan dan keamanan; ekonomi; mendahulukan kepentingan rakyat; serta masa depan dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Dalam perutusan Aidilfitri bertemakan 'Lembayung Silaturahim 1Malaysia Asas Kejayaan Rakyat dan Negara' yang disiarkan di televisyen malam ini, perdana menteri berkata dalam isu geopolitik, Malaysia sedang berdepan dengan cabaran risiko geopolitik baharu dunia yang serius.

Antaranya membabitkan krisis di antara negara-negara Islam di Teluk, program nuklear Korea Utara dan implikasi Brexit, katanya.

"Sudah tentu, kesemua perkembangan ini perlu diteliti dengan sebaik-baiknya, kerana jika krisis ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, ia boleh menjejaskan kemakmuran negara serantau dan antrabangsa," katanya.

Dalam soal keselamatan dan keamanan pula, perdana menteri menyeru semua rakyat di negara ini agar mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan fahaman atau ideologi ekstremisme dan terorisme seperti IS serta militan Daesh, yang telah menyalahtafsirkan konsep jihad dalam Islam.

Katanya, Islam itu adalah agama yang damai dan sejahtera dan bagi menjunjung kesuciannya, umat Islam perlu berpegang teguh dengan 'The Authentic Islam' iaitu ajaran Islam Sejati dalam pengertian yang sebenar-benarnya.

Selain itu, dalam era siber dan media sosial hari ini, Najib turut mengingatkan umat Islam untuk bijak menyaring maklumat dan ancaman fitnah serta tohmahan palsu yang disebarkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

"Namun begitu, saya berasa bersyukur kerana negara ini masih terus mengecapi nikmat keamanan. Malah, beradasarkan Indeks Keamanan Global 2017, Malaysia telah berjaya mengekalkan kedudukan sebagai negara ketiga paling aman di rantau Asia dan ke-29 daripada 163 negara paling aman di dunia," katanya.

Dalam bidang ekonomi pula, perdana menteri berkata, meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, ekonomi negara telah berkembang pada kadar di luar jangka iaitu 5.6 peratus untuk suku pertama tahun ini, berbanding 4.5 peratus pada suku keempat tahun lalu.

Malah katanya, pada Mac lalu, buat pertama kali dalam sejarah nilai eksport telah mencecah RM80 bilion iaitu pencapaian tertinggi eksport secara bulanan.


Malaysia juga katanya telah diiktiraf oleh firma antarabangsa iaitu BAV Consulting and Wharton School dari Amerika Syarikat sebagai negara yang terbaik untuk pelabur bagi tahun ini, sementara majalah Forbes pula telah meletakkan Malaysia di kedudukan paling atas dari kalangan negara Asia untuk pelaburan asing.

"Namun demikian kita tidak akan cepat berpuas hati dan mudah berasa selesa dengan kejayaan-kejayaan itu, sebaliknya kerajaan akan terus membawa Malaysia menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah memastikan negara kekal berdaya saing dalam ekonomi global," katanya.

Sementara itu, di bawah isu mendahulukan kepentingan rakyat, Najib berkata kerajaan telah menyalurkan pelbagai bantuan dan inisiatif seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, projek-projek perumahan rakyat, rumah mampu milik, Klinik 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia yang bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat khususnya golongan B40 dan M40.

Dalam memberikan keselesaan dan kesinambungan yang lebih bersepadu kepada masyarakat pula, perdana menteri berkata projek-projek Infra Rakyat seperti My Rapid Transit (MRT), Lebuhraya Pan Borneo, Projek Rel Berkelajuan Tinggi, LRT Extension dan projek Laluan Rel Pantai Timur turut sedang dirancakkan.

Di bawah isu masa depan dan TN50 pula, perdana menteri berkata menjengah ke masa hadapan, dunia kontemporari kini berada di ambang Revolusi Industri Keempat.

Demi mewajahkan masa depan negara menuju TN50, Najib berkata beliau mahu melihat lahirnya generasi Khayra Ummah yang cemerlang, berwibawa, kukuh jati diri individu, bangsa dan negara, selaras dengan gerakan Ekspresi Negaraku Malaysia.

"Sekaligus mendoakan agar kita sama-sama akan berjaya menjulang Malaysia yang makmur, pada kedudukan 20 negara termaju di dunia kelak. Insya-Allah," katanya.

Mengakhiri perutusannya, Najib turut menyeru umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia untuk mengeratkan perpaduan dan perkukuhkan ukhuwah serta persaudaraan dan mengetepikan segala perbezaan, selain menikmati keharmonian sedia ada di bawah lembayung silaturahim 1Malaysia. - Bernama
Najib Garis Lima Risiko Dan Cabaran Baharu Perlu DiHadapi Najib Garis Lima Risiko Dan Cabaran Baharu Perlu DiHadapi Reviewed by Empayar Pemuda on 2:57 PM Rating: 5

No comments:

Popular

Powered by Blogger.