Stadium Nasional Bukit Jalil Titik Tumpu Perhimpunan Ulang Tahun Ke-71 UMNO


Semangat UMNO yang bersatu padu, siap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14, akan dirasai dalam sambutan ulang tahunnya ke-71 esok, dan dijelmakan menerusi perhimpunan besar-besaran anggota yang setia kepada parti di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Acara itu disifatkan oleh pemerhati sebagai perhimpunan terbesar parti dan berkemungkinan yang terakhir sebelum berlangsungnya pilihan raya umum yang dinanti-nantikan itu.

Kira-kira 140,000 anggota parti dari seluruh pelosok tanah air dijangka membanjiri stadium itu untuk bersama-sama Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memperingati penubuhan parti yang sejak lebih tujuh dekad mempertahankan dan membangunkan bangsa .

Ketibaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO sekitar 8.20 malam akan disusuli dengan acara penyampaian hadiah Karnival Sukan dan pertandingan esei kreatif serta video pendek bersempena sambutan ulang tahun itu.

Pada 9 malam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dijadual menyempurnakan acara larian masuk bendera ‘Sang Saka Bangsa’ ke dalam stadium sekali gus menamatkan acara larian bendera UMNO itu yang bermula sejak 1 Mei lalu secara serentak di Perlis, Kelantan, Johor dan Sabah.

Hadirin akan memberi sepenuh tumpuan apabila Najib berdiri di rostrum untuk menyampaikan ucapannya yang dijangka sarat dengan mesej perpaduan dan kesinambungan perjuangan parti pada masa depan.

Ia juga dijangka dimuatkan dengan kata-kata semangat buat bekalan anggota parti dalam menghadapi PRU14 yang bakal menjelang di kala UMNO berdepan dengan pelbagai cabaran yang dilontarkan musuh parti.

Majlis itu juga bakal menyaksikan pelancaran pembangunan menara 70 tingkat KL Putra dan penyampaian Anugerah Tokoh Melayu Terbilang kepada tiga penerima.

Bagi menghargai kehadiran anggota parti, acara cabutan bertuah yang menawarkan hadiah bernilai kira-kira RM1 juta termasuk enam kereta dan 10 motosikal akan turut diadakan.
Stadium Nasional Bukit Jalil Titik Tumpu Perhimpunan Ulang Tahun Ke-71 UMNO  Stadium Nasional Bukit Jalil Titik Tumpu Perhimpunan Ulang Tahun Ke-71 UMNO Reviewed by Empayar Pemuda on 11:00 PM Rating: 5

No comments:

Popular

Powered by Blogger.