DUN Sarawak Lucutkan Kelayakan Wakil Rakyat Dap Dr Ting Tiong Choon



Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini melucutkan kelayakan wakil rakyat DAP Dr Ting Tiong Choon sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut pada persidangan DUN hari ini.

Speaker Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar membuat keputusan itu, dipercayai kes pertama di Malaysia, selepas Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh membentangkan usul untuk melucutkan kelayakan Dr Ting.

Wong membuat usul itu atas dasar wakil rakyat DAP berkenaan mempunyai kerakyatan Australia yang dilepaskannya pada 4 April 2016, tiga minggu sebelum berlangsungnya pilihan raya negeri.

Beliau juga berkata Dr Ting telah diisytiharkan muflis dua kali di Australia di bawah Pihak Berkuasa Kewangan Sekuriti Australia pada 24 Jun 2012 dan 11 Sept 2012.

Wong berkata Dr Ting sebagai warganegara Australia, juga merupakan pengundi berdaftar di Australia.

Beliau berkata semua itu melanggar Perkara 17(1)(G) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Beliau berkata atas pelanggaran ini, Dr Ting tidak layak menjadi anggota DUN dan patut dilucutkan kelayakan kerana beliau telah memberi ikrar kesetiaan kepada negara lain.

Wong berkata DAP dalam tergesa untuk mendapatkan calon bagi kerusi itu, telah gagal menyiasat latar belakang calonnya untuk mewakili parti dan harus menyesali tindakannya.

Usul itu telah mencetuskan pertikaman lidah antara Mohamad Asfia dan Wong serta Pengerusi DAP Sarawak Chong Cheng Jen dan Dr Ting.

Apabila perkara itu dikemukakan untuk pengundian, 70 ADUN menyebelahi manakala 10 anggota daripada DAP dan PKR menentang usul itu.

Pelucutan itu akan menyaksikan pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Miri.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Chong berkata DAP akan mengkaji aspek hilang kelayakan itu untuk tindakan undang-undang dan menambah ia bukan perkara yang mudah untuk mencabar keputusan berkenaan.

Beliau berkata DUN itu sepatutnya menghormati keputusan Mahkamah Pilihan Raya Miri yang telah membuat keputusan sebaliknya.

“Sebenarnya, keputusan seperti ini telah mentafsirkan Perlembagaan Negeri dan tugas ini sepatutnya dilakukan oleh mahkamah.

“Ini adalah hari yang amat menyedihkan bagi kerajaan negeri dan negara. Ini adalah persendaan terhadap keadilan dan malah bukti yang kononnya dikemukakan adalah lemah dan tidak akan diterima oleh mahkamah,” katanya.

Dr Ting menyifatkan keputusan itu sebagai tidak demokratik, terutama bagi pengundi Pujut, tetapi berkata perkara tersebut tidak akan memburukkan reputasi DAP di kawasan terbabit.

Pada pilihan raya negeri, Mei tahun lepas, Dr Ting, yang menjalani latihan sebagai doktor perubatan di Australia, meraih 8,899 undi untuk memenangi kerusi Pujut, menewaskan pencabarnya, calon Barisan Nasional Hii King Chiong yang mendapat 7,140 undi, calon PAS Jofri Jaraiee (513 undi) dan calon Bebas Fong Pau Teck (375 undi).

Sementara itu Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui berkata kini terpulang kepada Speaker Dewan untuk memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kekosongan kerusi itu.

“Kemudian terpulang kepada SPR untuk membuat keputusan. Pada masa sama, DAP boleh membuat pilihan untuk mencabar keputusan itu di mahkamah. Mereka boleh memfailkan injunksi terhadap pilihan raya kecil,” katanya.

DUN Sarawak Lucutkan Kelayakan Wakil Rakyat Dap Dr Ting Tiong Choon DUN Sarawak Lucutkan Kelayakan Wakil Rakyat Dap Dr Ting Tiong Choon Reviewed by Empayar Pemuda on 5:00 PM Rating: 5

No comments:

Popular

Powered by Blogger.