Thursday, March 9, 2017


Semua masjid dan surau di seluruh negara disaran mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat ini bagi memohon kesejahteraan daripada Allah SWT supaya dikurniakan keselamatan dan kesejahteraan kepada negara yang sedang berdepan krisis hubungan diplomatik dengan Korea Utara khususnya penahanan 11 rakyat Malaysia di republik berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, solat hajat tersebut boleh diteruskan sehingga kemelut tersebut selesai.

“Justeru, saya meminta semua masjid utama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat ini dan berterusan sehingga kemelut selesai.

“Di samping itu, saya juga memohon kerjasama dan jasa baik Majlis Agama Islam Negeri-negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri agar turut sama mengadakan solat hajat di semua masjid di negeri masing-masing bermula pada tarikh berkenaan bagi mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada Malaysia dan seluruh rakyatnya.

“Saya menyeru semua umat Islam di seluruh negara agar dapat beramai-ramai menunaikan solat hajat tersebut sejurus selepas solat Jumaat. Kita amat berharap agar konflik ini dapat diselesaikan dengan baik serta rakyat Malaysia di Korea Utara dapat kembali ke tanah air dengan selamat,” katanya dalam kenyataan malam tadi. - UTUSAN ONLINE

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.