Tuesday, February 21, 2017



Keadilan syariat Islam dapat ditegakkan dengan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) kerana pindaan itu dapat meninggikan kedudukan Mahkamah Syariah yang sebelum ini telah ‘dipenjarakan’ oleh penjajah.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, mana-mana pihak yang menghalang perkara itu umpama menjadi wa­kil kepada penjajah terhadap umat Islam.


“RUU 355 adalah permulaan bagi melaksanakan sebahagian daripada syariat Islam yang adil kerana dapat menghapuskan halangannya, walaupun ia dalam perkara yang tidak ada nas al-Quran dan hadis tetapi para ulama Usul Fiqh menetapkan kaedah: ‘Apa-apa yang tidak disempurnakan yang wajib me­lainkan dengannya maka ia menjadi wajib’,” katanya dalam ke­nyataan yang di­siarkan menerusi portal berita parti itu, harakahdaily.net, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, peris­tiwa memperjuangkan RUU 355 menempa sejarah kerana melibatkan semua kalangan umat Islam yang berada di medan para ulama, ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengamal undang-undang, ilmuwan, mahasiswa, media, seniman, pasukan keselamatan, jentera kerajaan dan rakyat di semua lapisan.

Beliau berkata, mereka yang terpisah daripadanya seperti kam­bing yang terpisah daripada kawanan yang mudah menjadi mangsa serigala liar yang berkeliaran.

Dalam pada itu, Abdul Hadi meminta semua pihak mengambil pengajaran daripada sifat iblis yang mempunyai perangai takbur yang merasa dirinya mengetahui segala-galanya dan dirinya me­lebihi daripada yang lain sehingga mencabar ilmu Allah.

Kata beliau, iblis yang ingkar kerana sifat takbur tidak mengikut pe­rintah Allah supaya hanya sujud menghormati ciptaan Allah iaitu Nabi Adam (makhluk manusia) iaitu satu perintah yang lebih mudah daripada RUU 355.

Beliau menjelaskan, setiap orang Islam wajib beriman kepada semua ajaran Islam dan bercita-cita menegakkannya walaupun tidak mampu melaksanakannya, tetapi tidak harus menafikan suruhan itu.

“Contohnya seseorang yang tidak ada kemampuan untuk me­nunaikan haji menjadikan haji tidak diwajibkan ke atas dirinya pada masa ini, tetapi haram dia menegaskan hukum haji tidak wajib secara dasarnya.

“Begitulah juga ketidakmam­puan untuk melaksanakan undang-undang jenayah yang dinaskan di dalam al-Quran kerana tiada kuasa politik, tidak menasakhkan hukum wajib beriman kepadanya, bahkan ia menjadi kewajipan untuk diperjuangkan, menjadi cita-cita dan keazaman yang diberi pahala walaupun tidak melaksa­nakannya,” tegas beliau. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.