Monday, April 18, 2016


Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2016) bermula hari ini 18 sehingga 21 April 2016 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) , penganjuran edisi ke 15 ini mencipta sejarah tersendiri setelah 28 tahun penganjurannya.

Untuk rekod , penganjuran kali ini muncul sebagai penganjuran yang berjaya menarik penyertaan tertinggi melibatkan 1,200 peserta pameran serta 60 buah negara termasuk kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS), Turki, China, Perancis, Jerman, Rusia, Uni­ted Kingdom (UK), Poland, Pakistan dan Korea Selata.Malah penganjuran DSA 2016 ini juga telah menarik sebanyak 7 buah negara baharu terdiri daripada Belarus, Bosnia Herzegovina, Kanada, Belanda, Rusia, Emiriah Arab Bersatu dan Ukraine. 

Jika diamati DSA 2016 bolehlah dianggap sebagai kesinambungan daripada penganjuran LIMA yang sentiasa mendapat perhatian dari seluruh dunia.Walaupun begitu DSA 2016 tetap mempunyai ciri-ciri atau kelebihan tersendiri apabila ia bukan sahaja berkaitan dengan pameran tetapi turut melibatkan Program Belia DSA 2016 yang turut melibatkan belia dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta, alumni khidmat negara dan Yayasan Sukarelawan Malaysia.


Istimewanya Program Belia DSA 2016 dengan kerjasama antara Kementerian Pertahanan, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pengajian Tinggi yang julung-julung kali diadakan ini adalah ia membuka peluang serta pendedahan kepada 500 golongan belia berdasarkan kepada potensi yang dimiliki dalam bidang pertahanan dan keselamatan dan menjadi platform penting untuk mendidik mereka bagi menjadi pakar dalam bidang berkenaan.

Selain dari itu platfrom ini juga dapat memupuk golongan muda agar memahami betapa seriusnya satu-satu negara yang berdaulat itu dipertahankan selain merupakan elemen terpenting kepada sebuah negara kerana ia menjadi penentu kepada kestabilan yang bakal mengundang banyak kebaikan dari segi ekonomi , sosial , budaya dan lain-lain.

Memetik kenyataan Menteri Pertahanan Malaysia , Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein beliau berkata “Kita boleh beri pendedahan dalam bidang pertahanan kepada semua pihak terutama anak muda. Apa yang mereka perlu tahu ialah aspek kepemimpinan dan cabaran dalam konteks keselamatan dan pertahanan negara.

“Ini hanyalah permulaan dalam menghadapi cabaran seterusnya pada masa akan datang kerana hala tuju Kementerian Pertahanan melibatkan semua pihak sama ada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak lain,” katanya.

Selain dari itu penganjuran DSA 2016 turut mampu memberikan kesan kepada pembangunan negara melalui industri pertahanan.Jika dilihat dalam konteks ekonomi , DSA 2016 bukan sahaja menjadi pentas kepada para peserta dari seluruh dunia mempromosikan produk mereka tetapi turut menjadi platform kepada perkongsian idea dan teknologi malah yang lebih penting adalah menjalin perkongsian pintar serta memulakan kerjasama sinergi dan strategik.

Dalam satu kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum penganjuran DSA 2016 bermula beliau telah menyatakan bahawa sesungguhnya industri pertahanan sedang ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan kecanggihan pertahanan dan teknologi yang berkaitan terutamanya di bidang aeroangkasa dan kepakaran. 

Pada masa sama, industri ini diyakini mampu memberi kesan kepada ekonomi negara melalui nilai tambah yang tinggi dalam pekerjaan, pembangunan kemahiran dan penembusan rantaian bekalan global.Dari sudut ketenteraan, pembangunan industri pertahanan ditumpukan kepada kemampuan untuk bergantung kepada sumber alat ganti dan sokongan logistik tempatan, pengubahsuaian, pembaik pulih dan peningkatan tanpa (atau dengan minimum) bantuan asing. 

Sebagai contoh, Malaysia akan melancarkan lebih banyak tawaran 'perimbangan pertahanan' yang akan menyaksikan lebih 60 peratus daripada kandungan dan nilai tempatan serta pemindahan teknologi ke negara kita.Perlu disebut, dalam tempoh 20 tahun kebelakangan, Malaysia sudah menerima dorongan kuat daripada kerajaan untuk mempromosikan industri pertahanan tempatan yang mampu menyokong pembangunan negara dan mencerminkan inisiatif kerajaan menggabungkan keperluan teknologi tinggi, aktiviti nilai tambah dan tenaga pekerja berkemahiran tinggi kepada matlamat pembangunan negara.


Dan lebih menarik dalam ucapan perasmian siang tadi beliau bukan sahaja menyebut tentang soal pembangunan ekonomi melalui industri pertahanan , mendidik golongan muda agar memahami konsep keselamatan tetapi turut mengingatkan kepada semua betapa pentingnya kesiapsiagaan pertahanan bagi melindungi rakyat.

Dalam ucapannya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kajian Institut Keamanan dan Penyelidikan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) mendapati perbelanjaan global bagi ketenteraan pada 2015 dianggarkan berjumlah US$1.68 trilion (RM5 trilion), meningkat kira-kira satu peratus daripada 2014.

"Perbelanjaan dunia Barat bagi pertahanan berkurangan, tetapi perbelanjaan ketenteraan di Asia dan Oceania meningkat 5.4 peratus pada 2015, rantau paling pesat berkembang di dunia, malah mengatasi Timur Tengah yang dilanda konflik," katanya.

Peningkatan perbelanjaan ketenteraan di Asia menunjukkan wujudnya sikap berhati-hati tentang keselamatan serta menyerlahkan betapa pentingnya langkah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Urusan kami adalah melindungi nyawa dan berkhidmat kepada orang ramai. Malah, kami perlu bersiap sedia pada setiap masa untuk menghadapi malapetaka yang mungkin berlaku".

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.