Friday, July 11, 2014



Kerajaan diminta menggunakan segala saluran diplomatik atau ekonomi untuk membantu mengurangkan kesengsaraan penduduk Palestin yang diserang Israel di Gaza.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, pihaknya menyelar sekeras-kerasnya tindakan dan sikap kejam rejim Israel ke atas rakyat Palestin terutamanya dalam bulan Ramadan.

"Kita minta kerajaan berusaha melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dan mungkin Amerika sendiri bagi memberi tekanan kepada kerajaan Israel.

"Kita sedia menawarkan khidmat bakti sukarela sekiranya ada misi kemanusiaan yang dihantar kerajaan terutama badan kebajikan UMNO sendiri," katanya.

Khairul Azwan berkata demikian selepas majlis solat hajat selamatkan Gaza di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada malam Khamis.

Turut hadir, Ketua Penerangan Pemuda, Jamawi Jaafar.

Pada Khamis, wartawan dan aktivis dari Gaza, Omar Ghraieb, berkata angka kematian pada hari kedua sahaja sudah mencecah 72 orang dengan lebih 500 orang tercedera.

Sementara agensi media AFP pula melaporkan, 70 orang terbunuh apabila serangan memasuki hari ketiga.

Dalam pada itu kata Khairul Azwan, ahli Pemuda di seluruh negara diminta mengadakan solat hajat di kawasan masing-masing dan berdoa kepada keamanan masa depan Gaza.

Ketika ditanya perbezaan di antara kepimpinan Pemuda kini berbanding dahulu terhadap isu rejim Zionis, ini katanya;

"Kita sedar sejak beberapa tahun lalu beberapa tekanan dibuat, namun nampak gayanya kerajaan rejim Israel keras hati dan tidak berperi kemanusiaan. Kita terus mengharap kerajaan memberi tekanan diplomatik dan inilah cara Pemuda."

Khairul Azwan turut mengajak rakyat negara ini untuk turun berhimpun di perkarangan PWTC selepas solat Jumaat (11 Julai) untuk menyatakan sokongan kepada Palestin sekali gus kecaman terhadap serangan tentera Israel.


1 comments:

Anonymous said...

Wujudkah Pemuda UMNO di Malaysia? Atau Pemuda UMNO wujud untuk masalah berkaitan luar negara saja sebab selama ini bila islam di hina dinegara kita.kita tak pernah dengar pun suara Pemuda UMNO. Agaknya Pemuda UMNO beroperasi dari Mongolia kot.

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.