Friday, July 4, 2014



Polis akan menubuhkan pasukan khas untuk membanteras kegiatan judi haram di semua peringkat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar).

Beliau berkata dengan penubuhan pasukan berkenaan, ia dapat memerangi kegiatan judi haram dan melakukan lebih banyak tangkapan di semua peringkat.

"Sejak akta pencegahan jenayah diwartakan pada 1 April tahun ini, hasilnya tujuh orang penganjur yang terbabit dalam kegiatan judi haram ditangkap di bawah akta itu. Untuk banteras kegiatan mesin judi ini, Op Dadu diteruskan bukan sahaja di peringkat IPD (ibu pejabat polis daerah) malah di balai-balai," katanya kepada pemberita sebelum majlis berbuka puasa bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perak di Ipoh hari ini

Berhubung dakwaan Persatuan Pengguna Islam bahawa pusat perjudian haram tetap beroperasi semula walaupun ia kerap diserbu pihak berkuasa, Zahid berkata ada kebenaran berhubung dakwaan itu kerana ketika serbuan dilakukan penganjur menukar kod komputer, oleh itu tiada bukti menyatakan bahawa kegiatan itu adalah aktiviti perjudian dan mereka beroperasi semula pada keesokannya.

Beliau berkata pihaknya masih tidak berpuas hati dengan serbuan, tangkapan dan tindakan undang-undang yang dilakukan dalam memerangi kegiatan itu.

Sehubungan itu, Zahid berkata KDN meminta kerajaan negeri menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), pihak berkuasa air dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memainkan peranan dalam membanteras kegiatan itu.

Katanya masyarakat sering menyalahkan polis dalam hal demikian, sedangkan pasukan itu tidak lari daripada menjalankan tanggungjawab kerana dalam memberi lesen kepada pemilik pusat hiburan keluarga ia di bawah bidang kuasa PBT.

"KDN minta PBT menarik balik dan tidak keluarkan lesen baru kepada pihak yang membuka pusat hiburan keluarga ini, kita minta TNB potong bekalan elektrik, pihak berkuasa air mesti memotong bekalan air dan pihak SKMM mesti ambil tindakan ikut proses undang-undang sedia ada," katanya.

"Polis umpamanya melakukan operasi dadu khas yang menumpukan kepada rampasan mesin perjudian, untuk menentukan supaya mesin berkenaan dirampas dan perundangan dilakukan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata setakat ini pihaknya menyerbu 9,358 pusat perjudian haram berbanding 1,584 tahun lepas.

"Sebanyak 4,728 kertas siasatan dibuka manakala 657 kes dituduh mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka dan 504 kes dituduh di bawah Seksyen 5(2) Enakmen Hiburan dan 3,001 kes lagi masih dalam siasatan," katanya. – Bernama, 3 Julai, 2014.

** Di Pulau Pinang masih banyak lagi pusat judi haram beroperasi seperti biasa dan EP diberitahu ada diantara pusat-pusat judi ini mengupah gengster tempatan untuk menakutkan masyarakat setempat dan menjaga pusat tersebut supaya mereka dapat beroperasi tanpa sebarang gangguan.. 


2 comments:

Anonymous said...

Ada judi haram. Ada judi halal. Hanya di negara bolehland

Anonymous said...

banyak permintaan banyaklah penawaran. tolak bab kelainan agama, permintaan mana-mana kaum adalah sama aje tingginya. ia nampak berbeza kerana satu kaum dibolehkan masuk premis berlesen sementara kaum yang tidak dibenarkan masuk premis berlesen nak masuk premis mana? ha ha kat depan flan tu pun okey jer lah.

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.