Tuesday, March 11, 2014


Teka-teki siapa dua suspek yang guna passport curi menaiki pesawat MH370 yang hilang Sabtu lalu terjawab petang Isnin selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan kepada media.

Polis mengesahkan seorang daripada penumpang yang menaiki pesawat MH370 dengan menggunakan pasport yang dilaporkan hilang dan milik orang lain itu adalah warga Iran yang bercadang untuk berhijrah ke Jerman, kata Khalid.

Beliau mendedahkan identiti lelaki itu sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19 tahun.

"Kita telah semak latar belakangnya. Kita juga telah semak profailnya dengan pihak polis di negara lain dan kita percaya dia tidak mungkin anggota mana-mana kumpulan pengganas," kata Khalid.

Pouria Nour menggunakan pasport Austria milik Christian Kozel yang disahkan dicuri di Phuket, Thailand.

Khalid turut mengesahkan semua yang membeli tiket menaiki pesawat MH370 yang hilang ketika penerbangan ke Beijing, awal pagi Sabtu.

Beliau berkata, siasatan dijalankan terhadap semua rakaman video, termasuk dengan jabatan lain dan latar belakang semua penumpang MH370.

Menurutnya lagi, polis kaji empat aspek dalam penyiasatan terhadap kehilangan pesawat MH370 iaitu rampasan, sabotaj, masalah psikologi penumpang dan kru dan masalah peribadi.


Pengumuman Khalid mengenai warga Iran itu selari dengan hasil siasatan polis di Thailand yang mendapati dua penumpang MH370 dengan pasport curi itu mungkin pelarian yang mencari suaka.

Ia berdasarkan kepada tempahan tiket harga paling murah serta laluan transit Kuala Lumpur-Beijing-Amsterdam sebelum menuju ke destinasi akhir masing-masing ke Copenhagen, Denmark dan Frankfurt, Jerman.

"Berdasarkan kepada tempahan tiket saja, sekiranya keganasan, mereka tentunya mengkhususkan laluan dan pesawat yang hendak dinaiki," kata Ketua Polis Pattaya, Supachai Puikaewcome seperti dipetik oleh Reuters pada Selasa.

Penumpang pasport curi itu dibantu oleh dua warga Iran yang menguruskan tempahan tiket daripada sebuah agensi pelancongan yang sudah dilanggani oleh orang tengah itu sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Aloyah Mamat berkata dua penumpang pasport curi itu menggunakan pasport yang sama untuk masuk dan keluar dari Malaysia. 

"Kita tidak dapat kesan. Sistem (pasport) kita biometrik. Saya tidak pasti pasport mereka ada biometrik atau tidak," katanya, sambil menegaskan semua protokol keselamatan sudah dipatuhi.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman pada Isnin memaklumkan siasatan berhubung isu pasport curi itu kini bertumpu kepada aspek penglibatan sindiket pasport. - AgendaDaily

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.