Wednesday, March 12, 2014



Pemilihan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, 23 Mac ini dilihat sebagai strategi parti itu untuk menagih simpati pengundi kawasan berkenaan.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, strategi meraih simpati seumpama itu tidak diamalkan Barisan Nasional (BN) yang mencalonkan Datin Paduka Chew Mei Fun berdasarkan imejnya yang bersih, komited dan dapat menumpukan sepenuh masa mendengar denyut nadi penduduk Kajang.

Katanya, kriteria tersebut tidak akan terdapat pada diri Wan Azizah yang pasti sibuk dengan komitmennya terhadap parti dan keluarga.

"Kita tegaskan bahawa langkah BN di Kajang tidak bertaut kepada perasaan simpati, namun sebagai komitmen untuk menjamin masa depan Kajang adalah lebih baik.

"Sehubungan itu, kita letakkan Mei Fun yang terbukti berjaya menggalas imej seorang wakil rakyat yang komited dalam menjaga kebajikan pengundinya.

"Mei Fun memiliki testimoni cemerlang dan berpengalaman luas dalam kerjanya termasuk di Parlimen Petaling Jaya Utara sebelum ini. Ini yang kita tawarkan bukan seperti Wan Azizah yang membawa luahan simpati terhadap suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pemuda BN di Ibu Pejabat UMNO, di sini hari ini.

Semalam, Wan Azizah diumumkan sebagai calon di DUN Kajang yang mana dilihat sebagai strategi meraih simpati setelah Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas Anwar pada Jumaat lalu kerana didapati bersalah di atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008.

Dalam pada itu, Khairy memberitahu, pencalonan Wan Azizah walau bagaimanapun tidak memberi kesan kepada gerak kerja BN dan Pemuda akan meneruskan usaha memperluaskan penerangan berhubung isu-isu semasa dan polisi-polisi kerajaan terhadap penduduk Kajang.

Jelasnya, jentera Pemuda BN akan turun padang dan membahagikan tugas dalam usaha membantu calon bagi kedua-dua calon PRK di Kajang dan Balingian dalam masa terdekat ini.

Selepas itu, kata beliau, parti komponen akan memberi fokus terhadap usaha meningkatkan sokongan golongan muda terutama melibatkan masyarakat yang diwakili oleh mereka menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Kita juga tidak mengharapkan calon ketiga (selepas penarikan diri Datuk Zaid Ibrahim) kerana kita mahu penduduk Kajang mengundi kita kerana sokongan mereka terhadap BN, bukan sebab lain," katanya.- Utusan


0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.