Thursday, February 6, 2014


Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak sepatutnya membiarkan kehadiran Pengerusi Rakhine Nationalities Development Party (RNDP), Dr Aye Maung ke negara ini.

Sebaliknya penjenayah perang seperti Aye Maung perlu diusir segera dari negara ini kerana dibimbangi boleh mencetuskan suasana tidak sihat.


Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu bertegas dan menyiasat kehadiran Aye Maung ke negara ini kerana dikhuatiri mempunyai agenda tertentu yang boleh menimbulkan perselisihan faham antara kaum di negara ini.

"Siapa tidak kenal dengan Aye Maung yang sebelum ini pernah didedahkan oleh media antarabangsa sebagai perancang utama pembersihan etnik di Myanmar dan mangsanya pula adalah etnik Muslim Rohingya.

"Sebagai negara yang Islam yang berdaulat, KDN tidak sepatutnya membenarkan dia masuk ke negara ini kerana boleh menyebarkan fahaman yang mengakibatkan kegelisahan dan ketakutan dalam kalangan sesiapa pun di negara ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mohamed Hafiz berkata, walaupun sebelum ini beberapa laporan polis dibuat oleh NGO Islam di Kuala Lumpur namun sehingga kini tiada tindakan oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, pihak berkuasa sudah pasti sedang menunggu arahan daripada Ahmad Zahid yang sepatutnya memandang serius perkara itu.

Aye Maung dilaporkan menghadiri upacara khas di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor baru-baru ini.

Dia yang tiba di negara ini sejak 30 Januari lalu dan kini dikatakan berada di Pulau Pinang.

Aye Maung merupakan pengerusi suruhanjaya yang ditubuhkan oleh kerajaan Myanmar untuk menyiasat insiden rusuhan etnik di Rakhine, Yangon baru-baru ini,

Bagaimanapun, suruhanjaya itu didakwa bersikap berat sebelah terhadap masyarakat Islam Rohingya oleh gabungan sembilan persatuan etnik Rohingya di United Kingdom, Jepun, Jerman, Australia, Thailand, Denmark, Norway dan Liga Demokrasi Rohingya di Myanmar.

Sementara itu, Mohamed Hafiz menyeru seluruh umat Islam menganjurkan solat hajat di seluruh negara memohon agar ALLAH memelihara dan menyelamatkan umat Islam Rohingya dari kezaliman serta keganasan yang bersifat perkauman di Myanmar. - SINAR

1 comments:

Anonymous said...

Negara kita mestilah tegas seperti negara Jepun dan US yg menghalang org2 yg boleh mengugat keamanan, keharmonian serta tidak diingini masuk ke dalam negara mereka utk membuat perancangan huru-hara.

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.