Monday, December 2, 2013


Persidangan Mahasiswa Nasional (Pemanas) sempena Perhimpunan Agung UMNO mencatat sejarah kepada para mahasiswa apabila mereka diberikan peluang untuk berucap pada perhimpunan agung sayap UMNO.

Jika sebelum ini, hanya wakil kelab UMNO Luar negara akan berucap di Perhimpunan Agung UMNO, namun pada kali ini mahasiswa dan mahasiswi akan mempunyai wakil mereka di perhimpunan agung Pemuda dan Puteri.

Pengerusi Biro Intitusi Pengajian Tinggi (IPT) UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan jurucakap berkenaan akan membawa usul yang akan diagih-agihkan nanti hasil daripada usul yang diterima pada persidangan mahasiswa hari ini.

Menurut beliau sebanyak 36 usul dapat dikumpulkan dan daripada jumlah tersebut, 10 usul politik, 7 pendidikan, 10 ekonomi dan 9 daripadanya adalah usul agama dan ianya datang daripada anak muda yang sayang pada perjuangan UMNO.

“Walaupun pahit untuk ditelan tetapi anak muda yang ada di depan saya ini sayang pada perjuangan UMNO. Suara itu bukannya datang daripada pembangkang tetapi datang daripada pemimpin kita.

“Dalam dewan ini juga kita ada satu kejayaan. Sejak Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda tidak pernah kita dengar mahasiswa dan mahasiwi dijemput untuk hadir muktamar Pas…persidangan DAP….persidangan PKR.

“Tetapi hari ini mahasiswa dan mahasiswi bukan setakat hadir tetapi diberi ruang dan peluang untuk berucap memberi pandangan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Ini satu kejayaan bukan untuk kita banggakan…ini satu kejayaan sebab kita benar-benar rasa pentingnya mahasiwa dilibatkan dalam kita membuat satu-satu dasar.

“Dan mahasiswa boleh menilai parti yang mengiktiraf sumbangan mereka dalam membentuk kepimpinan negara pada masa akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Persidangan Mahasiswa Nasional (Pemanas) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013, di sini, hari ini.

Persidangan pada kali ini berkonsepkan ala persidangan Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas. Pesertanya terdiri daripada 75 orang wakil KULN dan 75 orang daripada mahasiswa dalam negara.

Sementara itu pada sidang media, Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata peluang yang diberikan kepada mahasiwa dan mahasiswi untuk berucap buat pertama kalinya di perhimpunan sayap tentunya akan memberi suntikan semangat kepada golongan tersebut dalam pembinaan negara.

“Usul dan persetujuan yang dicapai tadi sebahagiannya berhubungkait dengan institusi muda, peremajaan dapat dibangkitkan pada persidangan sayap dan baki mengenai dasar samaada pendidikan, ekonomi, agama dan politik boleh nanti kita asingkan untuk dibawa pada persidangan agung UMNO.

“Proses seterusnya saya difahamkan akan dipilih di kalangan mereka untuk dimasukkan dalam senarai jurucakap. Mereka ini akan duduk untuk pengagihan usul kelak dan jurucakap tersebut bawa mandat PEMANAS. Jurucakap ini kena kupas nanti,“ ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa puas hati perjalanan dan kejayaan Persidangan Mahasiswa Nasional hari ini.

“Sangat puas hati..sambutan baik percaya PEMANAS ini dapat kita jadikan salah satu kaedah untuk diteruskan. Kenapa saya katakan berpuas hati… Ini benda baru..kalau tidak ada sambutan baik dan kerjasama daripada semua pihak saya percaya apa yang kita laksnakan ini akan temui kegagalan dan kepuasan itu dapat saya kongsi bersama dengan yang lain,“ katanya. -MediaUMNO

1 comments:

Anonymous said...

aiii...kate mahasiswa kerjanye belajar.kalau mahasiswa jd jurucakap pembangkang camne ye....kena berhenti belajar ke.maklum dekan2 U ni mrmang ramai OKU (ORANG KUAT UMNO)

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.