Friday, May 17, 2013


Azmin Ali ialah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR). Dia tentu arif dengan disiplin parti. Bila membuat kenyataan terbuka mengkritik Dr. Wan Azizah Ismail dan sekali gus Anwar Ibrahim tetapi tidak dalam mesyuarat, ia dilihat sebagai kehilangan adab kepada kepimpinan tertinggi.

Azmin melakukan itu tidak seorang diri tetapi dengan Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR dan kepimpinan PKR yang lain. Hairan juga bagaimana parti yang bercita-cita hendak memerintah Malaysia mempunyai disiplin musyawarah yang sangat lemah.

Lebih pelik lagi penentangan Azmin yang sangat terbuka terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Kenyataan twitnya mengkritik cara Selangor ditadbirkan sama seperti Barisan Nasional (BN) mengkritik. Isu sampah, longkang dan air dibangkitkan dengan jelas. Tidakkah kenyataan ini ada kesan disiplin terhadap PKR?

Isunya pakatan pembangkang masih mahukan Abdul Khalid menjadi Menteri Besar. Bagaimana sekarang Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR hendak berhadapan dengan Abdul Khalid dan kerajaan Selangor sekiranya tanggapan negatif masih melekat di benak Azmin. Bolehkah kerajaan Selangor ditadbir dengan baik sekiranya perpecahan dalam kepimpinan PKR terjadi?

Di sinilah letaknya keupayaan Anwar sebagai Ketua Umum PKR untuk menyelesaikan masalah. Krisis yang disedari ini berlaku sejak beberapa tahun lalu. Pemilihan kepimpinan PKR beberapa tahun lalu banyak melibatkan campur tangan Anwar terutama kedudukan Azmin sebagai Timbalan Presiden.

Politik ditelan mati emak, diluah mati bapa ini menyebabkan Anwar menjadi terlalu kerdil di sebalik dakwaan pengikutnya, malah dalam kalangan pakatan pembangkang sendiri yang menganggap Anwar sebagai pemimpin agung yang boleh mengambil alih Malaysia sehingga orang Cina terlalu yakin mengenai angan-angan itu dan menyokong DAP.

Kerdilnya Anwar kerana ia memiliki perasaan serba salah. Menolak Wan Azizah, Nurul Izzah dan Abdul Khalid dalam satu pasukan dan menerima Azmin dalam satu pasukan lain bakal menghasilkan krisis. Berkrisis dengan isteri dan anak bukanlah suatu hal yang membantu.

Tetapi apa istimewanya Azmin sehingga Anwar tidak mampu mengawal atau menegurnya. Dan mengapa Wan Azizah tidak selesa dengan Azmin dan cita-cita politiknya. Tentu ada sesuatu yang tidak kena menyebabkan pertelagahan ini terus terjadi. Apakah sekiranya pertentangan ini tidak boleh dileraikan oleh Anwar, banyak perkara-perkara yang tidak enak akan terbongkar dalam kalangan kedua-dua pihak ini.

Abdul Khalid menjadi Menteri Besar Selangor tentu memerlukan dukungan Azmin sebagai Pengerusi PKR Selangor. Kalau tanggapan negatif Azmin terhadap Abdul Khalid sudah menebal sehingga sanggup membuka kelemahan Abdul Khalid terdahulu, apakah ada jaminan Azmin dan sekutunya tidak akan mengambil sikap yang sama selepas Abdul Khalid ditabalkan menjadi Menteri Besar yang baharu untuk Selangor bagi penggal kedua.

Cita-cita Azmin untuk menjadi Menteri Besar sudah diketahui umum sejak lama. Anwar tidak mempunyai kesempatan terbaik untuk menobatkan Azmin sebagai Menteri Besar. Ia kerana melantik Azmin sebagai Menteri Besar memulakan pertentangan langsung dengan Wan Azizah. Presiden PKR itu terlalu berharga bagi Anwar dalam banyak perkara dan Azmin juga terlalu bernilai bagi Anwar dalam banyak perkara juga.

Sebagai pemimpin Anwar harus tegas dan jelas. Kalau tidak, macam mana mahu memimpin Malaysia. Ia tidak boleh menjadi serba salah dalam membuat keputusan yang menentukan hala tuju negeri atau negara.

Azmin daripada kenyataan twitnya semacam terkilan dengan Abdul Khalid dan tergamak mengkritik kelemahan dalam pentadbirannya sekali gus mengkritik Anwar. Apakah ini suatu sandiwara yang plotnya dirangka oleh Azmin dan Anwar supaya pelantikan Khalid boleh berjalan dengan lancar?

Azmin juga menghantar twit kepada Dr. Syed Husin Ali dengan bahasa yang tidak elok. Syed Husin banyak sumbangannya dalam PKR. Apakah akhirnya beliau akan menerima nasib seperti Dr. Chandra Muzaffar.

Hal ini berbangkit kerana memikir kemungkinan selepas Anwar menyelesaikan siri demonstrasinya, ke mana pula hala tuju perjuangannya. Apakah ia bakal menepati janjinya untuk menjadi pensyarah di Eropah atau kekal dalam perjuangan politik Malaysia. Kalau kekal dalam politik Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, Anwar akan bertanding sebagai Presiden PKR dan menyebabkan Wan Azizah undur dan meletakkan Azmin lebih berpengaruh dan boleh menjadi Presiden PKR sekiranya berlaku apa-apa kepada Anwar. - UM


0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.