Thursday, May 2, 2013


ANGKA paling popular yang satu Malaysia masih ingat ialah 16/9 yang merujuk kepada 16 September.

Lima tahun lalu pada tarikh berkenaan 'sepatutnya' Anwar mengangkat sumpah sebagai 'Perdana Menteri.'

Pada 16 September 2008 itu kononnya 31 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dicanang bakal melompat parti menyertai Anwar.

Walaupun semua itu hanyalah 'auta dan temberang,' Anwar tidak pernah serik bermain dengan angka. Berputus asa apatah lagi.

Dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 yang bermula 20 April lalu, 'politik angka' muncul semula. Kali ini Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terkena jangkitan penyakit ciptaan Anwar itu.

Minggu lalu Kit Siang mendakwa memperoleh maklumat bahawa pakatan pembangkang akan menang 145 kerusi pada pilihan raya kali ini. Azmin pula mendakwa pakatan bakal menang 125 kerusi. Abdul Khalid Ibrahim juga tidak ketinggalan. Beliau menyebut angka 115 kerusi.

Sebelum itu pada 11 April lalu, Abdul Khalid lagi berselera apabila dia menyebut pakatan akan menang 215 kerusi!

Menariknya tidak sampai sebulan angka itu merudum kepada 100 kerusi sahaja!

Angka-angka ciptaan Anwar ini sebenarnya tidak lebih daripada satu strategi. Tujuannya menyedapkan hati penyokong parti yang kini keluh kesah dan resah gelisah.

Apa tidaknya, dengan kempen masih berbaki empat hari lagi masalah demi masalah bertimpa-timpa melanda pakatan pembangkang.

Mula-mula nampak kecil, akhir-akhir ini sudah serius. Krisis perebutan kerusi sesama sendiri dan bantahan ke atas pemilihan calon berlarutan sehingga sekarang.

Sejak berakhir hari penamaan calon, suara pemimpin DAP mengata Pas dan Pas mengutuk PKR sudah kedengaran.

Hari ini suara itu semakin nyaring dan bunyinya lebih lantang dan berterus-terang.

Bantahan dan protes secara terbuka ini sudah membawa ke tahap keluar parti, menutup bilik gerakan serta melumpuhkan jentera parti. Anwar cukup bimbang dengan perkembangan ini.

Kebangkitan besar-besaran rakyat menyokong segala program transformasi kerajaan yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menambahkan lagi risau Anwar.

Situasi ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang menggembirakan Ketua Pembangkang itu. Lantas dalam ceramahnya Anwar mula melontarkan angka-angka enak kepada audiens.

Angka-angka besar itu diharapkan dapat memberi sedikit keseronokan kepada ahli-ahli PKR, DAP dan Pas.

Anwar percaya politik angka adalah strategi terbaiknya untuk mempengaruhi para penyokongnya agar terus bertahan.

Beliau sudah melihat bagaimana ketaksuban mereka kepada angka terutama ketika perhimpunan haram Bersih 3.0 diadakan di ibu kota tidak lama dahulu.

Bagai tidak ada kerja lain, media sosial propembangkang dan antikerajaan membincangkan topik jumlah kehadiran berbulan-bulan lamanya.

Selain memberi keseronokan, angka-angka yang 'dinaikkan' setiap hari itu diharapkan dapat menutup segala kepincangan pakatan itu.

Tidak hairanlah setiap kali berceramah Anwar menjaja 'keseronokan' itu berulang kali.

Sekurang-kurangnya Anwar ada sedikit keseronokan lebih-lebih lagi menjelang 5 Mei ini, walaupun barangkali keseronokan itu hanya bersifat sementara.

4 comments:

My Thoughts said...

ini kalilah

Anonymous said...

lainkalilah

Anonymous said...

Ini Kali PR Bye2 lah..

#VoteBN

zoRRo...

Anonymous said...

 ini karilah.. 

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.