Thursday, May 16, 2013


Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan jawatan Menteri Belia dan Sukan yang disandangnya sebagai amanah yang mempunyai cabaran besar dalam mendekati golongan muda dan membentuk persepsi positif mereka terhadap kerajaan.

"Ini satu amanah cukup besar dan kali ini portfolio ini saya lihat amat berat sekali terutama untuk mendekati generasi muda dan membentuk persepsi yang lebih positif terhadap kerajaan serta membawa suara generasi muda ke dalam kerajaan," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara di sini pagi Khamis.

Mengenai pembaharuan yang mahu dibuat dalam kementeriannya, Khairy Jamaluddin berkata ia masih terlalu awal untuk bercakap mengenainya.

Bagaimanapun berdasarkan tugasnya yang dibahagikan kepada hal ehwal belia dan sukan, beliau berkata beliau akan memfokus kepada usaha membentuk generasi muda yang cintakan negara dan mencuba sebaik mungkin untuk mengangkat martabat sukan bola sepak negara ke peringkat dunia.

"Semalam dalam media sosial, semua meminta pasukan Harimau Malaya supaya layak ke Piala Dunia. Saya tidak tahu nak buat macam mana dalam tempoh masa yang singkat. Walaupun harapan mereka tinggi, saya anggap ini satu cabaran untuk saya menggalas tugas dan harapan ini," katanya.

Beliu berkata beliau akan membawa pendekatan tersendiri mengikut perspektif dirinya sendiri sebagai golongan muda bagi melaksanakan perubahan terhadap program Kementerian Belia dan Sukan (KBS). 

"Saya tidak tahu dari segi perbezaan untuk masa sekarang tetapi mungkin saya datang daripada generasi yang berbeza daripada menteri-menteri sebelum ini.

Mungkin perspektif saya berbeza sikit, jadi saya melihat melalui perspektif ini yang lebih muda mungkin saya dapat bawa sedikit perubahan kepada program-program dalam KBS," katanya.

Khairy Jamaluddin juga mengharapkan Kabinet yang diistilah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai kabinet transformasi mampu benar-benar memahami kehendak generasi muda.

"Saya harap saya dapat menjadi jurucakap bagi generasi muda dalam jemaah menteri yang telah dibentuk ini," katanya. -BERNAMA

**Tahniah YB KJ..EP harap lantikan KJ sebagai Menteri Belia dan Sukan dapat membawa anak-anak muda dan prestasi sukan di negara ke tahap yang lebih membanggakan...insya'allah..

1 comments:

Anonymous said...

Sebagai menantu Pak Lah (yg merupakan graduan bidang agama dan anak seorang Tok Guru), saya mengharapkan KJ seorang yg cenderung kpd aliran peneguhan akidah dan iman namun setakat ini beliau tidak nampak alirannya begitu (melihatkan orang2 dalam circles beliau).

Terbit juga rasa bimbang dihati ini tentang anak2 muda dari luar bandar yg masih 'virgin' daripada cara hidup moden/kota.

Sebagai seorang ibu, saya harap program2 yg bakal dirancang dan dilaksanakan oleh KJ nanti turut mengekalkan elemen kerohanian dan adab sopan masyarakat timur (maklumlah KJ adalah lepasan Oxford yg mendidik para graduannya dgn cara hidup British yg orthodox, dan beliau jg adalah anak pegawai diplomat yg banyak membesar di luar negara. Faham ke KJ tentang cara hidup Timur yg sebenar?)

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.