Thursday, April 11, 2013

LISA SURIHANI JADI CALON PRU13??....


Memang saya mengharapkan ramai lagi, tetapi setakat semalam hanya seorang artis wanita dinamakan sebagai calon untuk PRU13. Wan Aishah Wan Ariffin @ Aishah, penyanyi yang popular menerusi lagu Janji Manismu, diletakkan sebagai calon Pas untuk Parlimen Jempol.


Belum pasti siapa akan dipilih parti lawan untuk menentang wanita berusia 48 tahun dan beranak dua, kelahiran Negeri Beradat itu. Atau, adakah sesiapa berani mencuba nasib sebagai calon bebas melawan Aishah?

Amaran: Hanya yang bersuara lunak seperti buluh perindu digalakkan mencuba sebagai calon bebas menentang bekas anggota kumpulan Fan Club itu. Tidak layak langsung mencuba bagi sesiapa yang suara seperti buluh betong, atau suara ala-ala dentuman bom dalam ‘Op Daulat’ di Tanduo, Lahad Datu.

Ada ramai artis wanita yang boleh dicalonkan untuk menentang Aishah. Kalau hendak yang suara manja saya cadangkan Ella. Walaupun sudah bergelar isteri, gaya dan suaranya masih tetap membuat pengundi – terutama lelaki – longlai. Shiela Amzah, Yuna, Misha Omar pun layak.

Ada artis wanita suara tidak berapa menawan tetapi lakonan dan gayanya amat memukau. Rozita Che Wan pada hemat saya paling sesuai. Jelingannya pasti mendapat undi. Atau, apa kata Datuk Siti Nurhaliza yang suaranya terus memukau, gayanya terus memikat?

Kalau Lisa Surihani bertanding di tempat saya, tidak kira parti apa, tetap dia mendapat satu undi daripada saya. Akan saya pangkah dia tanpa was-was, hatta jika lawannya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abd Hadi Awang, Tuan Guru Nik Aziz, waima Datuk Seri Najib Tun Razak sekali pun.

Kecuali jika yang melawan Lisa ialah Maimun Yusuf @ ‘Tok Mun’, maka aktres manis itu tidak saya pangkah, sebab undi saya yang satu akan diberi kepada wanita gigih berusia 93 dari Terengganu itu, sebagai undi kesian.

Kalau hendak memenangi undi wanita, artis lelaki juga boleh dipertimbangkan sebagai calon. Aaron Aziz yang macho sakan dan menghiris perasaan wanita menerusi filem box-office Ombak Rindu, pasti meraih ramai undi kaum Hawa, tidak kira di kawasan mana dia bertanding.

Bagaimanapun untuk PRU13 ini Aaron belum layak bertanding, sebab dia masih warganegara Singapura.

Fahrin Ahmad pun tidak kurang hebatnya. Kalau tanya sepuluh wanita, pasti sembilan menyukainya; seorang lagi yang tidak menyukainya itu mungkin sebab buta, boleh jadi juga minda tidak stabil. Semak dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kawasan mana paling ramai pengundi wanita, dan letakkan Fahrin.

Kalau hendak artis lelaki tampan lagi kelihatan berhemah, saya cadangkan Datuk Jalaluddin Hassan. Tampan bergaya, suaranya romantik, sekali dia tersenyum lemah longlai jiwa wanita. Kalau dia berlakon memegang watak jahat pun, wanita tetap suka. Begitulah hebatnya beliau.

Saya tidak bergurau apabila mencadangkan nama-nama artis untuk PRU13. Sebenarnya masa sudah tiba golongan karyawan diberi peluang dalam pilihan raya. Ini bukan sesuatu yang luar biasa – juga bukan luar tabii! – sebab di tempat lain artis bukan sahaja bertanding, malah apabila menang diberi jawatan penting dalam kerajaan.

Di Amerika Syarikat ada pelakon koboi yang masuk politik, bertanding dalam pilihan raya, dan akhirnya terpilih sebagai pemimpin No.1 negara besar itu. Beliau ialah Ronald Reagan yang pada 1981 menjadi Presiden Amerika ke-40. Arnold Schwarzenegger, aktor maco bertubuh sasa itu menjadi Gabenor California dari 2003 hingga 2011.

Marudhur Gopalan Ramachandran @ MGR lama berkecimpung dalam dunia perfileman India sebagai pelakon, pengarah, penerbit, sebelum akhirnya memenangi pilihan raya dan menjadi Perdana Menteri Tamil Nadu.

Di Filipina Joseph Estrada berkerjaya dalam seni selama 33 tahun dan berlakon dalam lebih 100 filem, bertanding dalam pilihan raya, terpilih sebagai Senator dan akhirnya menjadi Presiden ke-13 negara itu dari 1998-2001.

Di tempat kita seingat saya hanya Tan Sri Jins Shamsuddin yang masuk politik dan akhirnya dilantik sebagai Senator. Harap-harap lepas PRU13 nanti ada mana-mana artis kita – tidak kira lelaki, lebih sedap lagi jika wanita – dipilih rakyat, dan dilantik sebagai anggota jemaah menteri. - Sinar Harian


EP tak de hal jika artis nak bertanding dalam PRU13 cuma EP tak setuju bila artis yang ada masalah peribadi nak bertanding, meroyan kehulu dan kehilir macam orang gila menjaja masalah peribadi..itu tak betul..ini tak betul..orang tu salah..orang ni salah..tiba-tiba nakkan rakyat mengangkanya sebagai pembela rakyat..

Tak kisahla suaranya macam buluh perindu ke apa ke tapi layakkah artis senja yang mempunyai perasaan dendam kerana masalah peribadinya tidak dapat diselesaikan oleh pihak tertentu diangkat menjadi wakil rakyat..Apa kelayakannya nak jadi wakil rakyat..dia pernah berkhidmat di kawasan tu ke? Apa sumbangannya pada masyarakat setempat selain namanya fofular sebagai artis satu ketika dulu...

Bagi EP no way...tapi kalau artis macam Lisa Surihani, Datuk Siti Nurhaliza atau Fahrin Ahmad nak bertanding..confirm akan mendapat sokongan EP..

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.