Friday, April 5, 2013


Memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin akan menyebabkan negara terdedah kepada pelbagai ancaman dari dalam dan luar negara, kata ilmuan dan bekas rakan karib ketua pembangkang itu, Datuk Dr Sidek Baba.

Sidek berkata beliau percaya banyak pihak tahu perkara sebenar yang berlaku melibatkan Anwar, tetapi mereka tidak berani menyampaikannya kepada khalayak.

"Ada sesuatu yang tidak kena pada integriti Anwar. Integriti sangat penting tetapi kalau tampil dengan imej yang tercalar mungkin orang luar boleh jadikan ini asas peras ugut, apatah lagi orang dalam, apa lagi rakan-rakan komponen dalam pakatan rakyat," kata pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, Jumaat.

Sidek baru-baru ini mengejutkan banyak pihak apabila meninggalkan Anwar selepas lebih 30 tahun bersahabat, tetapi beliau menjelaskan bahawa tindakannya itu dibuat atas tiga sebab - masalah keruntuhan moral, sokongan kepada pluralisme agama serta kredibiliti Anwar.

Beliau berkata pertemuannya dengan Dr Mahathir pada Jumaat selama sejam bertujuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai kemusykilan yang berbangkit berkaitan bekas rakan karibnya Anwar, yang bersama-sama beliau berjuang dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

"Tun (Dr Mahathir) ialah seorang yang teliti dan tidak mudah disogok dengan maklumat untuk jatuhkan timbalan (perdana menteri) dia (Anwar).

"Bila saya masuk (tahanan) ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri)(pada 1998)selama 16 hari saya juga didedahkan siapa Anwar sebenarnya. Tidak mudah sekelip mata saya terima," katanya.

Sidek berkata beliau meninggalkan Anwar selepas tiga tahun membuat kajian dengan menemu bual 28 individu yang rapat dengan ketua pembangkang itu, serta membuat solat sunat Istikharah bagi memohon petunjuk.

"Ada orang kata saya tidak mengenang budi. Tetapi isunya antara kebenaran dan kebatilan. Takkan kerana benda tidak benar berlaku saya harus membisu? Saya akan bertanggungjawab depan Allah nanti.

"Saya tidak tuduh dia (Anwar) liwat atau zina. Saya hanya sebut saya kaji bahawa kredibiliti Anwar tercabar. Sebab itu saya berhak untuk tidak memaksa diri saya bersama dengan dia. Itu hak saya seperti orang lain yang memihak pada dia. Berlaku adillah pada saya," katanya.

Sidek juga berkata beliau tidak berniat mengaibkan Anwar, sebaliknya hanya mengambil tindakan yang perlu bagi menghentikan kemungkaran yang berlaku.

Beliau melahirkan kesediaan untuk bertemu dengan mana-mana pihak bagi menjelaskan pendiriannya itu dan berharap ia digunakan sebaik mungkin, dan turut membidas penulis blog yang menghentam tindakan beliau itu tanpa mendapatkan penjelasan daripadanya.

Kepada pihak yang cuba menyifatkan pendedahannya sebagai satu konspirasi, Sidek mencabar mereka mengemukakan bukti bagi melawan hujah yang beliau tampilkan.

Ditanya kesediaannya jika dicabar Anwar untuk berdebat, beliau berkata: "Untuk apa? Untuk kebenaran atau cuma silat lidah?" Sidek dalam pada itu berkata PAS perlu meneliti semula prinsip perjuangan asal parti itu yang dilihat sudah tergadai selepas bersama dalam pakatan pembangkang.

Sambil memuji Barisan Nasional yang terbukti boleh mentadbir dengan baik berdasarkan jejak rekod yang ada, Sidek berkata jika ada pihak yang berhasrat melakukan perubahan rejim, mereka perlu mengambil kira masalah yang bakal timbul dalam menguruskan kejayaan perubahan itu. BERNAMA

5 comments:

liyas said...

Sangat menarik pendedahan ini!

Anonymous said...

Member2 lain dah lama meninggalkan Anwar. Mujurlah dia blah juga akhirnya, walau pun kelihatan agak hampir terlewat. Orang2 muda sekarang, perhatikan lah orang yang dah lama bersama Anwar tapi terpaksa meninggalkan nya. Tentu ada sebab.

Anonymous said...

Jumpa Tok Det yg anaknya invest dlm syarikat Arak....hehe....kira Tok Det hebat la sebab Anak dia international ....kilang arak Bro....boleh pulak pi rujuk Kat Tok Det bab akhlak, agama, anal sendiri pun tak terjaga......malu. Oiii takat mengaku Islam.....bab Anwar pandai pulak dok reka liwat la, seks la.....Porno betui punya UMNO....lps tu suruh orang percaya.....

TQ bro....aku dlm senarai ahli umno yg ada nama 3.3 juta tu la....hihi

Anonymous said...

Cuba cari alasan je, bila pintu hati dah tertutup yg jelas pun masih kabur. Memang jenis kunyit

Anonymous said...

Setakat cakap xde bukti apa class?aku pun leh cakap ngko invest kilang arak.kalau rekaan xkan ada video n gambar n xsuruh ngko percaya pun.tapi cuba ngko amik gambar diri ngko lepas tu ngko nafi tu bukan diri ngko.kalau kamera dikatakan besi dan xleh dipercayai mcmne dgn video mereka dlm youtube yg diambil drpd kamera besi itu?maknanya mereka yg dlm video tu xleh dipercayai juga.Allah ajar cipta teknologi utk kebaikkan tapi kalau kata teknologi itu buruk, mmg xbersyukur la.yg buruk bukan teknologi itu tapi bagaimana orang yg menggunakan teknologi itu.

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.