Tuesday, April 2, 2013


Rakyat perlu mengkaji mengapa seorang tokoh ilmuan dan pendakwah seperti Prof. Datuk Dr. Sidek Baba akhirnya mengambil keputusan meninggalkan bekas sahabat karibnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hampir 40 tahun berkawan.

Bekas peguam bela Anwar, Datuk Zulkifli Noordin dilaporkan Utusan berkata, jika benar Ketua Pembangkang mempunyai moral yang bersih, adalah mustahil ilmuan dihormati dan pendakwah yang mempunyai budi pekerti ‘tidak tercalar’ seperti Sidek sanggup meninggalkan sahabat karibnya itu.

Beliau yang mengaku salah seorang daripada 28 saksi hidup yang ditemui Sidek dalam perjalanan mencari kebenaran tentang moral Anwar berkata, mustahil bagi bekas Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu meninggalkan Anwar tanpa sebab.

“Dalam pencarian mencari kebenaran, saya salah seorang individu yang pernah kenal rapat dengan Anwar yang ditemui Sidek. Dia bertanya mengapa saya tidak mewakili Anwar dalam kes liwat kedua membabitkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan seperti mana kes tahun 1998.

“Saya cerita kejadian sebenar apa yang berlaku di Hotel Quality, Shah Alam sebaik sahaja Mohd. Saiful membuat laporan polis. Bagaimana Anwar jadi tidak tentu arah sehingga berlaku pertengkaran dengan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di depan kami.

“Kejadian-kejadian ini menimbulkan kesangsian kepada saya bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan perilaku Anwar termasuk soal surat akuan bersumpah palsu dalam usaha Anwar mahu menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari turut meminta rakyat Malaysia agar menggunakan akal yang waras bagi menilai mengapa bekas sahabat karib serta pengasas-pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini meninggalkan Ketua Pembangkang itu.

Anuar yang juga mengakui beliau dipanggil Sidek selepas meninggalkan PKR berkata, pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu merupakan tokoh ilmuan yang sangat dihormati Anwar sendiri tetapi akhirnya diberi kesedaran oleh Allah SWT.

“Saya agak lama menjadi Setiausaha Sulit Anwar dan kami banyak menyimpan rahsia beliau. Anwar bijak menyimpan ‘kuku’ bila bertemu Sidek kerana beliau menghormati sahabat karibnya itu dan antara perkara penting saya dedahkan ialah tentang kejadian di Hong Kong.

“Kejadian itu jugalah yang menjadi pendorong kuat untuk saya sangsi dengan moral Anwar sebelum saya sendiri mula menyiasat dan kemudian bertindak meninggalkan PKR. Tingkah laku Anwar sebenarnya sangat berbeza dengan imej yang ditampilkan di khalayak ramai,” katanya.

Sementara itu, bekas pengasas ABIM, Ustaz Ismail Mina Ahmad memberitahu, tokoh agama yang juga merupakan seorang pendidik itu mengambil keputusan meninggalkan Anwar kerana rasa tanggungjawab beliau terhadap masyarakat.

“Sebagai seorang pendidik, Sidek merasakan sememangnya tanggungjawab beliau untuk menyelamatkan masyarakat daripada terus tertipu dengan imej Islam palsu yang dibawa Anwar.

“Saya telah menceritakan secara lanjut kepada Sidek tentang konsep pluralisme yang dipegang Anwar bagi menyamaratakan kaum dan agama di negara ini ketika pemimpin itu berucap di London School of Economics (LSE) pada 2010.

“Sememangnya Sidek sendiri tahu konsep tersebut tidak patut diperjuangkan oleh seorang pemimpin yang beragama Islam seperti Anwar,” jelasnya.

Menurut Ismail, Sidek telah berusaha selama beberapa tahun mengumpulkan maklumat untuk mendapatkan kepastian sebelum membuat keputusan meninggalkan sahabatnya itu.

“Sidek tidak hanya mendengar cakap-cakap kosong, sebaliknya beliau pergi berdialog serta berhujah sendiri dengan sumber yang diyakini termasuk diri saya sendiri yang sememangnya mempunyai maklumat yang cukup tentang helah Anwar,” ujarnya.

Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor yang juga dihubungi Utusanmengakui pernah mendedahkan kisah panggilan telefon Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kepada Sidek berkata, detik itu jugalah yang mencetus kesedaran untuk meninggalkan Anwar walaupun sebelum ini sanggup berkorban nyawa demi Ketua Pembangkang berkenaan.

Ezam adalah bekas pelajar Sidek, di mana beliau cukup mengenali integriti serta ketinggian prinsip pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu dalam mencari kebenaran sebelum membuat keputusan.

“Ya, memang saya memberitahu segala-galanya kepada Sidek. Saya beritahu kisah panggilan Kak Wan (Wan Azizah) ketika saya berada di rumah Anwar. Kak Wan ketika itu di Washington dan beliau bertanya mengenai seorang lelaki dan minta saya perhatikan Anwar.

“Sikap curiga Kak Wan terhadap suaminya menimbulkan konflik dalam diri saya dan akhirnya persoalan itu terjawab. Anwar dibelenggu masalah moral kronik dan tidak layak menjadi Perdana Menteri,” katanya

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Rahimi Osman yang menjadi antara individu pemegang ‘diari merah’ Ketua Pembangkang juga mengakui beliau mendedahkan segala ‘cerita dalam kain’ kepada Sidek termasuk kisah dengan Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Katanya, selain itu, beliau turut menyerahkan salinan bukti berupa 18 pucuk surat yang dihantar Anwar kepada para pelobi Yahudi sekali gus menggambarkan betapa istimewanya hubungan Ketua Pembangkang tersebut dengan kelompok Zionis.

“Rakyat boleh menilai sendiri mengapa seseorang yang begitu istiqamah, berprinsip dan sanggup ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) demi mempertahankan Anwar akhirnya meninggalkan Anwar selepas bersahabat lebih 30 tahun.

“Sidek bukan ahli politik dan akhlaknya yang bersih memang diakui kawan mahupun lawan, jadi adakah kesemua 28 saksi hidup yang ditemui beliau sebelum mengambil keputusan meninggalkan Anwar itu berbohong? Rakyat perlu nilai perkara ini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.