Tuesday, April 2, 2013


Melihat poster yang menggandingkan dua Ahli Parlimen, Azmin Ali (PKR-Gombak) dan Zuraidah Kamaruddin (PKR-Ampang), dengan slogan 'Harga Minyak Turun', ramai hanya mampu tersenyum sinis kerana teringat kata-kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim - Manifesto Bukan Janji.

Bagaimanapun, kita perlu bersikap adil terhadap slogan 'Harga Minyak Turun' yang dijanjikan kedua-dua Ahli Parlimen ini di hampir semua tempat strategik di daerah Gombak dan Ampang, walaupun tidak dinyatakan berapa kadar penurunannya… kerana satu sen pun bermakna turun juga harga.

Kita semua tahu, harga minyak di Malaysia ketika ini adalah kedua terendah di Asia Tenggara, di belakang Brunei. Tanpa mengambil kira negara kecil tapi kaya itu, dengan harga RM1.90 seliter bagi Ron95 dan RM1.80 seliter bagi diesel, harga minyak kita adalah lebih RM1 jauh lebih murah daripada Indonesia yang berada di tempat ketiga, malahan Singapura yang kaya raya juga menjual Ron95 pada harga RM5.28 seliter dan diesel, RM3.99 seliter.

Hakikatnya, kerajaan telah memperuntukkan subsidi begitu besar untuk minyak kerana tanpa kawalan subsidi dan cukai, harga semasa Ron95 ialah RM2.95 seliter, manakala diesel RM2.85.

Persoalan perlu ditanya kepada pembangkang yang menjanjikan "hari ini kita menang, esok minyak turun" ialah berapa kadar penurunannya kerana setiap subsidi 10 sen saja, jumlah perbelanjaan yang perlu ditanggung kerajaan akan meningkat mengikut juta liter yang dijual. Sekiranya 100 juta liter dijual, maka RM10 juta juga peningkatan perbelanjaan kerajaan.

Lebih membimbangkan harga minyak dunia tidak menentu. Dunia pernah mengalami krisis kekurangan bekalan ketika perang membabitkan negara Arab, justeru apakah yang akan dilakukan pembangkang sekiranya harga minyak dunia tiba-tiba melambung semula… adakah harga minyak Malaysia akan terus turun seperti dijanjikan?

Hakikat yang perlu diinsafi semua ialah harga minyak naik 10 sen saja, tambahan subsidi yang perlu ditanggung kerajaan ialah RM2.3 bilion. Dan ini hanya satu daripada kesan daripada puluhan janji pembangkang yang sekadar memetik angka dari 'bintang' , dan lebih menyedihkan janji yang diuar-uarkan di negeri pentadbiran sendiri sejak lima tahun lalu masih belum dilunaskan hatta untuk membantu warga emas, ibu tunggal dan pelajar sekolah.

Melihat secara serius kepada manifesto pembangkang yang dicetak dengan membelakangkan beberapa golongan penting termasuk orang kurang upaya (OKU), empat teras yang dijanjikan pembangkang iaitu rakyat bersaudara, ekonomi rakyat, kesejahteraan rakyat dan kerajaan rakyat - nyata ia terlalu umum dan cadangan dibuat dengan secara 'ambil mudah', tidak munasabah dan langsung tidak mengambil kira kesan kepada ekonomi secara keseluruhan, apa lagi kedudukan kewangan negara.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti dalam pengurusan kewangan negara secara berhemah, apa lagi selepas mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7 peratus KDNK pada 2009 kepada 4.5 peratus tahun lalu, dan komited mengurangkan kepada empat peratus pada 2013 dan tiga peratus pada 2015.

Ramai sukar menterjemah jika sekadar melihat angka, tapi hasil initiatif kerajaan ini telah meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 peratus dan membolehkan ia diagihkan kepada rakyat mengikut keperluan terutama membabitkan pembinaan fasiliti dan infrastruktur penting seperti sekolah, jalan raya, bekalan elektrik dan air, serta pemberian pelbagai jenis bantuan kepada rakyat.

Jika kita mengambil kira cadangan yang dibentangkan manifesto pembangkang, defisit negara dijangka meningkat 9.3 peratus (RM93.04 bilion) dan hutang negara dijangka meningkat kepada 63.9 peratus KDNK. Lebih parah, kerajaan akan mengalami defisit semasa iaitu hasil tidak mencukupi untuk membiayai belanja mengurus.

Antara taburan janji pembangkang iaitu cadangan menghapuskan tol dan PTPTN; penurunan tarif elektrik dan harga petrol; pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi; dan pelaksanaan gaji minimum yang lebih tinggi (RM1,100 berbanding Kerajaan BN pada RM900) bukan saja tidak dapat diterima syarikat terutama industri kecil dan sederhana, malahan ia akan menyebabkan rencatan dan pengucupan ekonomi negara.

Janji paling manis pembangkang ialah meningkatkan pendapatan bulanan isi rumah kepada RM4,000 sebulan pada akhir tempoh lima tahun dan untuk menunaikan janji itu saja, pembangkang terpaksa menanggung RM48 bilion setahun bagi menampung perbezaan pendapatan.

Angka ini berdasar pengiraan akan ada seramai 2.2 juta isi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan berbanding 4.4 juta isi rumah pada masa ini iaitu 14 peratus berada di bawah pendapatan RM1,000; 50 peratus antara RM1,001- RM3,000; 37 peratus antara RM2,001- RM3,000.

Banyak lagi janji pembangkang yang tidak realistik dan perlu dipersoal secara serius, penghapusan tol yang boleh mencipta lebih banyak lebuh raya alternatif yang semakin diperlukan rakyat hanya sekadar omong kosong, kerana tidak sampai sebulan manifesto dibentang, Kerajaan DAP Pulau Pinang enggan berganjak daripada pendirian supaya tol tetap dikenakan selepas terowong bawah laut negeri itu siap dibina.

Cadangan menghapuskan hutang PTPTN dan memberi pendidikan percuma bagi pelajar pengajian tinggi juga ibarat menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri, kerana tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi membekukan pinjaman daripada tabung pendidikan itu kepada pelajar Unversiti Selangor (Unisel) dan Kolej Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada Jun tahun lalu, sudah cukup bukti terhadap kemampuan kerajaan negeri di bawah pentadbiran pembangkang ini.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said ketika membekukan bantuan itu cuma berkata: "Kami bagi peluang pada pakatan pembangkang melaksanakan apa yang dirancang oleh mereka dan bukan atas sebab agenda politik. Kami nak mereka buktikan kerajaan Selangor boleh melaksanakan sistem pendidikan percuma dan tanpa pinjaman PTPTN kepada pelajar baru mereka nanti".

Cadangan untuk menghapuskan PTPTN saja akan menyebabkan kerajaan menanggung hutang RM30 bilion, manakala tindakan memberi pendidikan percuma juga amat dangkal kerana 'mentaliti subsidi dan percuma' akan melahirkan golongan rakyat 'malas dan terus bergantung kepada orang lain'.

Tindakan yang memberi segalanya percuma terutama kepada generasi baru juga hanya akan memburukkan krisis kebanjiran pekerja asing ke negara ini kerana anak muda Malaysia semakin 'dimanja' dan tidak mahu lagi 'mengotorkan tangan' dengan kerja-kerja kasar.

Manifesto pembangkang sebenarnya indah khabar daripada rupa, ia bukan saja tidak realistik kerana tidak mengambil kira implikasi kewangan dan kesan ke atas ekonomi serta sosio rakyat, bahkan ia akan menjerumuskan kerajaan ke dalam krisis hutang.

Malaysia bukan lagi negara yang baru hendak membangun, rakyat negara ini sudah memasuki generasi ketiga yang semakin ramai tidak lagi tahu apa erti kesusahan hidup. Semua taburan janji dalam manifesto pembangkang hanya akan meningkatkan 'mentaliti subsidi' dalam kalangan rakyat, serta sikap enggan bekerja keras terutama generasi baru. Adakah ini yang kita mahukan?

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.