Monday, April 8, 2013



Isu keluarnya Prof. Datuk Dr. Sidek Baba daripada kem Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup menarik minat saya. Ia mengimbau kepada ingatan bagaimana Dato’ Dr. Hassan Ali juga mengambil pendekatan yang sama iaitu bertindak keluar daripada saf kepimpinan PAS. Begitu juga dengan Dr. Chandra Muzaffar yang antara paling awal mengambil pendekatan sedemikian.
Saya melihatnya bukan kepada soal mereka meninggalkan perjuangan parti masing-masing tetapi lebih kepada soal kenapa mereka meninggalkan perjuangan jamaah yang telah lama mereka ikuti dan sokongi. Lantas, banyak detikan-detikan persoalan yang bermain dalam minda. Antaranya ialah  apakah mereka ini memilih jalan yang benar?
Apakah mereka ini sengaja untuk mencari publisiti? Apakah mereka kecewa dalam saf perjuangan terdahulu? atau apakah mereka ini sebenarnya telah mendapat pencerahan yang sepatutnya dari awal dahulu lagi mereka perolehi. Ini lah yang menjadi tarikan kepada rakyat untuk mengetahuinya.
Rakyat terbanyak sememangnya teruja kerana kadar berundurnya diri kumpulan yang saya anggap sebagai akademia politik ini daripada pentas pembangkang tampak semakin hari semakin ramai. Bagi rakyat biasa, situasi ini adalah bukan satu tindakan yang biasa.
Sudah pasti ada penjelasan yang konkrit di sebalik apa yang berlaku. Apabila ditanya kepada rakan-rakan dalam pakatan pembangkang, pelbagai sebab musabab yang diciptakan untuk menjustifikasikan mereka yang keluar itu adalah salah, tidak setia, sudah outdated dalam parti dan sebagainya. Seolah-olah orang yang keluar daripada saf perjuangan mereka itu samada Prof. Sidek, Dr. Hassan atau Dr. Chandra Muzaffar dan seumpamanya tidak berjasa langsung kepada parti mereka selama ini. Begitu ketara sekali pegangan politik habis sepah, madu dibuang diamalkan dalam parti tersebut.
Bagi saya, adalah hak masing-masing untuk samada mereka mahu berhenti penyokong pakatan pembangkang atau pun tidak. Kita kena menghormati keputusan mereka, sementalah pula mereka adalah gologan akademia.
Jika pembangkang boleh mendabik dada mengatakan pesara A, B dan C boleh menyebelahi mereka, maka tidaklah perlu sampai mereka melakukan pembunuhan karektor ke atas Cikgu Sidek, Dr. Hassan, Dr. Chandra atau sesiapa sahaja yang berbeza pandangan dengan mereka. Bukankah kebebasan adalah mercu tanda perjuangan yang konon-kononnya dilaungkan oleh pembangkang selama ini? Jadi adalah tidak patut jikalau mereka dipandang hina oleh jamaah ABIM mahu pun PAS atau PKR sendiri lantaran mereka mengambil pendekatan yang sebegitu.
Apa yang lebih baik pembangkang patut lakukan dikala ini adalah pemuhasabahan politik. Rakyat kebanyakkan terutamanya golongan profesional amat menanti-nantikan justifikasi yang profesional kenapa semakin ramai berlakunya pengaliran keluar orang-orang akademik berprofil tinggi daripada perjuangan parti pembangkang. Apakah golongan intelektual semakin tidak selesa dengan corak perjuangan dan rentak politik parti pembangkang?
Atau apakah mereka ini semakin  vokal untuk berada bersama dalam pentas pembangkang, makanya mereka ditolak beransur-ansur dan sebagai gantinya, artis-artis dibawa masuk? Prof. Dr. Sidek telah mengutarakan justifikasinya kenapa beliau mengambil pendirian sedemikian. Justifikasi beliau cukup mudah difahami, jelas dan terang. Hanya tiga perkara sahaja mengapa beliau meninggalkan perjuangan pembangkang iaitu persoalan moral, sokongan kepada agenda pluralisme agama dan masalah kredibiliti.
Apa yang pasti pengaliran keluar kumpulan akademia politik ini bukanlah sesuatu biasa tetapi luar biasa sekali. Pasti ramai lagi yang akan mengikuti jejak cikgu Sidek. Ternyata parti pembangkang sekarang ini sudah hilang arah tuju mereka yang sebenar.
Hala tuju mereka yang jelas hanyalah satu iaitu menawan Putrajaya. Jika ditanya kepada semua hulubalang pembangkang, tiada lain yang boleh mereka bercakap melainkan hanya Putrajaya. Mereka gagal mengungkap soal falsafah parti sendiri dengan tuntas apatah lagi jikalau kita bertanyakan soal yang lebih kompleks misalnya bagaimana falsafah parti PAS boleh bergandingan dengan falsafah DAP atau PKR.
Semuanya kabur dan tidak ketentuan. Bila ditanya pandangan pemimpin parti PAS di Kelantan, nadanya tidak sama dengan pemimpin PAS di Kedah. Begitulah berkecamuknya hala tuju parti-parti pembangkang ini. Kecelaruan hala tuju dan identiti parti ini berlaku lantaran daripada parti pembangkang sendiri sudah menjadi pemilikan individu berbanding dengan pemilikan sebenar oleh ahli.
Lihat sahaja PKR dan DAP, ia jelas dikuasai oleh hanya dua atau tiga individu sahaja. Makanya mana mungkin aspirasi parti yang diarkitekkan oleh segelintir boleh memenuhi aspirasi ahli kebanyakkan yang lain? Atas faktor itulah, dalam banyak perkara mereka dilihat oleh rakyat sebagai tidak sehaluan dan tidak sekapal.
Jadi bukan salah orang seperti Prof. Sidek, Dr. Hassan, Dr. Chandra atau pun golongan profesional yang lain jika mereka tidak lagi boleh meyakinkan diri mereka sendiri untuk berterusan bersama pembangkang. Mereka mempunyai prinsip yang semua orang tahu sebagaimana kentalnya mereka menyokong Ketua Umum PKR tatkala era reformasi pada akhir tahun 90-an dahulu.
Namun, ternyata masa menentukan mereka sedar dan kembali ke landasan yang betul. Landasan yang sebenarnya selama ini sudah lama terhampar untuk mereka. Dan, kita akan menantikan detik-detik seterusnya yakni, akan ramai lagikah khalayak akademia politik, intelektual  dan profesional dalam PKR atau PAS yang akan meninggalkan gelanggang asal mereka? Sesunguhnya, kebatilan tetap tidak akan dapat menyaingi kebenaran sampai bila-bila. Apabila sampai masanya, kebenaran akan muncul jua dan kemunculan itu pasti dengan penuh cahaya kejayaan. Itu janji Allah SWT. - MySuara

2 comments:

LAYMAN said...

Mereka mereka yang keluar berlandaskan kepada definisi `cerdik pandai' yang jelas memerlukan minda yang bijak untuk berfikir dengan lebih mendalam kenapa mereka perlu keluar (tak kiralah perlu masa yang lama atau singkat untuk berfikir).

Bagi mereka yang tinggal, mereka memilih untuk berfikir untuk diri sendiri. Samada apa ganjaran untuk mereka ataupun mereka tahu mereka tidak kemana jika mereka keluar atau memilih untuk bersama kawan-kawan yang lain diluar sana. Sebabnya ialah kemungkinan mereka takde aktiviti nak buat jika diluar sana bersama mereka yang cerdik pandai...

Anonymous said...

Setakat 3 kerat yg keluar tak jadi kudis, rakyat sokong perjuangan DSAI membela rakyat. Reformasi, lawan tetap lawan. Hidup pakatan!!

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.