Thursday, March 21, 2013



Sekiranya abah yang lebih 30 tahun berkhidmat dengan pasukan keselamatan dipanggil menyertai Op Daulat, saya tidak dapat membayangkannya…

Mungkin detik jantung emak, yang juga anggota polis, akan terhenti seketika. Terkejut!


Abah sebelum ini pernah terlibat dengan beberapa operasi membanteras komunis di Bukit Hijau, Kedah. Semasa berkhidmat dengan Pasukan Polis Hutan (PPH) yang kini dipanggil Pasukan Gerak Am (PGA), abah juga pernah mengawal keselamatan petugas Jabatan Ukur dan Pemetaan ketika kerja-kerja pengukuran sempadan Malaysia-Thailand.


Saya bukan tidak yakin dengan kemampuan abah. Saya tahu, abah masih berupaya menggalas M16 dan HK MP5.


Tetapi situasi hari ini berbeza. Abah bukan setakat perlu bertempur dengan pengganas, malah abah juga terpaksa berperang dengan 'peluru-peluru' yang keluar dari mulut pemolitik yang tidak berperasaan. Pasti hati abah akan lebih hancur bila suara-suara sumbang itu mempermainkan pengorbanan pasukan keselamatan.






Dan saya amat pasti, apa dirasa lebih sakit dan sengsara berbanding diledak bom sekalipun.


Ah! Saya yang secara langsung terlibat melaporkan berita dan perkembangan di sini, tidak mampu membayangkan jika abah antara ribuan dipanggil bertugas dalam Op Daulat.


Abah sudah pasti perlu mengikut operasi tidak mengira waktu, cuaca dan keadaan. Perlu sentiasa bersedia menghadapi serangan.


Entah apalah nasib abah!


Makan abah, rehat abah, mandi abah...ada siapa yang pedulu?


Tapi itulah hakikatnya. Rehat entah bila, makannya, mandinya entah bagaimana. 

Tapi itulah pengorbanan dilakukan demi mempertahankan kedaulatan negara.


Gugurnya 10 wira negara dalam Op Daulat cukup membuatkan saya tidak tenang sama sekali, jika nama abah dipanggil menggalas tanggungjawab kepada negara. Bagaimana nasib abah?


“Ya ALLAH, jika abah dipanggil, Engkau lindungilah keselamatan abah. Ya ALLAH, 29 tahun kasih sayang dan budinya juga masih belum sempat aku balas. Aku takut tidak terbalas sekiranya abah gugur semasa Op Daulat.”


Sekali lagi saya tidak sanggup membayangkannya... Tetapi ikrar taat setia mempertahankan negara yang dilafazkan 30 tahun lalu, terus tersemat di hati abah. Abah tidak pernah gentar jika dipanggil bertugas. Itu sumpah abah bersama negara.


Bukan hanya abah, itu jugalah yang tersemat di hati semua pejuang-pejuang negara.


Pada isteri, anak-anak dan keluarga pula, hati sentiasa diteman degup debar. Bimbang dan resah menyelubung perasaan setiap kali diumum gugurnya wira negara. Saya percaya, deringan telefon dan kelibat pasukan keselamatan di laman rumah boleh mencengkam jantung. Boleh membuat ia berhenti berdenyut.


Saya melihat dengan mata sendiri bagaimana juga Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin bersama pasukan keselamatan siang dan malam merancang strategi menghapuskan segera pengganas durjana.




Sepanjang hampir dua minggu membuat liputan Op Daulat, saya menyaksikan bagaimana beratnya tanggungjawab pasukan keselamatan kita dan betapa mencabarnya tugasan mereka.


Tidak dapat digambarkan keperitan yang ditanggung. Namun mereka tetap menunjukkan riak wajah bersemangat dan membara untuk menewaskan musuh.


Jika saya diminta menggalas senjata, rasanya hanya 10 minit saya dapat bertahan. Jaket kalis peluru dan kelopak-kelopak peluru yang hampir 15 kilogram tidak mampu saya pikul. 10 minit itupun saya rasa satu tempoh masa yang cukum lama. Boleh mendera mental dan fizikal.


Tetapi tidak bagi pahlawan negara yang berjuang. Semuanya jadi ringan bagi mereka demi mempertahan Malaysia tercinta.


Gugurnya mereka, syahid seorang pejuang di medan perang.


Bagaimanapun, wira-wira kita memerlukan doa dan sokongan yang berterusan daripada rakyat Malaysia untuk menggalas cabaran peperangan pengganas bersenjata dari selatan Filipina itu.


Memang saya bangga menjadi anak seorang anggota polis. Namun saya tidak dapat menyembunyikan perasaan gentar bercampur khuatir dengan apa juga nasib pasukan keselamatan di medan juang.


Dan kerana kebimbangan itulah, terpacul dari mulut "jika abah di Op Daulat..."!


Walau abah tidak dipanggil ke medan juang, saya tetap sentiasa memanjang doa untuk perwira kita di perbatasan.


Sesungguhnya doa dan sokongan 26 juta rakyat Malaysia menjadi semangat untuk mereka!


*Penulis bersama wartawan NURUL RIDUAN NOR ASHAHA, berpeluang membuat liputaan Op Daulat selama 12 hari di Gugusan Felda Sahabat, Lahad Datu Sabah.

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.