Wednesday, March 20, 2013


KALAU dibuat undian, apakah perkataan yang paling banyak sekali membangkitkan kemarahan dalam tempoh sebulan ini, mungkin ada dua: pencerobohan dan sandiwara. Kebetulan pula, dua istilah ini berkait kerana peristiwa pencerobohan itulah yang membawa tafsiran sebagai sandiwara oleh seorang pemimpin parti politik pembangkang.

Bagi Tian Chua, kata-kata yang tersiar menerusi Keadilandaily (1 Mac 2013) itulah yang patut dipersalahkan kerana beliau tidak bertanggungjawab mengenainya, kecualilah “petikan langsung.” Oleh kerana kata beliau “tidak kata” sebagaimana dilaporkan, maka beliau bersedia berhadapan dengan apa sahaja kemungkinannya, termasuk dihadapkan dengan saman fitnah atau bakal kehilangan statusnya sebagai Yang Berhormat kerana kalah jika pun dicalonkan semula bertanding.

Sejak mentafsirkan pencerobohan askar Sultan Sulu palsu yang mahu merampas semula Sabah sebagai “sandiwara kerajaan UMNO” setelah haknya terlucut secara rasmi pada tahun 1878, dan kemudiannya diserahkan kepada kerajaan Filipina untuk membuat tuntutan, tetapi gagal apabila Suruhanjaya Cobbold menjalankan referendum pada tahun 1962 untuk penentuan sikap. Filipina berdiam diri kerana menghayati bahawa itu adalah keputusan rakyat Sabah sendiri untuk berada dalam Malaysia, dan bukannya kembali sebagai sebuah wilayah Filipina sebagaimana didakwa oleh Jamalul Kiram III.

Menariknya dalam pentafsiran tersebut ialah pemahaman Tian Chua mengenai perkataan sandiwara itu sudah terpesong maksud. Ketika beliau mengeluarkan pendapat tersebut apabila ditanya oleh Keadilandaily, tentunya “konspirasi UMNO untuk mengalihkan perhatian dan menakut-nakutkan rakyat” sehingga telah “menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayng mainan kerajaan UMNO.” Maknanya, Tian Chua tidak menganggap bahawa perjuangan pasukan keselamatan sehingga terkorban seramai enam orang pada hari itu bukanlah sesuatu yang benar dan sungguh-sungguh. Ia seperti adegan tembak menembak dalam filem koboi dan selepasnya, mereka “yang mati ditembak” itu hidup semula.

Kalau itu yang difikirkan oleh Tian Chua, maka benarlah kata sesetengah orang bahawa politik Naib Presiden PKR itu benar-benar berada pada tahap paling rendah, seperti yang ditunjukkan oleh ramai pemimpin pakatan pembangkang, yang sentiasa melihat warna putih sebagai hitam kerana putih itu boleh menjejaskan kredibiliti politik mereka. Tidak hairanlah, perkataan sandiwara itu amat sering diucapkan oleh para pemimpin pakatan pembangkang sejak mereka sedar, banyak kelemahan yang terpaksa ditutup bagi meneruskan kelangsungan politik pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Ramai rakyat Malaysia marahkan Tian Chua sehingga ratusan laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak sehingga ada yang menggesa “tidak dibenarkan masuk Sabah” dan “dilucutkan” taraf kewarganegaraannya. Tetapi, bagi Tian Chua ia bukanlah sesuatu yang menakutkan kerana itu adalah asam garam dalam politik, kerana beliau banyak mencipta pengaruh dengan cara bersandiwara.

Kamus Dewan (edisi keempat, cetakan 2007) mentakrifkan sandiwara itu sebagai: (1) pertunjukan cerita yang dilakonkan oleh orang, pementasan cerita, setambul, tonil; dan (2) sesuatu kejadian yang tidak sungguh-sungguh (untuk mengabui mata sahaja dan lain-lain.” (hal. 1385). Dalam kamus yang sama juga ada perkataan “sandi”, iaitu dari bidang linguistik membawa maksud: ubah suaian bunyi pada bentuk-bentuk tatabahasa yang digandingkan, boleh berupa elipsis, pemendekan, dll (misalnya, hala + laju = halaju, se + orang = seorang). Ada juga perkataan “wara” (hal. 1800), tetapi ia digandakan menjadi “wara-wara” yang membawa maksud “pemberitahuan, pengumuman, pengisytiharan.”

Kalaulah sandiwara itu diambil dari dua perkataan, iaitu sandi dan wara, maknanya boleh dirumuskan sebagai “ubah suai bunyi pada bentuk tatabahasa yang digandingkan” dan “pemakluman secara meluas kepada ramai orang.” Ini kerana, tujuan sesuatu “pemberitahuan, pengumuman, pengisytiharan” iailah diketahui oleh ramai orang. Maka, Tian Chua sebenarnya mempunyai tujuan untuk memberitahu kepada ramai orang bahawa pencerobohan ke atas Lahad Datu yang mengorbankan enam anggota polis pada hari itu hanyalah satu lakonan yang dirancang oleh UMNO.

Atas pemahaman itulah pada 4 Mac 2013, Tian Chua menerima notis agar “berhenti daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah” atau “sebarang kenyataan yang serupa terhadap UMNO, membuat satu permohonan maaf tidak bersyarat dalam bentuk bertulis” yang dituntut oleh Setiausaha Agung UMNO menerusi Hafarizam Wan & Aisha Mubarak. Bagaimanapun, dalam tempoh tujuh hari, Tian Chua tidak tunduk dengan notis tersebut, kerana beliau menganggap kenyataan itu adalah olahan Keadilan Daily (Berita Harian, 8 Mac 2013).

Khamis lalu (14 Mac 2013), Tian Chua dihadapkan ke Mahkamah Seysen Jalan Duta atas dakwaan menghasut selepas memberikan keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya. Tian Chua didakwa melakukan kesalahan berdasarkan Akta Hasutan dan akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Kesiksaan. Oleh kerana tidak mengaku bersalah, Tian Chua dikenakan ikat jamin sebanyak RM 5,000 dengan seorang penjamin dan akan disebut semula pada 12 April 2013.

Tian Chua pernah didenda RM 2,000 setelah didapati bersalah menggigit telinga seorang pegawai polis pada tahun 2007. Sebelumnya, Tian Chua dikenakan denda sebanyak RM 3,000 dan penjara enam bulan tetapi telah diketepikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha. Kedudukan itu tidak menyebabkan Tian Chua kehilangan statusnya sebagai wakil rakyat dan ini menimbulkan perdebatan hangat di Dewan Rakyat pada pertengahan tahun 2011.

Perdebatan di Parlimen itu mengambil contoh, seorang wakil rakyat DAP walaupun didenda sebanyak RM 2,000 pada tahun 1975, Fan Yew Teng terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Menglembu kerana turut dikenakan hukuman penjara selama enam bulan atas kesalahan di bawah Akta Hasutan. Dan, mempersoalkan, jika hal sedemikian berlaku kepada wakil rakyat BN, gegak gempitalah seluruh negara pemimpin pembangkang dan pencacainya untuk mendesak yang terbabit meletakkan jawatan.

Ramai rakyat negara ini masih ingat bagaimana Dr Chua Soi Lek terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kesihatan dan wakil rakyat apabila mengaku “sayalah lelaki dalam video tersebut.” Bagaimanapun, pengakuan jujur Dr Chua Soi Lek dianggap lebih terhormat daripada hampir kesemua pemimpin pakatan pembangkang, kerana sentiasa bersandiwara takutkan kedudukan politiknya terjejas.

Tian Chua terselamat kerana tidak dikenakan hukuman penjara dan didenda tidak melebihi RM 2,000. Ramai rakyat pada masa itu melihat apa yang berlaku ke atas Tian Chua adalah satu bentuk “sandiwara politik”, kerana pemimpin pembangkang tidak melakukan tindakan yang budiman, walaupun kecil kesalahan, ia tetap merupakan satu kesalahan. Tian Chua bermain sandiwara seterusnya untuk mempertahankan “kebersihan” dirinya walaupun pernah disabitkan kesalahan menggigit telinga anggota polis.

Maknanya, sandiwara yang dilakonkan oleh Tian Chua adalah kesinambungan daripada beberapa tindakannya sebelum ini. Beliau merupakan salah seorang yang terbabit dalam sandiwara pakatan pembangkang untuk “menukarkan kerajaan”, yang ternyata suatu lakonan terbesar dan paling bersejarah dalam politik Malaysia kerana beliau sanggup terbang ke Taiwan untuk memburu wakil-wakil rakyat BN yang berada di sana dalam misi lawatan sambil belajar mengenai kaedah pertanian moden. Dalam misi tersebut, Tian Chua gagal menemui wakil-wakil rakyat BN kerana mereka terlebih dahulu sudah pulang ke tanah air dan sebahagian kecil mengambil peluang melancong.

Dengan rasa kecewa, Tian Chua dan rombongannya pulang ke tanah air. Kemudiannya, skrip cerita “menukarkan kerajaan” diubah sekali lagi dengan “memberikan jaminan” bahawa ia akan menjadi kenyataan dalam sedikit masa kerana terdapat beberapa masalah teknikal, sehingga diberitakan akan berlaku sebelum hujung tahun 2008. Semuanya adalah sandiwara, sehingga Tian Chua menuduh “pencerobohan Lahad Datu” dan kematian anggota keselamatan (kini, sudah 10 orang, sembilan terkena senjata pengganas dan seorang terbabit dalam kemalangan ketika dalam misi menghantar makanan kepada anggota keselamatan yang terbabit dalam Op Daulat) sebagai “konspirasi oleh kerajaan UMNO.”

Bagaimanapun, Tian Chua tidak pula berani melemparkan dakwaan bahawa Pengerusi DAP juga bermain sandiwara apabila membuat desakan agar dikaji semula bayaran kepada Kesultanan Sulu berjumlah RM 5,300 setahun. Sebenarnya, Tian Chua tidak dapat melihat sandiwara sebenarnya telah dimulakan oleh pakatan pembangkang, kerana sebelum berlakunya pencerobohan, Anwar Ibrahim sudah membuat jenakanya bahawa “Sabah hilang” dengan mengubah lirik lagu rakyat yang dinyanyikan oleh kanak-kanak, Tanya Sama Pokok Kenapa Goyang.

Hari ini, pemimpin pakatan pembangkang menjadi semakin bercelaru kerana pokoknya benar-benar bergoyang dengan adegan “Raja Goyang” mirip Ketua Pembangkang yang sudah disiarkan secara meluas menerusi internet. Maka, siapakah sebenarnya yang bersandiwara dalam hal seperti itu. Jika ada pihak menafikan bahawa “Raja Goyang” itu bukan kejadian sebenar, maka sahlah yang bergoyang dan terus bergoyang ialah pemimpin pakatan pembangkang.

Lebih mengecewakan ialah apabila tidak ada pemimpin pakatan pembangkang cuba menafikan bahawa adegan tersebut sengaja direka-rekakan, sebagaimana ketika tersiarnya pengakuan berat sebelah Mohd Azlan bahawa anaknya, Saiful Bakhari telah dipergunakan oleh orang politik. Jika dilihat daripada sudut peristiwa pengakuan tersebut, jelas membuktikan yang cuba bersandiwara ialah pakatan pembangkang, kerana terlalu terdesak untuk membersihkan kesalahan moral walaupun secara mutlaknya, persoalan tersebut masih tidak dapat menjawab, apakah berlaku sodomi antara Anwar Ibrahim dan Saiful Bakhari Azlan?

Keputusan mahkamah tidak menafikan bahawa sodomi tidak berlaku. Kemenangan hanya berasaskan kepada tidak cukup bukti sebagaimana Anwar pernah menang dengan keputusan juri dalam kes sodominya pada tahun 1997/1998. Masih boleh disemak bahawa salah seorang juri tidak berganjak dengan pendiriannya, Anwar menang dalam kiraan 2-1, dan bukannya 3-0. Kes sodomi II masih belum boleh memberikan kelegaan jangka panjang kepada Anwar, kerana proses rayuan masih belum selesai dan Saiful sanggup mempertahankan dakwaannya walaupun kali ini, tidak lagi diberikan sokongan oleh ayahnya sendiri.

Ayah Saiful juga bermain sandiwara kerana pada suatu ketika mengutuskan surat kepada Yang Di Pertuan Agong menuntut agar anaknya diberikan keadilan, tetapi, kali ini, beliau belum memohon maaf kepada Yang Di Pertuan Agong atas perubahan pendiriannya. Maknanya, skrip sandiwara dalam sandiwara pakatan pembangkang akan melebihi konsep cerita berbingkai yang ada di antara pemimpin-pemimpin politik pernah belajar, itu pun jika mereka merupakan pelajar Kesusasteraan Melayu Klasik sama ada di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran ataupun universiti.

Dalam sastera memang ramai yang pernah dengar ungkapan bahawa dunia adalah pentas, manakala manusia adalah pelakonnya. Kata William Shakepear itu amat serupa dengan apa yang berlaku dalam kehidupan manusia, dan dalam versi yang lain, ada masyarakat seni menterjemahkannya ke dalam lagu: Dunia ini Panggung Sandiwara. Lagu ini cukup popular suatu ketika, dan bila dimasukkan tajuknya ke dalam enjin carian google, jelaslah begitu ramai penyanyi yang mengambilnya sebagai lagu yang begitu berkesan sekali. Dari Ahmad Albar, Godbless, Nike Astria, Nike Ardila, Duo Kribo hinggalah pernah dipopularkan semula oleh seorang penyanyi Singapura.

Liriknya seperti berikut:

Dunia ini panggung sandiwara
Cerita yang mudah berubah
Kisah Mahabarata atau tragedi dari Yunani
Setiap kita dapat satu peranan
Yang harus kita mainkan
Ada peran wajar ada peran berpura pura
Mengapa kita bersandiwara
Mengapa kita bersandiwara
Peran yang kocak bikin kita terbahak bahak
Peran bercinta bikin orang mabuk kepayang
Dunia ini penuh peranan
Dunia ini bagaikan jembatan kehidupan
Mengapa kita bersandiwara
Mengapa kita bersandiwara
Dunia ini penuh peranan
Dunia ini bagaikan jembatan kehidupan
Mengapa kita bersandiwara

Anehnya, kerana terlalu banyak sandiwara ada orang tidak mahu meneliti bahawa itulah sebenarnya yang akan membawa kehidupan mereka sebagai tragedi. - terangbulan.net

2 comments:

Anonymous said...

Boleh masuk dalam Malaysia Book of Record, Tian Chua dan Lim Eng Guan paling banyak gambar diaorang di bakar.

Malayan Fighter said...

WE ARE PENANG FIGHTER MOHON DIPAUTKAN DI BLOG TUAN,EP SUDAH SIAP SEDIA DIPAUTKAN DI HALAMAN MF.TQ SALAM daN SALAM 1 MALAYSIA

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.