Thursday, March 7, 2013


Sejak akhir-akhir ini, status serta laman facebook milik aktor, Azhar Sulaiman sering dipenuhi dengan isu dan perkara yang berbaur politik yang menyokong pucuk pimpinan parti Umno.

Azhar Sulaiman yang ditemui murai.com.my berkata dia akui bertindak sedemikian selepas secara rasminya menyertai Umno Bentong beberapa bulan lalu.

"Baru-baru ini saya baru sahaja menjadi ahli Umno Bentong, sebab saya pun berasal daripada Bentong. Saya selami ini memang menyokong Barisan Nasional dan berasal daripada keluarga Umno tetapi tidak pernah menjadi ahli.

"Sebenarnya saya menyertai Umno kerana saya mahu menguar-uarkan prinsip hidup sebenar saya. Saya tahu tindakan saya ini mesti akan mewujudkan kesan dan akibatnya kerana ada yang suka dan ada juga tidak. Saya hanya mengambil risiko terhadap pandangan orang," katanya kepada murai.com.my

Terdahulu, dalam artikel murai.com.my Azhar Sulaiman ada menjelaskan isu yang dia mengaku murtad di dalam Facebook. Isu itu diutarakannya selepas parti pembangkang menyifatkan semua yang menganggotai parti Barisan Nasional adalah murtad.

Menurut Azhar Sulaiman lagi, tindakannya meluahkan isu-isu berbaur politik, bukanlah sesekali mahu berpolitik atau mempengaruhi sesiapa tetapi lebih kepada membincangkan atau mendapat jawapan atau pandangan daripada segala persoalannya.

"Saya hanya rakyat biasa yang ada pendirian tersendiri. Saya meluahkan rasa di Facebook bukan untuk menarik perhatian orang tetapi hanya mahukan jawapan dan pandangan terhadap isu yang saya persoalkan.

"Saya bukan hendak menjadi ahli politik tetapi saya hanya mahu meluahkan rasa mengenai persoalan dalam isu dalam negara kita. Isu yang orang anggap kecil tetapi besar dan bermakna buat saya seperti kuota bumiputera yang mahu dihapuskan dan sebagainya.

"Rasanya tidak pernah ada apa-apa statement mengenai politik atau Umno setakat ini. Saya hanya mahu meluaskan lagi pemikiran dengan apa jua pendapat daripada mereka yang memberi komen.

"Lagipun, dalam usia sebegini apa yang orang akan jangka saya tulis di laman Facebook? Saya bukan anak kecil yang akan menulis mengenai soal peribadi yang rasanya tidak perlu dikongsi. Jadi inilah tindakan matang saya setakat ini," jelasnya lagi.

Tambah pelakon Sayang Salmah itu lagi, dia kini tidak bergiat dalam mana-mana aktiviti berpolitik kecuali aktiviti yang melibatkan diri dalam pertubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) DAN Majlis Belia Malaysia (MBM).

"Aktiviti politik secara khas tiada, tetapi saya lebih banyak terlibat dalam activiti yang dianjurkan oleh GPMS dan juga MBM kerana saya adalah ikon GPMS jerantut dan Megamind Program untuk MBM.

"Untuk bagi ceramah politik jauh sekali tetapi bila pilihan raya sudah tiba mungkin saya akan memperbanyakkan lagi aktiviti berpolitik," luahnya lagi.

Mengenai perkembangan terbarunya dalam bidang lakonan, Azhar kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Karlos untuk TV3. - Murai

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.