Tuesday, March 26, 2013


Di sebalik kesedihan dan kebimbangan kerana terpaksa meninggalkan kediaman akibat serangan pengganas, insiden pencerobohan itu bagaimanapun berjaya menyatukan dua wanita bermadu yang sebelum ini ‘dingin.’

Kedua-dua isteri Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmud Mallang, 72, sebelum ini tidak begitu rapat, namun berubah sejak 4 Mac lalu.

Selepas membawa kedua-dua isteri berpindah ke rumah sementaranya di Fajar Harapan dekat sini, katanya hubungan mereka semakin akrab serta tiada masalah melakukan kerja rumah bersama tanpa syak wasangka.



Dikurnia sembilan anak

“Saya berkahwin dengan isteri pertama, Jamilah Mumuk, 72, sejak 50 tahun lalu dan kami dikurniakan lapan anak.

“Namun, takdir menentukan saya bertemu jodoh dengan Nurhaili Alimuddin, 23, tujuh tahun lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata.

“Di kampung, jarak rumah kedua-dua isteri saya hanya 500 meter, tetapi hubungan mereka tidak begitu rapat. Bagaimanapun, segala-galanya berubah apabila kampung kami diceroboh pengganas menyebabkan kami diminta berpindah.

Hubungan makin erat

“Selepas berpindah, hubungan kedua-dua isteri semakin erat, malah anak-anak kami juga boleh menerima satu sama lain.

“Lebih mengejutkan, mereka boleh tidur sekatil di rumah sementara kami menyebabkan hati saya tersentuh,” katanya kepada BH.

Mahmud berkata, beliau bersama dua isterinya sentiasa makan serta meluangkan masa bersama.

“Apa yang berlaku di kampung kami memang pahit untuk diterima, apa lagi rumah isteri kedua turut terbakar, namun pada masa sama saya bersyukur kerana ada hikmah di sebalik kejadian ini,” katanya. – Berita Harian

1 comments:

Anonymous said...

keh keh keh

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.