Tuesday, March 26, 2013



Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak harus diberi terlalu banyak ruang berita kerana itulah apa yang beliau suka, sebaliknya usah hiraukannya kerana beliau tidak suka apabila tidak dipedulikan, kata bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin. 

Daim berkata orang tidak harus membazirkan masa dengan Anwar kerana beliau telah melepasi "tarikh luput" dan zaman ketua pembangkang itu telah datang dan berlalu.

"Saya juga fikir yang anda tidak harus memberikan terlalu banyak ruang berita untuk beliau. Itu yang beliau suka. Beliau tidak suka bila tidak dihiraukan, jadi bagi saya jangan hiraukannya. 

"Beliau sepatutnya dibiarkan sahaja menjadi penghibur, menari dan menyanyi di ceramah-ceramah. Sepertimana saya katakan, zamannya sudah berlalu, umpama 'burung punggok merindukan bulan'," kata Daim dalam wawancara dengan New Sunday Times.

Bekas menteri kewangan itu menegaskan jika rakyat memilih pembangkang yang dipimpin Anwar, dengan itu negara akan menuju jalan kehancuran.

"Beliau telah diuji semasa krisis kewangan Asia dan beliau telah gagal. Saya juga fikir yang beliau gagal bukan hanya kerana dasar-dasarnya, tetapi juga kerana motifnya," katanya.

Daim berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada ketika itu benar-benar marah dengan krisis itu kerana beliau tidak sanggup melihat apa yang telah beliau bina sejak bertahun-tahun lamanya musnah akibat sikap tamak spekulator dan penyangak mata wang.

Bekas menteri kewangan itu juga melahirkan kegusarannya bahawa Anwar tidak arif mengenai ekonomi dan jika beliau sekali lagi menjadi menteri kewangan atau perdana menteri, beliau akan cenderung mengikut jejak Amerika.

"Amerika sedang berada dalam krisis, Eropah sedang berada dalam krisis. Beliau suka dikaitkan dengan Eropah, Amerika dan Australia," katanya.

Beliau berkata Anwar cuba mendapatkan Australia untuk menyokongnya, untuk mengutuk dan menyatakan pilihan raya di negara ini tidak adil serta menyatakan Arab Spring di Malaysia bukan menerusi revolusi tetapi menerusi peti undi.

Daim mendakwa, Anwar sedang "menghasut" fikiran rakyat di sini dan memberitahu dunia bahawa pembangkang akan menang sedangkan beliau tahu yang beliau tidak boleh menang.

"Beliau memberitahu dunia yang beliau akan menang pilihan raya ini tetapi sekiranya pembangkang kalah, Anwar akan kata ini adalah kerana wujud amalan berat sebelah dan perusuh akan keluar ke jalan-jalan untuk protes.

"Beliau berjanji untuk membentuk kerajaan pada September 2008. Semua orang gentar dan ramai yang percayakan beliau. Itu memang cara beliau. Beliau hanya pandai cakap dan berjanji. Kini, beliau memberitahu dunia yang beliau akan menang," kata Daim. 

Katanya jika pembangkang kalah, Anwar akan mendakwa ia satu penipuan dan kemudian membawa Arab Spring ke sini serta menghasut rakyat bahawa di bawah Barisan Nasional, undi mereka dicuri dan mereka perlu melakukan protes jalanan untuk mendapatkan semula undi mereka.

"Dapat anda bayangkan senarionya jika pembangkang tidak berjaya ke Putrajaya? Beliau akan berterusan mendakwa ia satu penipuan dan kemudian membawa Arab Spring di sini."

Daim menegaskan tidak pernah berlaku penipuan dalam pilihan raya di Malaysia dan ini terbukti apabila pembangkang membentuk lima kerajaan negeri pada pilihan raya umum lepas.

"Bagaimana pembangkang boleh menang banyak kerusi sekiranya kerajaan menipu dalam pilihan raya? Tiada pilihan raya yang sempurna di dunia ini," katanya.
    
Bernama

2 comments:

Anonymous said...

Dier suke pungkok!! Pungkok jantan plak tuuu!
Tp dia "bijak" hahaha

Anonymous said...

Dia memang 'bijak' dalam soal menghasut penyokong pas dan pkr untuk buat demo jalanan,dia juga bijak dalam soal putar memutar....

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.