Thursday, March 7, 2013


Kedaulatan negara kita yang sebelum ini terpelihara telah tercemar dek kerana tindakan pihak yang menggelarkan mereka waris Kesultanan Sulu dengan menyerang serta menuntut Sabah khususnya Lahad Datu yang didakwa hak milik mereka.



Dalam serangan serta pertarungan di antara pihak berkuasa tempatan dan pihak bersenjata daripada penmgganas tersebut, ia telah mengorbankan beberapa nyawa perwira negara. Semua rakyat Malaysia kini dilihat prihatin terhadap tragedi yang menimpa Lahad Datu kini. Malah, para selebriti turut melahirkan rasa tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia yang inginkan keamanan yang berterusan di negara kita.

Afdlin Shauki ketika ditemui melahirkan rasa bimbangnya terhadap rakyat negara kita di kawasan yang diceroboh oleh tentera daripada Kesultanan Sulu itu. Dia juga kesal dengan pihak yang mengaitkan isu politik dengan pencerobohan ini.

"Saya secara peribadi merasa amat bimbang dengan apa yang terjadi di Lahad Datu, Sabah. Perkara ini sangat serius kerana ia melibatkan keselamatan orang ramai terutamanya penduduk di sana. Diharapkan kita semua dapat berdoa agar kadaulatan dan keamanan Malaysia terus dipertahankan dan rakyat kita dilindungi,"komen Afdlin Shauki yang amat prihatin mengenai perkara ini.

"Isteri saya mempunyai keluarga yang tinggal di sana dan juga kenalan terdekat. Mereka memberitahu bahawa mereka berada dalam ketakutan dan tidak senang duduk kerana bimbang.

"Inilah perasaan yang dirasakan penduduk di Gaza. Pengalaman saya melihat sendiri keadaan di Gaza, hal ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Kesemua dugaan ini datang daripada Allah SWT dan diharapkan doa dapat melindungi para pejuang negara dan rakyat Malaysia yang berada di sana,"tambah Afdlin lagi.

Afdlin juga dengan tegas memohon kepada pihak-pihak tertentu supaya tidak mempolitikkan perkara yang serius seperti ini demi kepentingan individu kerana ia melibatkan nyawa serta anak bangsa kita da nada yang telah terkorban.

"Saya kecewa apabila terdengar pihak yang mengaitkan peristiwa yang telah pun mengorbankan beberapa orang anggota polis kita itu dengan politik. Mengapa sampai begitu sekali isu sebegini dipolitikkan sampai tragedi berdarah sedemikian kononnya turut didalangi politik.



"Tolong lupakan sebentar agenda politik masing-masing dan jangan pedulikan dakwaan-dakwaan tersebut. Yang penting sekarang kita perlu bersatu demi kedaulatan dan keamanan negara kita. Selain itu saya pohon supaya lebih banyak laporan serta informasi dapat diberikan mengenai situasi di Sabah untuk memberikan gambaran jelas tentang apa yang berlaku disana,"ulasnya lagi .. - MURAI

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.