#kekalnajib

Wednesday, February 6, 2013

Kalimah ALLAH: Jangan siram minyak lagi, Hasan Ali nasihat MCCBCHST


MAJLIS Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) telah mengemukakan pandangan mereka mengenai isu Kalimah ALLAH yang dipetik oleh beberapa portal berita semalam.

Pimpinan-pimpinan Majlis MCCBCHST mempertikaikan perkara-perkara berikut:

a. Larangan menggunakan kalimah Allah oleh penganut-penganut agama bukan Islam di anggap sebagai bertentangan dengan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.
b. Larangan tersebut menyentuh kebebasan mengamal agama di kalagan orang bukan Islam apabila mereka hendak menggunakan kalimah ALLAH di dalam menyampaikan mesej agama mereka kepada penganut-penganut agama yang sama.
c. Mempertikai pandangan yang diberi oleh Masi dan mantan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheik Abdul Halim yang mana kedua-duanya dengan secara jelas merujuk kepada peruntukan perlembagaan yang ada serta Enakmen Negeri dan fatwa-fatwa yang dikeluarkan yang tidak membenarkan Kalimah ALLAH digunakano leh penganut bukan Islam.
d.  Mempertikaikan kredibiliti Mais sebagai badan pembuat dasar mengenai Islam di Selangor dan juga kredibiliti mantan Ketua Hakim Negara yang tidak syak lagi merupakan pakar segala pakar dalam hal yang berkaitan dengan perundangan negara dan negeri.


Jelas daripada apa yang dikemukakan oleh MCCBCHST tersebut bahawa mereka mengemukakan fakta yang tidak bersendikan kepada kefahaman yang jelas mengenai perundangan yang ada dan terdapat unsur-unsur melindungkan beberapa fakta seperti wujudnya Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang secara jelas menyenaraikan perkataan-perkataan termasuk kalimah ALLAH yang tidak boleh digunakan oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Perlu disebutkan MCCBCHST gagal mengambil kira bahawa sejak dari dulu belum pernah timbul sebarang permohonan untuk menggunakan kalimah ALLAH oleh mana-mana penganut agama termasuk agama Kristian. Rakyat Malaysia telah hidup dalam suasana aman damai di dalam kerangka saling menghormati penganut dan amalan agama antara satu dengan lain buat sekian lamanya.

Hanya akhir-akhir ini menjelang PRU13,isu kalimah ALLAH ditimbulkan yang sehingga ke hari ini tidak pernah diterangkan motif sebenar di sebalik permohonan itu. Rakyat faham bahawa di Sabah dan di Sarawak memang kalimah ALLAH telah sekian lamanya digunakan oleh masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Tetapi agak aneh sekiranya isu Kalimah ALLAH ditimbulkan di Semenanjung sedangkan permintaan seperti ini tidak pernah wujud dalam sejarah hubungan antara agama bagi penduduk di Semanjung Malaysia yang majoriti besarnya beragama Islam.

MCCBCHST sepatutnya sudah menyaksikan kesan yang mungkin timbul jika permintaan sedemikian ditunaikan. Kemarahan umat Islam mungkin tidak dapat dibendung lagi. Puluhan laporan polis yang dibuat di beberapa tempat menjadi testimoni kepada gejala buruk ini.

MCCBCHST juga perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan dan negeri, termasuk badan-badan Islam yang ada tidak pernah cuba mengawal orang bukan Islam atau mengganggu amalan agama mereka. Apa yang berlaku adalah percubaan mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melanggar batas yang ada dengan meminta supaya kalimah ALLAH yang menjadi hak eksklusif orang Islam juga dapat diguna pakai oleh orang bukan Islam. Inilah sebenarnya amalan yang tidak sihat yang boleh mengakibatkan ketegangan antara bangsa dan agama.

Sepatutnya MCCBCHST yang dianggotai oleh mereka yang berwibawa, arif dengan persikataran sosiobudaya negara ini sepatutnya tidak mengambil langkah menyiram minyak kepada api yang sudah mula marak. Kebijaksanaan yang ada kepada pimpinan MCCBCHST sepatutnya digunakan dengan sebaik-baiknya bagi menentukan kedamaian, keharmonian dan kesejahteraan yang telah dan sedang dinikmati akan terus dinikmati oleh generasi yang akan datang.

Dicadangkan supaya MCCBCHST jangan cuba menjebakkan diri mereka dalam permainan dan percaturan politik yang tidak sihat.

Mereka sebaliknya perlu mengambil sikap yang lebih positif supaya mencari jalan sebaik-baiknya sekurang-kurangnya menasihatkan beberapa orang pimpinan politik Pakatan Rakyat supaya mereka bermuhasabah dan mengkaji apakah tindakan mereka untuk meraih keuntungan politik jangka pendek dapat menjamin hubungan antara bangsa dan agama yang terus damai pada jangka panjangnya.

Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Presiden Jati

2 comments:

  1. hanya kemenangan 2/3 bn aje boleh tutup mulut dia orang

    ReplyDelete
  2. dah makin lebih pulak puak2 nie, dlu takde pown nak ungkit...skang dah sibok pulak dok melalak.....apasal, tak cukup lagi ke kebebasan agama di Malaysia nie

    ReplyDelete

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.


Popular