Thursday, February 14, 2013


Tun Dr Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada penipuan yang dilakukan oleh Umno berhubung dakwaan bahawa PAS telah ditipu oleh Umno semasa parti itu berada dalam BN.

Bekas perdana menteri itu berkata Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan telah menjelaskan kenapa PAS tidak boleh bersama Umno dalam usaha untuk menyatupadukan orang Melayu. 

"Katanya PAS telah ditipu oleh Umno semasa PAS berada dalam BN. Bagaimana Umno menipu PAS tidak dijelaskan dengan terang," katanya dalam entri terbaharu dalam blog beliau di www.chedet.cc hari ini.

Katanya perpecahan dalam PAS bukan kerana Umno dan kekalahan parti itu pada pilihan raya negeri Kelantan pada Mac 1978 menyebabkan ia keluar daripada BN.

"Perpecahan dalam PAS bukan kerana Umno tetapi kerana Datuk Mohd Nasir (Menteri Besar Kelantan ketika itu) mencabar kepimpinan Datuk Asri Muda (Presiden PAS ketika itu). Kekalahan PAS menyebabkan PAS keluar dari BN. Tidak ada penipuan oleh Umno," katanya.

Dr Mahathir memberitahu bahawa beliau adalah menteri dalam kabinet Tun Hussein Onn ketika PAS keluar dari BN, begitu juga berada dalam kabinet Tun Abdul Razak Hussein bersama Datuk Asri Muda dan Hassan Adli (Timbalan Yang Dipertua Agung PAS ketika itu) semasa PAS menyertai BN.

"Datuk Asri diberi jawatan Menteri Tanah dan Galian. Ini bermakna beliau bertanggungjawab terhadap Felda.

"Selepas beberapa bulan PAS menyertai BN, anggota Umno Johor mengadu kepada Tun Razak bahawa Datuk Asri giat mempromosikan PAS di kalangan peserta Felda. Saya berada di sisi Tun pada ketika itu," katanya.

Katanya secara kebetulan hampir semua peserta Felda terdiri daripada penyokong kuat Umno dan selepas Asri bertanggungjawab ke atas Felda, hampir semua peserta Felda menjadi penyokong kuat PAS dan menolak Umno.


"Pada waktu itu timbul sengketa antara Asri sebagai ketua PAS dengan Mohd Nasir yang sebagai Menteri Besar untuk menggantikan Asri. Mohd Nasir mendakwa beliau telah mengesan banyak penyelewengan yang dilakukan oleh Asri semasa menjadi Menteri Besar Kelantan," katanya.

Dr Mahathir berkata Asri cuba menyingkirkan Mohd Nasir melalui undi tidak percaya dan Mohd Nasir enggan meletak jawatan walaupun kalah. 

Katanya ramai anggota PAS memihak kepada Mohd Nasir dan mereka mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran menentang Asri.


"Kerana PAS berpecah, kerajaan BN Kelantan tidak dapat berfungsi. Darurat terpaksa diisytihar dan seorang pegawai kanan dilantik untuk memangku jawatan Ketua Pentadbir Kelantan.

"Pada Mac 1978 pilihan raya peringkat negeri diadakan di Kelantan. Mohd Nasir menubuhkan parti Berjasa yang bertanding melawan PAS. Sokongan kepada Berjasa begitu kuat sehingga ia memenangi 11 kerusi. PAS memenangi hanya dua kerusi," katanya.

Katanya walau apapun yang terjadi dahulu, umat Islam disuruh oleh agama supaya menyambut seruan kedamaian daripada musuh jika seruan dibuat supaya berdamai. 

Katanya umat Islam disuruh bersatupadu dan menganggap semua umat Islam sebagai saudara. 

"Penolakan perpaduan sesama orang Islam tidak menepati ajaran Islam. Janganlah orang Islam menolak usaha menyatupadu untuk memperkuatkan orang Islam dengan membuat tuduhan yang tidak berasas," katanya.

- Bernama

** Itu belum lagi Tun M menceritakan mengapa Nik Aziz sanggup tunggu untuk berjumpa Tun M di Pulau Langkawi...

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.