Wednesday, January 2, 2013


"DIA cikgu sekolah Melayu dan sekolah rendah sahaja," kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tentunya untuk merendahkan pemikiran dan tindakan bekas penyokong tegar parti itu, Zainon Ismail dan lebih dikenali dengan nama C.N al-Afgani melalui bukunya Kafirkah Aku?

Seolah-olah Zainon dengan tahap pemikirannya tidak layak untuk mempersoal, menegur dan memperingatkan Abdul Hadi tentang keburukan kesan ucapannya - Amanat Haji Hadi yang menjadi intisari buku itu.

Zainon yang menyerahkan seluruh jiwa dan penghidupannya bagi memperjuangkan parti itu mendedahkan betapa Amanat Haji Hadi yang masih menjadi pegangan ramai penyokong parti itu turut membawa musibah kepada bangsa dan agama ketika Pas semakin jauh terpesong daripada landasan asal.

Zainon yang terlalu kecil di depan Abdul Hadi itu telah menunaikan tanggungjawabnya dan kini ramai ingin melihat sama ada Presiden Pas itu mempunyai jiwa yang besar.

Dalam reaksi awalnya terhadap isu itu, Abdul Hadi tidak menjawab sama ada akan menarik balik atau mempertahankan petikan ucapannya yang kemudiannya dinamakan Amanat Haji Hadi sebagai satu azimat untuk mengukuhkan pendirian penyokong Pas.

Namun Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih awal mengingatkan Abdul Hadi supaya tidak tunduk dengan desakan malah perlu mempertahankannya.

Nampaknya tidak akan ada jawapan yang jelas, justeru beliau lebih seronok untuk bercakap di televisyen secara langsung selama sejam. Jika tidak, apakah beliau akan terus mendiamkan diri?

Ada kalangan umum yang berpendapat, Abdul Hadi sebenarnya tidak perlu bersusah payah untuk mendapat peluang menjelaskan di televisyen dan tidak perlu sejam pun untuk tujuan itu.

Cukup sekadar beliau menjelaskan sama ada kefahaman para pengikutnya terhadap amanatnya yang menyemarakkan sengketa sesama Islam suatu yang silap, dan jika silap, perbetulkanlah.

Untuk menyedarkan mereka, cukup sekadar lidah rasmi parti Harakah atau Harakah TV kerana itulah saluran yang disahkan benar oleh mereka dan tidak penting bagi penyokong UMNO kerana mereka masih tetap dengan syariat bermasyarakat dan bersangka baik terhadap umat Islam yang lain.

Menarik balik atau mempertahankannya tentunya suatu dilema bagi Abdul Hadi kerana beliau perlu mencari alasan yang cukup kuat bagi setiap keputusannya.

Jika ingin mempertahankannya, cubalah Abdul Hadi mengulangi ucapannya lebih tiga dekad lalu itu di hadapan para pemimpin DAP jika masih berpegang kepada 'kebenaran' yang dipertahankannya.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid Wan Salleh berkata, umum ingin tahu sama ada beliau berani menyebutnya secara jelas dan terbuka bahawa Perlembagaan negara ini yang dahulunya dianggap undang-undang kafir akan dipinda jika pembangkang berkuasa.

"Kalau beliau memilih untuk mempertahankan amanat itu, sebaik-baiknya beliau mengulangi setiap patah daripada amanat itu di hadapan orang seperti Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

"Abdul Hadi tidak perlu lagi bercakap 'kluk- klek' (berubah-ubah tidak menentu). Amat mengujakan apakah reaksi para pemimpin parti sekutunya terutama Karpal setelah mendengar pendiriannya kelak," ujarnya.

Amanat Haji Hadi menyebut bahawa penentangannya terhadap UMNO dan Barisan Nasional tiada kaitan kerana lamanya parti itu memerintah tetapi adalah kerana mengekalkan Perlembagaan penjajah kafir dan peraturan jahiliah, malah kematian kerana penentangan itu juga dianggap sebagai mati syahid.

Menurut Wan Ahmad Farid, Abdul Hadi pada tahun lalu dilaporkan menyebut bahawa pakatan pembangkang berikrar akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

"Tetapi pada ketika yang lain pula Abdul Hadi dilaporkan menyebut bahawa pakatan pembangkang akan meminda Perlembagaan negara yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan kepada Islam sebagai addin, iaitu yang merangkumi seluruh kehidupan manusia, jika dipilih menjadi kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

"Presiden Pas itu seharusnya memilih sama ada mempertahankan amanatnya atau mempertahankan Perlembagaan Persekutuan bagi menentukan mana satu masih relevan atau tidak pada masa kini," kata Wan Ahmad Farid.

Isu ini tidak harus ditepis oleh Abdul Hadi dan pemimpin Pas lain sebagai isu lama, basi dan sudah dilupakan kerana ramai yang masih menggunakan pendekatan seperti amanat itu untuk talian hayat politik.

"Soal lama, baru, basi tidak penting. Apakah suatu perbuatan jenayah, kesalahan dan kemungkaran terhapus begitu sahaja kerana sudah lama berlalu. Sementelahan pula apa yang dilakukan suatu yang merugikan, apabila umat Islam berpecah belah, lemah dan Islam semakin dicabar," soal Wan Ahmad Farid.


1 comments:

Anonymous said...

Cikgu nak ajor hadi; abc tu anuwar barua cia, kalau abcd, anuwar balun cina doll atau asal bukan cina dap. Takkan hadi awe tak pahe pahe......

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.