Monday, December 10, 2012



Ketua Menteri, Lim Guan Eng didakwa cuba menukar topik dengan mengaitkan isu-isu lain serta individu lain dalam menjawab persoalan berhubung tanah di Taman Manggis.
Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Dr Shaik Hussein Mydin berkata, Guan Eng bertindak demikian kerana takut untuk menyahut cabaran berdialog berhubung isu berkenaan.

“Dengan tindakannya itu, ia terbukti bahawa dia takut dengan bukti dan cabaran dialog yang akan diadili dalam ‘mahkamah rakyat’ oleh media.

“Kenyataannya bahawa dia akan buktikan di mahkamah juga adalah untuk mengelak daripada rakyat mengadilinya sebelum pilihanraya nanti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, Guan Eng juga dilihat cuba memutar belit isu dan cuba tukar topik dengan mengheret isu lain dan individu lain yang tidak ada kaitan langsung dengan isu Taman Manggis.

“Saya bersama Ketua Penerangan Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, H’ng Khoon Leng telah mengatakan bahawa dia telah menerima rasuah bukan 'wang rasuah' seperti yang dijelaskan. Dia perlu tahu bahawa rasuah juga merangkumi skop 'penyalahgunaan kuasa' dan 'pecah amanah'.

“Persoalan banglo mewah yang disewanya daripada salah seorang pengarah berkepentingan dalam Kumpulan Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) masih belum terjawab,” katanya.

Menurutnya, kenyataan bahawa KLIDC telah diterima kerana tawaran harga paling tinggi juga adalah bukti bahawa Guan Eng telah menyalahgunakan kuasanya untuk membenarkan pembinaan hotel 19 tingkat di bahagian atas hospital berkenaan.

“Ini adalah kerana tiada kenyataan bahawa pemaju lain dibenarkan membina hotel dalam proses tender. Ini jelas menunjukkan bahawa ada  berlaku penyalahgunaan kuasa dan penipuan dalam proses tender. Kenyataan ini telah berulang kali dikemukakan kepada dia tetapi dia masih mendiamkan diri.

“Mengenai kononnya dia mempunyai komitmen politik untuk menghapuskan rasuah juga adalah retorik politik dan gimik politiknya untuk pilihanraya akan datang,” katanya.

Shaik Hussein berkata, beliau boleh membuktikan bahawa hampir semua tender terbuka yang dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri (CMI) tidak memenuhi prasyarat proses tender terbuka.

“Saya boleh buktikan dengan fakta dan undang-undang bahawa hampir kesemua tender terbuka yang dilaksanakan olehnya melalui CMI termasuk tender Taman Manggis tidak memenuhi prasyarat proses tender terbuka berdasarkan undang-undang.

“Kenyataan bahawa saya enggan minta maaf sebelum ini telah saya perjelaskan kerana didapati bahawa video majlis DAP yang mengandungi ucapan Ketua Menteri itu telah dipalsukan sepertimana video (Ketua Pembangkang, Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

“Jika DAP mendakwa bahawa video Anwar Ibrahim boleh dipalsukan, maka tidak mustahil DAP mampu memalsukan video lain juga,” katanya.

Terdahulu, Shaik Hussein mencabar Guan Eng berdialog bagi membincangkan isu tanah Taman Manggis di hadapan semua media bagi mendapatkan penjelasan yang sebenar.

Beliau berkata, dia mencabar Guan Eng untuk berdialog di hadapan semua media, supaya dia,Guan Eng dan media boleh mengutarakan soalan berikutan mendakwa Guan Eng gagal menjawab semua soalan BN berhubung isu itu sebelum ini.

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.