Thursday, November 1, 2012



Speaker Dewan Undangan negeri (Dun) Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berhubung kenyataannya mengenai projek Taman Tema Escape milik kerajaan negeri di Teluk Bahang.
   
Bercakap pada sidang media di sini, Abdul Halim berkata saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2 petang menerusi firma guaman Tetuan M. Kanesan & Associate.
   
Katanya beliau mengambil tindakan itu kerana mendakwa terdapat unsur fitnah dalam kenyataan Musa berhubung projek itu yang boleh memburukkan kredibiliti dan imejnya sebagai speaker.
   
"Saya melalui peguam saya telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi. Tindakan ini  diambil setelah saya beri tempoh 48 jam kepadanya tetapi tiada apa-apa tindakan, dan beliau (Musa) pada 1 Oktober lepas menyatakan tidak perlu minta maaf," katanya.
   
Ketika ditanya oleh pemberita mengenai jumlah saman fitnah itu, Abdul Halim berkata beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukannya.
   
Dalam pernyataan tuntutan yang diedarkan kepada pemberita pada sidang media itu, Abdul Halim antara lain menuntut ganti rugi bagi fitnah secara lisan, ganti rugi bagi fitnah bertulis, ganti rugi keterlaluan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
   
Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada menyiarkan selanjutnya kenyataan memfitnah itu sama ada secara lisan atau tulisan.
   
Sementara itu, Musa ketika dihubungi berkata, beliau sedia mengemukakan bukti mengenai dakwaanya berhubung projek itu di mahkamah.
   
"Saya tidak takut disaman, jumpa di mahkamah dan saya akan kemukakan bukti-bukti atas dakwaan saya itu," katanya.
   
Dalam pendedahannya sebelum ini mengenai projek Taman Tema Escape milik kerajaan negeri di Teluk Bahang, Musa mendakwa projek itu mempunyai kaitan dengan Abdul Halim. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.