HOT : TERUK NIK AZIZ NAK JAWAB ISU NI...



Khutbah Aidiladha yang dikeluarkan Dewan Ulama Pas Kelantan (DUPK) jelas bertentangan dengan ajaran Islam kerana menghentam kerajaan selain mempersoal perpaduan orang Melayu.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, perkara itu tidak pernah diajar Nabi Muhammad SAW yang cukup berhemah ketika bertutur malah berkhutbah.

Menurut beliau, DUPK tidak wajar menyamakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan puak-puak menentang Islam kerana tuduhan seperti itu memerlukan bukti kukuh.

"Masjid atau surau adalah zon sejahtera dan aman. Tak patut gunakan rumah Allah untuk menyindir puak atau kumpulan lain. Seharusnya kita mengajak kepada perpaduan dan benda-benda baik.

"Soal perpaduan Melayu, perkara itu cukup penting dalam konteks Malaysia. Perpaduan Melayu adalah asas perpaduan ummah dan merupakan sebahagian daripada ajaran tauhid," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan DUPK yang memperkecil peranan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) apabila mengeluarkan teks khutbah Aidiladha yang mengelirukan.

Teks khutbah itu digunakan sepenuhnya untuk menyindir dan menghentam kerajaan BN yang disamakan dengan puak-puak yang menentang Islam selain menyifatkan perpaduan melalui bangsa tidak boleh diterima.

Ismail Mina berkata, Nabi Muhammad SAW dalam apa-apa jua pertuturan dan khutbah tidak pernah menghina serta mengutuk suku-suku Arab dan menjadikan rumah Allah sebagai pusat perpaduan.

"Seharusnya dalam khutbah, kita mesti korbankan nafsu amarah dan diletak di luar masjid," ujarnya.

Mengulas isu sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya berkata, khutbah seharusnya menjadi pentas menegur umat Islam secara keseluruhannya dan bukan digunakan untuk kepentingan politik.

Namun tegasnya, menegur itu juga perlu berhemah supaya tidak menjadi platform memperluas permusuhan dan melebarkan perbezaan.

"Tidak sepatutnya pentas khutbah yang sewajarnya menjadi pentas menyatupadukan ummah digunakan untuk perpecahan ummah. Bukan hanya Aidiladha, Nabi Muhammad SAW turut menggambarkan semua perayaan-perayaan dalam Islam adalah untuk menyatupadukan ummah.

"Dalam hal menyamakan kerajaan hari ini sebagai menentang Islam, isu tersebut kena spesifik. Jangan kerana segelintir, kita terus menempelak secara keseluruhan. Kena nilai dan hukum dengan adil," tegasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad berkata, tindakan DUPK menggunakan mimbar masjid sebagai pentas politik cukup mengecewakan apatah lagi semasa khutbah Aidiladha.

Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku sekiranya semua pihak menghayati peranan masjid sebagai rumah ibadat.

"Nampaknya Pas semakin kritikal kerana sanggup menggunakan apa-apa sahaja saluran demi kepentingan politik termasuk mimbar masjid.

"Kami menaruh harapan tinggi kepada Maik atau pihak-pihak yang bertanggungjawab memelihara Islam melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius demi agama, bangsa dan negara," ujarnya.

HOT : TERUK NIK AZIZ NAK JAWAB ISU NI... HOT : TERUK NIK AZIZ NAK JAWAB ISU NI... Reviewed by Empayar Pemuda on 5:57 AM Rating: 5

No comments:

Popular

Powered by Blogger.