HOT : LAGI RAHSIA STRATEGI PAKATAN HARAM DIDEDAHKAN..


Dalam negara yang berbilang kaum dan agama, penggunaan isu agama secara berlebihan untuk meraih sokongan politik boleh membawa kepada ketidakstabilan kepada keamanan negara. Sejarah menunjukkan Pas telah lama menggunakan agama untuk menarik sokongan penganut agama Islam kepadanya. Selama beberapa dekad yang lalu umat Islam di negara ini, khususnya orang Melayu, mengalami perpecahan yang sangat hebat.

Daripada mengkafirkan orang Umno, solat dua imam, haram memakan sembelihan orang Umno sehinggalah kepada perkara-perkara peribadi menjadi bahan Pas menghasut umat Islam membenci pemimpin Islam dari Umno. Kemuncaknya ialah peristiwa hitam di Memali, Kedah.

Saya sendiri mempunyai pengalaman yang tidak enak dengan strategi Pas ini. Beberapa tahun lalu di Selangor, Pas mengambil kesempatan memainkan emosi orang Islam atas keputusan kerajaan negeri mengambalikan tapak surau sementara Pangsapuri Jubli Perak kepada PKNS.

Tapak tersebut sepatutnya dijadikan tempat asuhan kanak-kanak seperti dalam perancangan asal, namun dibenarkan digunakan sebagai surau sementara sehingga masjid berdekatan siap. Malangnya, keputusan ini menyebabkan Pas berkempen ke seantero negara bahawa Umno meruntuhkan surau. Gambar-gambar suasana berselerak untuk pengubahsuaian digunakan untuk membuat fitnah kononnya kerajaan meruntuhkan surau.

Apa yang tidak dimaklumkan kepada orang Islam di luar kawasan tersebut ialah kerajaan negeri telah membina surau al-Kausar yang yang lebih besar, selesa dan cantik kurang 500 meter daripada tapak asal. Ini semua tidak diceritakan. Sebaliknya, apa yang digambarkan ialah saya seorang pemimpin Islam meruntuhkan surau dan menghalang penduduk pangsapuri tersebut beribadat.

Selain Pas, PKR juga tidak kurang peranannya dalam mencetuskan konflik agama. Melalui Hindraf, beberapa individu yang terbabit dengan PKR dilihat cuba mewujudkan konflik antara penganut Hindu dan Islam. Mereka menghasut kononnya BN menindas penganut agama Hindu dan orang India. Daripada peristiwa Kampung Medan sehinggalah tindakan meroboh kuil di Rimba Jaya, Kampung Jawa, dijadikan modal politik menghasut penganut agama Hindu membenci Barisan Nasional.

Isu kuil Rimba Jaya merupakan contoh klasik bagaimana agama digunakan untuk meniup sentimen kebencian bagi meraih keuntungan politik. Peranan, sumbangan dan bantuan BN dalam menjaga keharmonian penganut pelbagai agama dilupakan begitu sahaja melalui pemesongan fakta dan fitnah yang berleluasa.

Kes kuil Rimba Jaya telah dibawa ke Mahkamah sejak tahun 1998 lagi. Ia dibina secara haram atas tanah persendirian. Mahkamah telah membuat keputusan mengarahkan kerajaan merobohkan kuil tersebut dan setinggan sekitarnya. Kerajaan negeri tiada pilihan kecuali akur dengan keputusan mahkamah.

Namun atas dasar kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan negeri telah membuat perbincangan dengan pentadbir kuil dan mereka bersetuju menerima pampasan sebanyak RM40,000 dan juga diberi tapak baru. Malangnya, ini semua tidak diceritakan kepada para penganut agama Hindu. Terlampau ramai ahli politik yang mahu mengambil kesempatan menjadi hero agama dan juga meraih keuntungan politik kebencian ini.

Justeru kerana sentimen agama dimainkan secara berlebihan, segala jasa dan sumbangan kerajaan negeri termasuk menjadi kerajaan negeri pertama memberi bantuan khusus untuk agama Hindu dan agama-agama lain selain agama Islam langsung tidak diambil kira.

Yang dilontarkan hanyalah kerajaan negeri Selangor dan saya anti-Hindu dan meroboh kuil sesuka hati. Hakikat bahawa surau juga terbabit dalam perobohan jika dibina sesuka hati tidak diambil kira. Di seluruh ceruk kawasan penempatan kaum India, BN dituduh menindas kaum India dan agama Hindu. Hakikat bahawa kuil Hindu terbesar di negara ini berada di Selangor, di bawah BN langsung tidak diambil kira.

Atas isu ini mereka berjaya menyebabkan Parti Kongres India Malaysia kalah teruk di banyak kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Akibatnya, BN hampir kehilangan kuasa. Melalui adu-domba ini mereka berjaya menarik undi kaum India secara besar-besaran kepada Pakatan.

DAP dan Pakatan melihat mereka telah mempunyai sokongan orang Islam dan Hindu yang tepu dan taksub.

Kumpulan ini akan tetap menyokong Pakatan biar pun realiti sebenar berbeza dengan persepsi mereka. Orang Islam di dalam Pas percaya kepada kemunculan pemerintahan Islam dan Hudud.

Penganut agama lain pula percaya mereka akan mendapat perlindungan yang lebih baik dari sebuah kerajaan sekular yang dibentuk oleh Pakatan. Realitinya, pandangan kedua-dua kumpulan ini jelas sekali bertentangan tetapi masih diterima.

Jika kita lihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini terdapat usaha yang jelas untuk mencetuskan konflik antara penganut Kristian dan Islam. Apabila wujud konflik maka kerajaan BN yang perlu menyelesaikan. Apa pun penyelesaian yang dibuat tentulah tidak akan dapat memuaskan hawa nafsu kedua-dua belah pihak. Di sinilah kumpulan ini menangguk di air yang keruh.

Jika kerajaan dilihat menyelesaikan konflik agak cenderung kepada orang Islam, DAP akan mengambil kesempatan menghasut orang Kristian dengan menyatakan Umno menindas penganut Kristian dan berpihak kepada penganut Islam secara membuta tuli.

Jika kerajaan membuat keputusan yang tampak menguntungkan sedikit penganut Kristian, Pas pula akan menghasut orang Islam agar membenci Umno dan menuduh Umno tidak menjaga kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

Dalam keadaan mana pun mereka tetap untung melalui konflik agama ini. Justeru dakwaan bahawa terdapat usaha DAP untuk memainkan sentimen Kristian bagi menarik sokongan penganut agama Kristian kepada Pakatan Rakyat bukanlah sesuatu yang tidak masuk akal atau tiada asas.

Jika kita lihat sejak beberapa tahun lalu, isu-isu membabitkan pertikaian agama Kristian-Islam sering kali dibangkitkan oleh mereka yang cenderung dengan DAP. Pada Mei 2010 saya telah menulis mengenai peri laku parti DAP ini di bawah tajuk "Konflik Antara Agama: DAP Menangguk Di Air Yang Keruh". Tangan-tangan DAP didakwa berada di sebalik isu Lina Joy, Kalimah Allah, Injil di dalam bahasa Melayu di Semenanjung.

Tindakan DAP menjadi hero kepada masyarakat Kristian merupakan satu tindakan politik yang strategik bagi melemahkan kedudukan BN di Sabah dan Sarawak. Hasutan dan janji yang berlebihan DAP kepada masyarakat Kristian akan menarik sokongan sebahagian besar pengundi beragama Kristian di Sabah dan Sarawak.

Negara ini dibina atas dasar persefahaman dan tolak ansur antara penganut pelbagai agama. Tidak mungkin mana-mana penganut agama akan mendapat semua yang mereka mahukan. Malangnya kini ada ahli politik Pakatan menjanjikan perkara-perkara yang luar biasa biar pun mereka bertentangan janji antara satu sama lain dalam Pakatan.

Jika ada golongan Paderi dan Gereja Kristian yang bercadang mahu melontarkan sokongan besar-besaran kepada Pakatan Rakyat kerana kononnya BN menindas agama mereka, eloklah perkara ini difikirkan masak-masak.

Memang ramai pemimpin DAP sekarang merupakan penggerak agama Kristian atau sekurang-kurangnya telah menggunakan nama-nama Kristian. Namun jika pakatan menang ia belum tentu akan menjanjikan mereka kebahagian seperti bulan jatuh di riba.

Apakah para Paderi dan penganut Kristian fikir Pas akan menyokong segala permintaan mereka? Bacalah sejarah sebelum membuat keputusan mempercayai apa yang dijanjikan oleh Pakatan.

Pakatan sendiri berdiri atas persetujuan rapuh bersangkutkan kesepaduan atas kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tanpa Anwar, Pakatan akan dianggotai oleh dua parti ektremis agama, Pas dengan Islam, DAP dengan Kristiannya. Bolehkah ia menjaga kepentingan dan keharmonian semua agama?

Pas sehingga kini masih menyatakan bahawa mereka akan melaksanakan hudud dan pemerintahan Islam ala Pas yang telah mereka perjuangkan sejak berpuluh tahun lalu. Inilah yang dipercayai oleh majoriti pengikut mereka di bawah. Apakah ada penganut agama Kristian yang berfikir keadaan agama mereka akan lebih baik di bawah Pas berbanding BN?

BN mungkin ada kekurangan dan kelemahan dalam menjaga kepentingan semua agama, namun sejarah menunjukkan sejak dahulu pemimpin Umno berkorban maruah demi menjaga kepentingan semua agama. Biar pun dicerca dan dicemuh oleh Pas sebagai kafir, taghut dan sesat, namun Umno dan BN tetap menjaga kepentingan semua agama.

Justeru adakah adil untuk penganut Kristian melupakan BN dan pergi kepada pakatan, yang mengandungi parti yang suatu ketika dahulu sangat membenci mereka, hanya kerana perbezaan pendapat dalam beberapa hal?

Pas tidak mungkin menyertai Umno atau menjadi seperti Umno kerana kekuatan sokongan akar umbi terhadapnya adalah berdasarkan landasan perjuangannya selama lebih 50 tahun - melaksanakan hudud, mendirikan pemerintahan Islam (mengikut fahaman mereka) dan mendahulukan kepimpinan Ulama.

Namun Umno boleh menjadi Pas, bahkan menyertai Pas jika keadaan memerlukan demi survival orang Melayu dan Islam. Justeru jangan anggap kesederhanaan pimpinan Umno dalam BN mencerminkan keseluruhan sikap ahli Umno di bawah.

Dengan kata lain, jika keadaan memerlukan tidak mustahil sebahagian mereka akan menyertai Pas dan memperkukuhkan parti tersebut jika merasakan kedudukan Islam diancam oleh DAP, dan Umno tidak lagi mampu menjaga kesederhanaan beragama seperti yang berjalan sekarang.

Saya berharap penganut agama Kristian jangan hanya kerana "mendengar guruh di langit, air dalam tempayan hendak dicurahkan; takut nanti yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran".

* Dr Mohamad Khir Toyo
HOT : LAGI RAHSIA STRATEGI PAKATAN HARAM DIDEDAHKAN.. HOT : LAGI RAHSIA STRATEGI PAKATAN HARAM DIDEDAHKAN.. Reviewed by Empayar Pemuda on 2:43 PM Rating: 5

No comments:

Popular

Powered by Blogger.