HOT : HARON DIN RISAU DENGAN PERKARA INI...



PAS masih gagal dan keliru untuk menyatakan pendirian parti sama ada memperjuangkan prinsip parti, atau terus mengikuti telunjuk parti komponen pakatan pembangkang, dalam falsafah perjuangan politik mereka, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Pendapat mereka (Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad dan Datuk Dr Haron Din) jelas memperlihat PAS telah lari dari landasan perjuangan asas sebagai parti yang berlandaskan Ad-din itu falsafah perjuangan. "Ini membuktikan terdapat kumpulan dalam PAS mahu kembali kepada perjuangan asal parti itu sekaligus menunjukkan hakikatnya ada kumpulan yang taksub dalam PAS dan tidak mahu terima apa yang berlaku ketika ini," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen pada Selasa.
Beliau mengulas kenyataan Sasterawan Negara Shahnon yang juga anggota seumur hidup PAS, bahawa perjuangan politik PAS kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP.
Laporan Bernama semalam memetik Shahnon yang antara lain berkata apa yang dilakukan PAS sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana PAS sepatutnya memimpin dalam memperjuang Islam.
Shahnon berkata adalah sangat menyedihkan kerana kerjasama PAS dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah SAW ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam.
Ahmad Zahid turut mengulas kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang meminta mana-mana pihak tidak mengaitkan PAS dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan buku tulisan bekas anggota Parlimen India, Mobashar Jawed Akbar yang berfahaman liberal.
Haron turut meminta semua pihak agar tidak menganggap tindakan ketua pembangkang itu yang seakan-akan bersekongkol dengan individu seperti Mobashar sebagai sesuatu yang direstui PAS.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata situasi yang melanda senario perjuangan PAS kini membuktikan apa yang dibuat oleh pembangkang hanya untuk agenda politik masing-masing dan bukan memperjuang dasar sesebuah parti.
Dalam pada itu anggota Parlimen Bebas Kulim Bandar Baru Datuk Zulkifli Nordin berkata sudah tiba masanya anggota akar umbi PAS bangkit dan mendesak pimpinan parti mereka untuk mengadakan muktamar khas membincangkan situasi ini.
Jelasnya ini supaya kepimpinan pusat menyatakan pendirian mereka sama ada mahu bersekongkol dengan DAP mahupun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim atau kembali kepada perjuangan parti.
"Pemikiran Anwar adalah liberal, pluralism dan mengikut jumud ulamak ia sesat dan perlu dibanteras. Kalau kenyataan Timbalan Mursyidul PAS sendiri tidak diterima, kenyataan siapa lagi perlu diterima. "Haron Din sendiri sudah membuat garisan mufarakah (garisan perpisahan) dan nyatakan pendiriannya. Ini ditambah dengan kenyataan Shahnon Ahmad...jadi pandangan-pandangan sebegini harus diambil kira," katanya.Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayob berkata situasi ini akan ditentukan oleh Majlis Syura PAS supaya ia dapat dibincangkan dan mendapat kata putus sebelum boleh dijelaskan kepada anggota parti.
"Biar Majlis Syura yang tentukan prinsip dan pendirian dalam hal ini. Apa yang Majlis Syura tentukan, ahli parti terima. Kita tidak pasti itu pendirian parti atau pendirian peribadi (kenyataan Haron Din dan Shahnon Ahmad)," katanya. Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor Khalid Abdul Samad pula membidas kenyataan Shahnon itu yang melabelkan perjuangan politik PAS tidak lagi menepati kehendak Islam.Khalid yang juga anggota Parlimen Shah Alam berkata segala ketetapan dasar dan perjuangan parti perlu dirujuk kepada Majlis Syura Ulama PAS.
"Nak tahu sesuatu itu bercanggah dengan kita atau tidak, kena rujuk majlis ulama (syura). PAS ada 12 ulama, mereka adalah yang terbaik dalam kalangan anggota PAS," katanya.
"Itu pandangan peribadinya, malah semasa beliau (Shahnon) bertanding pada 1999 dulu, PAS sudah pun berada dalam barisan alternatif," katanya. -BERNAMA
HOT : HARON DIN RISAU DENGAN PERKARA INI... HOT : HARON DIN RISAU DENGAN PERKARA INI... Reviewed by Empayar Pemuda on 9:53 AM Rating: 5

No comments:

Popular

Powered by Blogger.