Sunday, September 23, 2012

SAYA SEDIH...- TUN DR MAHATHIR


Saya sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya- perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.

Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka.

Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah.

Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.

Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.

Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun.

Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi Siam.

Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.

Kemudian, British kembali dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka.

Cadangan Malayan Union British bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British.

Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair. Tidak ada masa depan bagi mereka.

Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.

Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.

Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan.

Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.

Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.

Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957.

Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah.

Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah.

Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia.

Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka.

Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.

Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain.

Sokongan orang lain ini tidak diberi secara percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.

Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut.

Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka.

Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka.

Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.

Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.

6 comments:

tajul_admin said...

Mohon copy ke blog saya, tajulurus.blogspot.com/

Anonymous said...

Baca saja dan faham akan kebenarannya wahai semua orang yang berbangsa Melayu. Satu bangsa dan sama agama - agama yang satu2nya di terima olih TUHAN YANG MAHA BESAR. Baca dan mengerti sedalam-dalamnya nukilan berharga ini.Dan tanya diri sendiri kenapa Melayu bepecah dalam undi PRU 13 ini ?????? PRU 13 ini main-main kah ???? Kalau memilih parti pilihlah parti yang bolih di kuasai olih orang orang Melayu !!!!!!Mari sama2 berfikir- kalau melayu kalah atau menang dalam kadar minoriti maka kerajaan akan di pegang olih orang bukan Melayu. Apakah implikasinya? Melayu hilang kuasa ? Sejarah hitam akan terpaksa di tempuh olih orang Melayu akibat berpecah belah sesama sebangsa. Pastinya perlembagaan akan berubah. Dan orang Melayu yang lemah ekonomi ini akan tidak ada kerajaan yang membela. Pastinya hanya segelintir Melayu derhaka akan di perkudakan untuk menjaga hati orang Melayu. ISLAM AKAN LEMAH dan tersekat semua aktiviti keagamaan. Lama kelamaan anakcucu kita beragama Islam yang hanya nama sahaja dan menjadi pelarian di negara sendiri. Olih itu marilah kita bersatu pada PRU13 ini wahai semua Melayu Islam dan selepas ini kita rakyat akan gunakan kuasa kita rakyat untuk MEMBENTUK SEBUAH NEGARA ISLAM YANG BEBAS RASUAH,ADIL DAN TIDAK MENINDAS. Kita rakyat dah ada kuasa mmendesak kerajaan memerintah- apa takut ..ayuh kita bersatu untuk satu masa depan generasi Melayu Islam akan datang.

Anonymous said...

nuar brahim mesti d hapuskan dlm politik tanahair dlm pru13.malaysia lebih aman tanpa dia.rasanya jika mana2 negara blh pilih org malaysia jd kewarganeraan mrk...nuar brahim saja ygkena tggl krn negara lain xnak ambil,perangai buruk...coz mana2 dia pergi dia akan bw kerosakan

Anonymous said...

puak puak dia org ni takkan faham apa yang dr mahathir katakan..puak mereka je btl semua..

Anonymous said...

macamana nak ingat sejarah kalau buku sejarah asas pun dipotong-potong ikut selera orang/kuasa tertentu, hanya cerita-ceita manis UMNO je ada dlm buku sejarah. Cerita Parang Panjang pun ikut selera UMNO, version lain mesti tak keluar punya.

perjuangan UMNO asal memang ada asas yang kukuh. UMNO baru berjuang pada asas yang salah. penubuhannya saja dah nampak tidak ikhlas. Siapa tekongnya? dah lupa? tak payah rujuk buku sejarah, petualang UMNO ialah Tun M sendiri, atau sekurang-kurang nya Tun M memang contribute ke arah kebobrokan UMNO seperti hari ini.

get off your pedestal Tun M. ayuh kita bina satu bangsa yang menjadi umat Allah yang sebenar-benar. kalau tak mampu, bagi orang lain lah tanggyngjawab itu. UMNO pun tak mampu kalau setakat bersandarkan pada Najib, berat sangat "baggage" yang Najib dok carry.

MPRM90 said...

Orang yang kata Dr. M macam-macam tu sedarlah diri. Ingat nak jadi pemimpin kena kuat. Kalau orang tak suka dia berdosakah dia? Tengok zaman sahabat bila pemimpin nombor satu kata apa kenalah ikut. Kalau bangkang letak jawatan atau kena pecat. Ini tak.. gila pangkat dan buat kecoh. Nak cakap pasal perjuangan Islam tu ingat mudahkah? Tukar UMNO boleh buat? Kalau PAS dari mula sampai la dok ingat kerusi je sampai kerja lain tak buat.. Ingat boleh buat ke? Tuu muslimah PAS dah bincang macam mana nak selesaikan hal janda, hal istri teraniaya? Dah pening sharizat buat.. masih tak selesai. Dah kaji hudud pakistan? Orang kena rogol wajib kahwin dengan perogol? Kedah pun sampai laa tak nampak perubahan pun. Nak cerita selesaikan hutang dan duit kerajaan negeri bertambah. Ingat UMNO tak boleh buat? Bukan payah ...Kita jual tanah,kita jual balak , kita jual segala aset, kita kutip hutang, kita kurangkan bantuan, orang kena musibah tak payah beri bantuan,sikit-sikit sudah laa.Memanglah orang UMNO sekarang berbeza dulu, pembangkang sekarang pun berbeza,budak-budak muda la pun berbeza sebab tak pernah hidup zaman dakwah arqam dan tablig dan abim. Jadi dia orang asyik nampak salah orang dan apa yang boleh mereka dapat. Cukai kereta pun marah sebab nak kereta impot, minyak murah pun nak kurang lagi dan sebagainya silap sikit nak bantai. Kalau ada seorang macam mahathir yang yang berpengetahuan ( mahathir buat bot dan jual ),berani,ada idea tapi buat silap sikit bagi mereka tembak sahaja Dr. M. asalkan puas hati. Lepas tu barulah kalut bila tak ada sesiapa yang boleh jadi panglima perang yang gagah dan bijak mencatur strategi.Inilah perumpamaan negara sekarang. Bila suruh pembangkang buat kabinet bayangan. agak agak siapa yang layak jadi PM? Anwar yang disokong oleh Amerika dan kawan yahudi? Jangan salah faham pemimpin negara seperti Najib lain, kalau jumpa soros atau yahudi lain itu boleh ditaksir sebagai hubungan negara secara diplomasi ( kalau ada agenda lain tu dia dengan Tuhan laa).Berani kita nak serah pada anwar? Haji Hadi? perintah Trengganu pun tak berupaya nak kawal orang PAS. Azizan? sama juga iaitu orang PAS pun benggang dengan dia. UMNO kita harap dah sedar sikit bila kalah dulu ( tu pun ramai pemimpin kecil tak sedar )kita boleh bagi PAS tapi bukan pada keadilan yang jadi perosak perpaduan Islam. Cuma PAS memang tak bersedia. Boleh kah orang yang malas membaca nak perintah negara. Kalau atas dasar takwa bolehlah diterima sebab dapat bantuan Tuhan tapi bolehkah kita kata pemimpin yang dilantik secara angkat tangan(undi ) tu bertakwa dan ustaz yang kalah tak bertakwa? Kalau asyik baca kitab tapi pengetahuan tentang penipuan dunia,yahudi,fremansoon, penipuan ekonomi, konspirasi dunia,pelobi antarabangsa dan sebagainya tiada bolehkah nak berjaya ? Nak buat keras dengan amerika macam Iran? Berani kaa? Bijak ka? Sejarah kita macam iran ke? Bersediakah rakyat kita??? Ini yang dikatakan oleh Arqam pada PAS sampai PAS berdengki dengan Arqam(bukan sebab fatwa).Jangan jadi macam wahabi kat Perlis dulu.Dengar cerita mula-mula orang tak boleh pakai emas termasuk perempuan jadi semua jual emas. Lepas tu dah jumpa hadis kata perempuan boleh pakai emas. Beli balik. Pulut kuning pun tak leh makan (sebab ada orang buat jamu hantu )Jadi buat kenduri pulut kuning pasti orang tak makan sebab ingat kita jamu hantu. Tapi sekarang boleh pula. Jadi PAS cam tu lee. Punyalah lama berjuang tapi akhirnya UMNO tak bagi buat Hudud!Tak terfikirkah menang satu negeri tak boleh buat hudud? Draf pun tak siap lagi. Ingat mudahkah nak buat undang-undang? Undang-undang sivil pun kena tiru luar negara agar tak timbul konflik. Ini sampai sekarang tak ada draf. Tak takut dikatakan menipu ke wahai para ustaz??? Sebaik-baiknya bantulah krajaan draff dengan makamah syariah buat sikit-sikit. EMMM kalau tak ikhlas nak nama, Nak jawatan Menteri mana boleh buat.Jadi PAS akan sentiasa jadi penipu. Rasuah memang susah dibanteras tapi buat permulaan biarlah kita jaga agar tak merebak macam kat pakistan,indon, thai dan negara lain...

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.