KANTOI JUAL UBAT SEKS DI TEMPAT NIK AZIZ BAGI KULIAH PAGI??


KOTA BHARU -Menggunakan helah bagi mendekati masyarakat di kawasan yang menjadi tumpuan ramai, peniaga ubat perangsang seks sanggup menjual barangan itu di sekitar kawasan gerai berhampiran tapak Kuliah Pagi di Dataran Ilmu, di sini, bagi meraih keuntungan.

Walaupun pernah ditahan dan dikenakan kompaun akibat tindakan mereka itu, peniaga barangan ini masih tidak serik dan melakukan aktiviti jualan ubat berkenaan di kawasan terbabit, ekoran permintaan di pasaran yang amat menggalakkan.

Atas risikan dan maklumat orang awam, tindakan lelaki berusia 50-an itu, berjaya ditumpaskan dalam serbuan yang dilakukan sepasukan Pegawai Penguat kuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar raya Islam (MPKB-BRI), di kawasan tersebut.

Dalam operasi itu, mereka berjaya merampas 11 ubat rangsangan seks pelbagai jenis yang bernilai RM6,330.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, serbuan dilakukan di kaki lima di sekitar kawasan kuliah berkenaan, dan semasa serbuan dilakukan peniaga itu sedang aktif menjalankan aktiviti jual beli.

“Kami bertindak tegas terhadap mana-mana peniaga yang masih degil dan tetap menjalankan perniagaan ini yang mengundang imej buruk kepada negeri Kelantan.

“Ia merupakan satu kesalahan di bawah peraturan 7 (1) (a) Peraturan Kawalan dadah dan Kosmetik 1984 dan kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di sini semalam.

Ahmad Razin berkata, mereka yang terbabit dalam kegiatan itu juga boleh didakwa atas kesalahan memiliki racun berjadual yang mengandungi Sildenafil tanpa memiliki lesen yang sah dikeluarkan oleh Akta Racun 1952 (Disemak 1989) iaitu menyalahi Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 (Disemak 1989) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32 (2) akta yang sama, dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM 5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, setakat tahun ini sehingga semalam, jabatannya berjaya merampas pelbagai jenis ubat perangsang seks dalam serbuan yang dijalankan di kawasan kaki lima, di sekitar bandar ini dengan nilai rampasan berjumlah RM39,455.

Rampasan terbabit, dilakukan beberapa lokasi di bandar ini, termasuk di kawasan tapak ceramah berkenaan selain di sekitar Wakaf Che Yeh.

“Kesemua barangan yang dirampas, ditahan dan disimpan di cawangan Penguat kuasa Farmasi Jabatan Kesihatan untuk siasatan lanjut dan seterusnya untuk tindakan pendakwaan di mahkamah,” katanya.
KANTOI JUAL UBAT SEKS DI TEMPAT NIK AZIZ BAGI KULIAH PAGI?? KANTOI JUAL UBAT SEKS DI TEMPAT NIK AZIZ BAGI KULIAH PAGI?? Reviewed by Empayar Pemuda on 10:10 AM Rating: 5

1 comment:

Popular

Powered by Blogger.