Saturday, July 21, 2012


Para peniaga bazar Ramadan Jalan Penang, di sini membantah tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) memindah tapak bazar Ramadan dari Jalan Penang ke Jalan Phee Choon.
Wakil peniaga, Abdul Karim Gulam Ali berkata tindakan MPPP itu akan menyebabkan lebih 20 peniaga bumiputera tidak dapat menjalankan perniagaan mereka memandangkan tempat baru yang ditawarkan itu bukan tempat tumpuan orang ramai.
"Sejak 26 tahun lalu, tempat ini (Jalan Penang) menjadi tumpuan tapak warisan tradisional bazar Ramadan tanpa sebarang gangguan serta halangan dari mana-mana pihak.
"Tetapi sejak pakatan pembangkang mengambil alih Pulau Pinang, para peniaga bumiputera ditindas dan dianaktirikan. Kami mahu mencari keadilan untuk semua peniaga. Satu tahun sekali sahaja. Mereka boleh bagi tempat lain seperti 'Little India' kepada kaum lain, kenapa kami orang Melayu (tidak boleh berniaga di Jalan Penang)," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.
Beliau berkata alasan kerajaan negeri bahawa mereka akan menyebabkan kesesakan lalu lintas jika terus berniaga di kawasan itu adalah tidak munasabah kerana masalah kesesakan lalu lintas sudah menjadi lumrah di negeri ini.
Katanya kerajaan negeri kononnya memperuntuk RM6,000 untuk menempatkan para peniaga berkenaan dengan khemah percuma sekiranya mereka bersetuju untuk berpindah, dilihat sebagai satu usaha yang tidak berbaloi kerana kawasan yang ditawarkan itu adalah projek terbengkalai dan kurang tumpuan orang ramai.
"Betapa baiknya sekiranya peruntukan RM6,000 itu disalurkan ke kawasan Jalan Penang sebagai ganti untuk memeriahkan suasana bazar Ramadan dengan hiasan lampu berwarna-warni dan lain-lain acara menarik di bulan puasa ini," katanya.
Abdul Karim juga menyifatkan kerajaan negeri pimpinan DAP sebagai "cakap tidak serupa bikin" kerana sebelum ini Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berjanji mahu mengekalkan tapak bazar Ramadan di Jalan Penang.
Beliau berkata MPPP perlu bertindak secara realistik dan rasional sebelum mengambil sebarang tindakan.
Justeru itu, beliau mendesak kerajaan negeri dan MPPP tampil untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi para peniaga bumiputera dengan kadar segera bagi membela nasib dan masa depan mereka. - BERNAMA

4 comments:

Anonymous said...

Tak pa tak pa..PRU 13 ni kita undi la lg PR,kan kan kan

Anonymous said...

tak da sapa nak tolong kita, kita sendiri yang boleh tolong kita, siapa kita,.. orang yang tahu asal usul kita, yang boleh berkerjasama dengan kita,,,siapa.. BN..

Anonymous said...

dia suruh pindah tu pindah ja lah, banyak pulak bising, sabelom dia menang lagi pada PRU 13 ni, masa tu peniaga pasar malam, pasar ramadhan langsung tak boleh berniaga kat mana-mana dah, padan ngan muka, hahaha, hah, buat lagi, tak ingat-ingat jugak taktau lah, huh.

Anonymous said...

Kalau ya pun nak berniaga, janganlah jadi buta tuli kepada keadaan sekeliling mcm traffik jam. Sudahlah teruk, engkorang menyusahkan lagi ada. Pastu, Kebanyakan engkorang yg berniaga bazaar ramadhan ni pun lebih dari separuh tak pernah pun berniaga betul2! Saja nak cari untung cepat, tapi jual makanan tak semenggah. Saja kena kutuk bulan puasa. Cuba la meniaga betul2! Tepi lombong pun org pergi cari tau! Tak payah nak salahkan tempat. Kalau bagus, org akan cari jugak sampai jumpa!

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.