GEMPAR : DOKUMEN JUAL TANAH RUMAH RAKYAT DISELEWENG??




Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini mendesak kerajaan negeri supaya membuka fail-fail permohonan merancang dan tender penjualan tanah Majlis Perbandaran Pulau Pinang bagi Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini.

Ketua Pemuda BN negeri, Oh Tong Keong berkata sekiranya kerajaan negeri pimpinan DAP benar-benar mengamalkan ketelusan mereka seharusnya tidak teragak-agak untuk mengemukakan kesemua dokumen dan berhenti mengelirukan rakyat dengan memutar belit kenyataan.

"Bagi Pemuda BN, kes ini jelas ada unsur-unsur penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Kami mahu kerajaan negeri menunjukkan fail tender dengan perjanjian yang mereka telah buat dengan syarikat swasta ini supaya rakyat boleh menilai betulkah penjualan tanah rakyat ini dijalankan mengikut tata cara yang betul.

"Kita juga mahu fail permit pelan perancangan dibuka. Kami mahu dokumen lengkap termasuk sampul dengan minit-minit semua. Jadi, baru kita tahu sama ada wujud sebarang penipuan atau tidak," katanya pada sidang akhbar di sini.

Baru-baru ini, BN negeri mendedahkan tanah seluas 0.45 hektar yang sepatutnya dibangunkan untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) fasa kedua itu dijual kepada syarikat swasta untuk pembinaan bangunan setinggi 30 tingkat.

Ketua Menteri Lim Guan Eng sebelum ini berkata kononnya tanah itu terpaksa dijual kerana keluasannya tidak mencukupi untuk membangunkan projek perumahan.

Kerajaan negeri juga mengatakan bahawa penjualan tanah itu dibuat kerana kerajaan BN terdahulu tidak pernah meluluskan tanah tersebut untuk membina rumah rakyat.

Bagaimanapun, Oh berkata pihaknya menunjukkan bukti bahawa kerajaan BN terdahulu telah berbincang dan meluluskan tambahan satu blok di tanah berkenaan dalam mesyuarat Exco pada 29 April dan 26 Jun 2003.

Justeru itu, beliau menggesa kerajaan negeri berhenti membohongi rakyat dan berterus-terang atas apa yang berlaku.

"Rakyat perlu diberitahu dengan jelas mengapa kerajaan negeri sanggup menjual tanah yang sepatutnya membina rumah rakyat kepada syarikat swasta," katanya.

Oh berkata kerajaan negeri juga perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat Pulau Pinang di atas penjualan tanah milik rakyat itu kepada pihak swasta.

Tambahnya, BN negeri sedia mengambil tanggungjawab untuk membina projek PPR fasa kedua itu sekiranya kerajaan negeri mengembalikan semula tanah tersebut kepada rakyat. - BERNAMA
GEMPAR : DOKUMEN JUAL TANAH RUMAH RAKYAT DISELEWENG?? GEMPAR : DOKUMEN JUAL TANAH RUMAH RAKYAT DISELEWENG?? Reviewed by Empayar Pemuda on 6:01 PM Rating: 5

1 comment:

Popular

Powered by Blogger.