Tuesday, June 5, 2012




AKHIR-AKHIR ini, seolah-olah terdapat satu fenomena luahan perasaan melampau di kalangan masyarakat Malaysia untuk tidak bersetuju terhadap sesuatu isu ataupun terhadap individu tertentu.
Episod tidak beretika ini telah bertukar dari pertikaian lisan menjadi seperti sebuah pesta dan mempunyai pengikut-pengikut setianya yang tersendiri.
Manusia diciptakan berbeza-beza bukan sahaja dari segi paras rupa serta sikap tetapi manusia juga berbeza dari sudut penerimaan dan pemikiran.
Semuanya bergantung kepada satu, iaitu cara mana atau dari sudut mana kita melihat sesuatu perkara itu.
Bermula dengan Himpunan Bersih diikuti dengan bantahan dan sokongan terhadapnya yang tanpa henti-henti, bagaikan menggambarkan seperti rakyat Malaysia tiada perkara lain yang lebih penting yang boleh mereka lakukan selain daripada bantah dan membantah antara satu sama lain.
Jangan tersalah persepsi terhadap penulisan ini. Hakikatnya, saya menggalakkan perbezaan pendapat, malah dalam Islam sendiri menegaskan khilaf pandangan itu sebagai suatu rahmat, namun, apa yang ingin saya sentuh disini ialah mengenai adab dan tatasusila dalam menyuarakan pandangan.
Ironinya, manusia akan sentiasa berbalah dalam apa jua perkara. Kerana itulah kita dituntut untuk mengadakan mesyuarat mahupun perbincangan dengan tujuan supaya manusia dapat meluahkan pandangan masing-masing.
Berbalah dan berbincang untuk mencari pandangan yang terbaik bagi menghasilkan satu keputusan. Setelah kesepakatan dicapai, maka tidak boleh lagi untuk kita berbalah, bahkan dituntut supaya melaksanakan keputusan tersebut.
Hal ini dapat dilihat menerusi sirah Nabi SAW ketika Baginda bermesyuarat bersama sahabat-sahabat dalam merangka strategi terbaik untuk menghadapi peperangan Uhud.
Walaupun keputusan yang diambil tidak selari dengan fikrah Baginda, tetapi Rasulullah menghormati keputusan majoriti yang telah dicapai dalam mesyuarat dan melaksanakannya tanpa mempertikai ketetapan tersebut.
Ini menunjukkan bahawa berbalah adalah dibolehkan dalam mesyuarat dengan tujuan mencari pendapat yang paling baik. Akan tetapi, setelah keputusan dicapai, maka kesemua ahli mesyuarat wajib melaksanakan keputusan mesyuarat tersebut.
Jika ada pertikaian atau tidak puas hati, maka ia perlu ditimbulkan dan diselesaikan dalam mesyuarat juga, tidak melalui cara lain seperti bersembang di kedai kopi, blog, sidang media, twitter dan sebagainya.
Perdebatan biasanya akan mencerminkan ‘true colour’ seseorang. Dari kaca mata pihak ketiga, orang lain akan melihat bagaimana “hodoh”nya atau hebatnya akhlak mereka yang berbalah.
Ada yang berbalah mengikut hawa nafsu. Ada juga yang bersabar.
Saya mengasihani mereka yang terlibat dengan sebarang bentuk perbalahan sia-sia ini. Orang akan menilai akhlak kita dan meletakkan satu label negatif pada diri kita. Seterusnya akan memberi kesan kepada pergaulan dengan orang di sekeliling.
Ibnu Mas’ud r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor.”
Seseorang yang tidak mengambil kisah tentang keimanan diri sudah tentu tidak akan memperdulikan sabda nabi ini. Berbeza dengan mereka yang begitu mengambil berat dengan sabda-sabda nabi, sepatah dua sabda sudah memadai dan dipandang serius.
Apabila berada dalam suasana perdebatan, ia perlu dilakukan dengan cara yang paling baik. Dalam suasana perdebatan, kita dituntut untuk melakukannya dalam suasana yang lebih beretika.
Ini adalah kerana pada kebiasaannya dialog akan membawa kepada perdebatan keras dan suasana yang tegang.
Antara cara dialog yang paling beradab adalah pemilihan perkataan yang elok. Al-Quran sendiri menggunakan ungkapan ahli kitab kepada orang Yahudi dan Nasrani, sebagai contoh. Bukannya mencela atau memanggilnya dengan perkataan yang hina.
Ketika ini, ramai ilmuan yang berdebat seolah-olah mereka bukan menggunakan mata pena, tetapi menggunakan mata pedang.
Perbincangan sepatutnya diadakan dalam suasana yang tenang dan harmoni. Hakikatnya, Perkataan yang keras dan kesat tidak memberikan sebarang faedah. Walaupun mereka mengatakan perbezaan pendapat tidak membawa permusuhan, tetapi itu hanya kepada mereka yang berdialog dengan beradab.
Dialog yang keras dan kesat tetap mengguris hati walaupun dilontarkan dengan senyuman.Golongan pemimpin dan ahli fikir perlu mengambil berat perkara ini semasa memberi komen terhadap kumpulan atau pendapat lain, yang berbeza dengan pendapat mereka.
Sebenarnya, dalam menyampaikan pendapat atau ingin mempertikaikan pendapat orang lain tidak perlu menggunakan kata-kata yang kesar dan menyakitkan hati, tidak memerlukan perkataan yang tidak membawa kepada rasa gembira dan perkataan yang tidak menyatukan.
Perkataan tersebut tidak patut digunakan kerana Rasulullah berkata: “Permudahkanlah, jangan susahkan.”
Surah Hud 11 : 118 dan 119 yang maksudnya, “Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahanam dengan jin dan manusia (yang derhaka) semuanya.”
Perselisihan pendapat dan perbezaan pandangan adalah lumrah kejadian Allah. Namun ini tidak bermakna Allah menyuruh hambanya sentiasa berbalah, sebaliknya Allah memerintahkan hambanya untuk bersatu atas kebenaran.
Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan bekas Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monash University. Beliau merupakan penyelaras/pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.