Sunday, May 27, 2012


Dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan pihak pembangkang akan mengadakan demonstrasi ganas secara berterusan sekiranya kalah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bukanlah cakap kosong.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Zahid Mat Arip berkata, apa yang disebut Dr Mahathir sebenarnya berasas kerana itulah perancangan pihak pembangkang pada pilihan raya umum nanti.

Menurutnya, pembangkang menggunakan taktik ganas tersebut kerana sedar mereka tidak akan berjaya menawan Putrajaya ekoran majoriti rakyat negara ini sudah menolak mereka.

“Bagi pihak pembangkang, demonstrasi ganas ini perlu untuk menunjuk kepada dunia kononnya majoriti rakyat negara ini menolak kerajaan dan menggambarkan pilihan raya kita dimanipulasi, sedangkan sebenarnya tidak.

“Pemimpin pembangkang sanggup meracuni pemikiran penyokong mereka, menghasut dan mengarahkan huru-hara kerana mereka sudah kemaruk kuasa, perkara ini amat berbahaya kepada keharmonian kita semua,” katanya.

Katanya, pemimpin utama pembangkang sudah pun menimbulkan kekecohan apabila mengarahkan perusuh merempuh pengadang polis pada himpunan Bersih 3.0 pada hujung bulan lalu dan tidak mustahil perkara itu akan berulang kembali.

“Pemimpin ini memburukkan negara di luar, menghina institusi kehakiman, polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke tahap melampau. Setakat mahu menimbulkan kekacauan dalam negara, pemimpin ini pasti tidak kisah,” katanya.

Menurutnya, demonstrasi ganas itu juga sebagai satu cara untuk menunjukkan kepada negara luar bahawa rakyat negara ini menolak keputusan pilihan raya yang kononnya telah dimanipulasi kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin pula menegaskan tidak hairan sekiranya pihak pembangkang menggunakan politik jalan raya bagi memenuhi kehendak pemimpin utama mereka. SH

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.