Saturday, May 19, 2012


Isu kerajaan perpaduan sekali lagi bergema. Kali ini bukan dari UMNO, tetapi pucuk pimpinan Pas, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang telah mengeluarkan kenyataan bunga-bunga kesediaan muzakarah dengan UMNO, biarpun selama ini beliau dilihat begitu keras pendiriannya yang menolak sebarang kerjasama atau muzakarah bersama UMNO.
Pendiriannya ini ternyata amat berbeza dengan sikap yang agak lunak yang diperlihatkan oleh Presiden Pas, Haji Hadi Awang dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasaruddin Mat Isa.
Begitu juga dengan kenyataan daripada Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau juga telah memberikan ‘green light’ bahawa UMNO pada bila-bila masa saja bersedia untuk duduk semeja dengan Pas bagi membincangkan isu dalam memartabatkan Islam, bangsa Melayu dan tanahair, di mana ini merupakan matlamat yang dikongsi bersama oleh dua buah parti Melayu ini.
Apa yang lebih menarik, apabila isu bersatu antara UMNO dan Pas ini menarik perhatian sebahagian besar umat Islam yang menjadi pemerhati kepada situasi politik di negara ini. Rata-ratanya meluahkan pendapat di dalam laman sosial samada facebook atau blog, yang memperlihatkan harapan agar perpaduan ini dapat dijayakan.
Usaha untuk menyatukan dua parti politik umat Islam yang terbesar di negara ini yang mendapat perhatian serta keterlibatan orang-orang alim secara langsung dan serius, merupakan satu perkembangan yang amat positif hari ini.
Dalam hal ini, umat Islam perlu sedar bahawa perpaduan ummah pada hari ini merupakan salah satu perintah Allah yang paling penting untuk dilaksanakan, berdasarkan situasi keadaan umat Islam yang berpecah belah, khususnya di negara ini.
Biarpun di antara kedua-dua parti ini mempunyai kenangan pahit secara peribadi sebelum ini, namun perkara ini tidak boleh menjadi penghalang dalam usaha perpaduan ini.
Mengapakah perbezaan ideologi politik, pentadbiran dan perlaksanaan bagi mengurus tadbir negara boleh membuatkan ada sebahagian umat Melayu bermusuh dengan yang lainnya. Sehinggakan kita hari ini mencaci maki dan menghamun sesama sendiri.
Hari ini, masing-masing memberitahu rakyat bahawa merekalah pembela Islam dan bangsa Melayu, namun apakah kita mahu membela Islam dengan cara berpecah belah, taksub, asobiyah, memaki hamun sesama sendiri, khianat, dengki, takbur, riak, sombong dan sikap-sikap yang seangkatan dengannya?
Apakah pendekatan seperti yang disebut di atas itu adalah perintah Tuhan atau pun sunnah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw dalam usaha memartabatkan Islam? Bolehkah kita memperjuangkan Islam dengan akhlak yang buruk dan memaki hamun sesama sendiri?
Selain itu, apakah sikap bermusuhan, dengki mendengki, khianat mengkhianati, taksub dan asobiyah yang ditonjolkan dalam budaya berparti dan berpolitik di kalangan masyarakat Melayu hari ini adalah sesuatu yang baik untuk diwariskan kepada generasi pelapis umat Islam di negara ini?
Kita perlu sedar, bahawa Allah swt telah menyatukan umat Melayu dengan dua faktor yang paling kuat iaitu bangsa dan agama. Namun mengapakah hari ini kita masih lagi berpecah belah?
Bagi menjadikan usaha perpaduan ini menjadi kenyataan, maka wajib bagi setiap ahli terutamanya pemimpin bagi kedua-dua parti itu membuangkan rasa syak wasangka, khianat, dengki, ujub, riak dan mula bersikap tulus, ikhlas dan bersatu dengan niat hanya kerana Allah semata-mata.
Sekiranya masih wujud perasaan syak wasangka dan seangkatan dengannya dalam diri ahli mahupun pemimpin di dalam kedua-dua parti ini, maka usaha perpaduan ini akan gagal.
Apakah umat Islam di negara ini, ahli-ahli parti politik serta pemimpin terlupa pesanan Rasulullah saw yang dikitabkan di dalam Sahih Muslim yang bermaksud :
Hadis Anas bin Malik r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci-membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya
Malah, lebih penting lagi, perintah perpaduan itu merupakan salah satu perintah utama yang difirmankan Allah melalui Al Quran. Jika berdasarkan situasi di negara ini, maka tidak syak lagi, bahawa perintah untuk bersatu padu menjadi satu perintah yang perlu diutamakan dan sama pentingnya dengan perintah solat, haji, puasa dan lain-lain.
Sekiranya perkara ini menjadi satu kenyataan, maka keterbukaan serta keimanan umat Islam di negara ini dalam usaha bersatu padu memelihara Islam mudah-mudahan akan menjadi contoh bagi seluruh negara Islam di dunia ini.
Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud :
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.
 Tangan-Tangan Ghaib Golongan Munafik
Di samping itu, umat Islam khususnya bangsa Melayu, perlu sedar bahawa mungkin ada tangan-tangan ghaib yang tidak mahu melihat wujudnya perpaduan di antara umat Islam di negara ini.
Dajal-Dajal kecil ini mungkin wujud di mana-mana sahaja, baik sebagai rakyat, ahli parti politik, termasuklah di kalangan pemimpin-pemimpin politik di dalam negara ini, baik di dalam UMNO, Pas , Keadilan DAP dan lain-lain.
Mereka inilah golongan munafik yang tidak mahu melihat perpaduan di kalangan umat Islam, khususnya bangsa Melayu lantaran mempunyai kepentingan agenda peribadi masing-masing.
Dalam hal ini, Allah swt telah mengingatkan hamba-hamba-Nya umat Islam melalui Firman-Nya dalam surah An Nisa ayat 88 yang bermaksud :
Maka apakah yang menyebabkan kamu (berpecah) menjadi dua golongan terhadap kaum munafik itu, padahal Allah telah menjerumuskan mereka (ke dalam kekufuran) disebabkan apa yang telah mereka usahakan? Adakah kamu pula hendak memberi petunjuk kepada orang-orang yang telah disesatkan oleh Allah? Padahal sesiapa yang telah disesatkan oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.
Dan jelas, mereka yang termasuk di dalam golongan munafik itu ialah mereka yang mempunyai penyakit spiritual iaitu hasad dengki dengan perkara kebaikan seperti mana yang dijelaskan Allah swt dalam surah Al Baqarah ayat 10 yang bermaksud :
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).
Dan golongan munafik ini pula, berselindung di sebalik kelakuan yang baik dan sikap yang lunak, bagi menyembunyikan kemunafikan mereka serta perasaan hasad dengki mereka itu seperti yang dijelaskan Allah swt dalam surah Al Baqarah ayat 11 yang bermaksud :
Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan.
Maka dalam hal ini, peranan para alim amat diperlukan untuk menjayakan usaha perpaduan ini. Orang alim perlu menjadi orang tengah di dalam usaha untuk menyatu padukan dua parti politik terbesar umat Islam di negara ini. Ini sesuai dengan perintah Allah swt dalam surah Al Hujaraat ayat 10 yang bermaksud :
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
Kepada para ustaz, ulama dan pemimpin yang terlibat dalam politik, sekiranya ada di antara mereka yang bersikap auch tidak acuh, atau tidak suka kepada usaha untuk menyatupadukan dua parti terbesar ini dengan bersungguh-sungguh lantaran sentimen peribadi atau kenangan lalu, maka Allah swt dalam Firman-nya melontarkan satu persoalan kepada golongan ini yang bermaksud :
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?
Jadi jelas di dalam isu perpaduan ini, tidak ada alasan dari kedua-dua belah pihak untuk mengatakan tidak pada usaha ini. Bersatu merupakan satu perintah Allah dan Rasul, maka sekiranya usaha ini ditolak oleh salah satu pihak, maka secara jelas golongan ini telah ingkar dan melanggar perintah Allah.
Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan sekiranya wujud golongan yang menentang perpaduan dua parti terbesar umat Islam yang cuba diusahakan hari ini, tidak syak lagi inilah golongan dajal dan munafik yang wujud berkeliaran di kalangan umat Islam untuk menyebar fitnah melaga-lagakan umat Islam di negara ini sesama sendiri.
Ini adalah kali ketiga kenyataan yang membayangkan akan wujud usaha menyatupadukan dua parti dalam satu matlamat. Ingatlah nasihat Allah swt dalam Surah An Nur ayat 55 yang bermaksud :
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka:Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akanmenguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanansetelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka
Bersatulah demi kemuliaan Islam, kesejahteraan bangsa dan keamanan negara.
Abu Muhammad Zubair

7 comments:

Anonymous said...

Nik Aziz terlalu sombong, ego dia tinggi x nak beralah... umno ajak bersatu da lama dah.... dia jer jual mahal...

Anonymous said...

Alhamdullillah...kalau btl lah PAS nak bermuzakarah dengan UMNO aku sokong..tetapi niat hendaklah betul,semata2 kerana ALLAH..bukan untuk kepentingan politik..jgn di ulang sejarah hitam.
Aku sambut baik..sebagai seorang muslim ini adalah kehendak mengikut alquran dan sunnah nabi..tunaikan lah hak pemimipin sebagaimana yang dilakukan di zaman rasullullah dan igt!!! jgn ada udang di sebalik batu..

Anonymous said...

Fatwa Haji Hadi tu tarik dulu...

Anonymous said...

Alhamdullilah......mari kita doa7 agar muzakarah ini berjaya dan menghasilkan perpaduan umat Islam di negara yg tercinta ni....

Anonymous said...

satu artikel yang sangat baik. aku sangat sangat teruja menatapinya. artikel menarik yang benar benar dapat menimbulkan kesedaran kepada umat islam keseluruhanya. kandungan yang sungguh indah hingga dapat memberikan aku kesedaran dan keinsafan tentang betapa banyaknya kesalahan kesaslahan yang aku telah laku didalam menempuh hidup seharian. Alhamdulillah dapat aku menghayatinya menerusi diri penulisnya sendiri.

aku sokong sangat sangat perpaduan ini dan kalau boleh, kita mula hentikan segala syak wasangka kita terhadap kedua dua pehak, takut takut akan menggagalkan perpaduan ini. kata kata adalah doa' dan sementara itu berkata baiklah kita:

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam, dan Malaikat juga ada bisikannya; ada pun bisikan syaitan itu ialah galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan bisikan Malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenaranya; oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan."

Anonymous said...

aku sokong gak ler pasal muzakarah, tp rasanya mcm ader muslihat jer, dah dekat2 pru baru nak mizakarah, klo pepaduan org islam ok ler, tp klo nak gabung utk pru x payah dulu, takut2 lpas dia menang dia u turn balik kat pr,

Anonymous said...

sudahlah...hentikanlah, dia yang mulakan - dia pulak yang letak syarat.

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.