Tuesday, May 15, 2012


TIDAK semestinya bapa borek anak rintik. Marina, anak perempuan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeleweng dari ident iti bapanya dalam aliran pemikiran atau pendirian sosio politiknya yang terserlah dari aktiviti dan penulisannya tetapi mereka yang merasa tidak senang tidak memberikan reaksi terbuka kerana menghormati Mahathir.

Secara diam-diam orang memperkatakannya dan Mahathir tentu menyedarinya.

Marina memperkenalkan dirinya sebaris dengan penulis-penulis ejen globalisasi lainnya yang terdiri dari Azmi Sharom, Karim Raslan, Tunku Abidin Muhriz .Mereka adalah kolumnis kepada akhbar The Star dan menjadi star kepada akhbar The Star sebagai wira Melayu dalam perjuangan untuk menegakkan liberalisme Barat di Malaysia.

Dengan keyakinan dalam perjuangan berani bagi dunia baru ini maka mereka terlihat sebagai wira kebebasan dan demokrasi sekalipun tulisan mereka terikat dengan sentimen, fanatik dan terpimpin oleh liberalisme Barat. Malangnya tulisan mereka tidak ramai dibaca oleh orang Melayu maka tidak banyak timbul kontroversi.

Mereka ini adalah setaraf dengan penulis dan wartawan-wartawan Utusan Melayu sebelum tahun 1961 iaitu sebelum UMNO mengambilalih Utusan Melayu yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang kebebasan dan mempertahankan kebebasan akhbar tetapi sebenarnya berjuang untuk imperialisme Melayu Raya yang dijuarai oleh Indonesia dan dibiayai oleh Comintern ( Komunis Antarabangsa) dalam masa Perang Dingin.

Di zaman Perang Dingin, mereka ini akan dianggap oleh pihak komunis sebagai imperialisme atau kapitalisme tetapi dalam keadaan dunia yang berada dalam kuasa unipolar, mereka adalah wira kepada konsep globalisasi Barat. Mereka tenggelam dalam kebanggaan ini dan tidak dapat melihat dunia lain lagi.

Tulisan-tulisan mereka yang selalunya bersifat protes tidak berasaskan kepada fakta yang benar tetapi ilusi keyakinan dan prejudis yang tidak diimbangi oleh fahaman akar umbi dan sejarah tanah air kerana mereka adalah anak golongan elit.

Umpamanya tulisan Karim Raslan dalam The Star 8 Mei 2012 menampakkan beliau terpesona dengan Dahlan Iskandar, Menteri Badan Usaha Milik Negara Indonesia yang popular sebagai pemimpin berteraskan akar umbi yang senang bergaul dengan rakyat bawahan dan tidak meninggi diri untuk dijadikan contoh kepimpinan politik Malaysia.

Sekali gus ia memberikan gambaran kepada pembaca-pembacanya seolah Malaysia tidak mempunyai kualiti kepimpinan yang sedemikian sebaliknya mereka yang telah melalui sejarah negara ini menyedari bahawa dari Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Dr. Mahathir hingga kepada Najib adalah golongan elit dan feudal yang turun ke bawah. Tidak semua anak golongan elit yang berada di awang-awangan sehingga tidak dapat melihat kekuatan sendiri.

Ini hanyalah suatu contoh dari tulisan Karim dan banyak lagi tulisannya yang mengukur kepimpinan Malaysia dari segi elitismenya.

Tunku Abidin Muhriz dalam suatu tulisannya menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang lalu telah menganggap orang UMNO sebagai lintah tetapi berikutan dengan reaksi marah orang Melayu atas tulisannya yang melulu dan bersifat prejudis itu maka sesiapa yang terus mengikuti tulisannya akan menyedari bahawa beliau sedang belajar untuk menjadi rasional dan mengurangkan keegoannya.

Sesiapa yang mengikuti kolum Marina Mahathir bila membaca satu dua para awal sahaja bagi tiap tulisannya maka kita sudah mengetahui alirannya yang bersifat protes dan berat sebelah dan lebih bertujuan untuk memperkuatkan identitinya sebagai terasing dari pendirian bapanya. Kita tidak perlu membaca tulisannya hingga ke akhir kerana konklusinya dapat dijangka sama sahaja.

Tulisannya yang terkini di The Star 9 Mei 2012 mengenai Bersih 3.0 cuba untuk menampakkan pandangannya yang seimbang tetapi pada akhirnya nyatalah dia lebih berat untuk menyalahkan polis yang mencabar kesabaran toleransi bapanya Mahathir dari terus berdiam diri.

Beliau memberikan gambaran seolah-olah polis yang bertindak ganas dengan adanya bukti 65 orang awam tercedera sedangkan hanya dua orang anggota polis cedera.

Dalam suratnya kepada The Star pada 10 Mei 2012, Mahathir menolak dakwaan anaknya itu dengan penjelasan " Ramai yang tercedera bukan dipukul oleh polis. Demonstran juga menyerang orang awam yang mereka fikirkan memerhati dan merakamkan apa yang sedang berlaku.

“Dan terdapat samseng-samseng yang dilatih khusus dari Pas yang memakai baju merah yang tugas mereka adalah untuk menggunakan kekerasan"

Mahathir berkata Marina yang menyertai perhimpunan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 tidak tercedera kerana dia tidak cuba untuk memecahkan sekatan yang diletakan oleh pihak berkuasa. Kiranya semua demonstran mencontohinya maka tidak ada seorang pun yang akan tercedera.

Mahathir juga berkata Marina tentunya mengetahui bahawa di tempat lain sekatan telah dibuang , cermin kereta polis diketuk dan dipecahkan dan kereta diterbalikkan.

Jika tidak silap saya inilah pertama kalinya Mahathir membetulkan fahaman anak yang keliru dan mungkin mengelirukan orang ramai dengan tujuan untuk memperlihatkan diri sebagai ejen globalisasi dan mahu terbilang sebagai salah seorang jaguh perjuangan kemanusiaan, kebebasan dan demokrasi di Malaysia.

Walaupun Marina diketahui telah menyekutukan dirinya dengan mereka yang mahukan keadilan kepada golongan LGBT dengan mengenepikan nilai-nilai murni tempatan tetapi Mahathir yang diketahui penentang keras perkahwinan sejenis dan menyingkirkan Anwar dari kepimpinan UMNO kerana memiliki kesukaan sejenis, tidak pernah menegur Marina sebelum ini.

Mungkin Mahathir merasakan bahawa beliau tidak harus membiarkan lagi anaknya apabila sampai kepada peringkat usaha mengikis kredibiliti pihak polis dan menghilangkan keyakinan rakyat terhadap tonggak utama negara ini.

Dengan teguran Mahathir terhadap Marina maka pihak tertentu tidak seharusnya memikirkan lagi bahawa Mahathir telah membiarkan anaknya menumpang pengaruhnya untuk meneruskan perjuangan untuk liberalisme Barat dalam hal-hal yang bertentangan dengan nilai tempatan.

Marina tidak mempunyai kekuatan pengaruhnya sendiri tetapi bergantung kepada kemasyhuran bapanya, penyelewengan dari identiti bapanya telah dieksploitasi atau dipinjam oleh parti-parti pembangkang untuk meningkatkan moral mereka tanpa kerelaan Marina sendiri.

Bagaimanapun Marina tidaklah sama bahayanya kepada bangsa dan negara seperti Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz yang pengaruh kepimpinan agamanya mengelirukan pemimpin-pemimpin Pas dan ahlinya untuk menerima seorang yang didakwa penzina dan homoseksual sebagai pemimpin mereka dan juga sebagai bakal pemimpin negara. UTUSAN

1 comments:

Anonymous said...

hmm... saya bersetuju dengan pendapat penulis.. saya juga ingin menambah sedikit, mengikut pemerhatian saya yg setelah melihat reaksi dan cara dia di temuramah setiap insiden mengenai Bersih, boleh dilihat yang kadang kalanya dia sendiri tidak tahu apa yang diperkatakannya seperti lembu dicucuk hidung.. Kata2 nya seperti scrip yg telah ditulis oleh seseorang kerana nada dan gaya mereka seperti sama.. saya perasan komen2 nya bukan pendapat dia yg sebenar tetapi berpandukan cerita atau "hear say" yg didengarnya.. Memang benar, dia kelihatan lebih liberal tetapi percakapan liberalnya seperti tidak kena dengan sentimen masyarakat Malaysia.. Ada juga seakan2 dia lupa jasa bapanya dek kerana terlalu ghairah memberi komen... Jgn salah anggap, saya juga merasakan diri saya liberal tetapi tahap keliberalan saya masih ada batas2 selagi ia bersesuaian dengan budaya dan agama..

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.