Saturday, April 7, 2012


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM211.6 juta untuk terus memperkasa dan memartabatkan agenda Islam di Wilayah Persekutuan. 

Beliau berkata, daripada jumlah itu RM157 juta akan diperuntukkan bagi pembinaan masjid, surau Jumaat, surau dan sekolah rendah agama yang baru bagi memenuhi keperluan seluruh masyarakat Islam di tiga Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Selain itu, beliau berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan memperuntukkan RM20 juta bagi tujuan penambahbaikan masjid, surau dan sekolah rendah agama.



"Semoga dengan peruntukan itu warga Islam di Wilayah Persekutuan dapat menjalankan ibadah dengan lebih berkualiti dan memiliki kehidupan lebih baik," katanya pada Perhimpunan Perdana Warga Agama/Qaryah Wilayah Persekutuan Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini. 

Bagi memastikan bidang pendidikan agama terus dipertingkatkan, Najib berkata, peruntukan sebanyak RM3.78 juta akan disalurkan sebagai bayaran elaun guru KAFA dan guru sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. 

"Hasil pentadbiran negara yang baik itu kita mesti pulangkan balik kepada rakyat termasuk golongan agama. Saya janji bahawa bila ekonomi kita bertambah lebih baik lagi, untung nasib dan kebajikan (rakyat) tetap akan dijaga sebaik-baiknya oleh kerajaan," katanya.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 warga agama itu, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada golongan agama yang dilihat turut komited bersama-sama dengan kerajaan dalam memperjuangkan agenda transformasi negara. 
Justeru itu, Najib berkata, apabila gagasan 1Malaysia diperkenalkan, ia tidak lari daripada prinsip Islam kerana salah satu sendi dan nilai utama yang disebutkan ialah nilai Wasatiyyah atau kesederhanaan.

"Nilai kesederhanaan itu bukan bermaksud lebih kurang, bukan bermaksud sambil lewa...tetapi bermaksud melakukan yang terbanyak tetapi ada penyeimbangan dari segi spiritual dan material," katanya.

Beliau berkata, dengan nilai kesederhanaan itu, bukan sahaja dapat membentuk negara yang baik tetapi juga dapat memperjuangkan satu ummah di samping hubungan baik dengan penganut agama lain turut dapat dipelihara. - BERNAMA

1 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.