LINANGAN AIR MATA IRINGI SAMBUTAN HARI JADI RITA...


Hati ibu mana yang tidak terusik tatkala mengenangkan nasib anak-anak apabila mahligai yang dibina bakal berakhir dengan perceraian. Apatah lagi, rumah tangga yang dibina selama empat tahun itu berlandaskan cinta dan kasih sayang yang tidak pernah berbelah bagi.

Itulah kemelut yang berlaku dalam rumah tangga pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar, 36, dan suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 25.

Pergolakan dalam rumah tangga mereka sudah pun menemui noktahnya apabila Aidil memfailkan perceraian ke atas Rita dan memaklumkan tindakan itu kepadanya menerusi SMS, baru-baru ini.

Walaupun pahit untuk ditelan ternyata Rita sudah mendapat kekuatan untuk menerima keputusan suaminya itu demi menyelesaikan krisis yang sekian lama melanda dalam rumah tangga mereka.

“Saya reda jika ia sudah ditakdirkan dan tertulis dalam hidup saya. Saya tidak takut untuk hidup sendirian tanpa seseorang di sisi kerana selama ini pun saya sudah biasa hidup berdikari bersama anak-anak.

“Saya juga ingin ucapkan terima kasih pada Aidil atas segala-galanya kerana beri saya dua cahaya mata sepanjang hidup bersama dulu. Terus terang sebagai wanita saya dambakan seorang suami yang matang dan mampu menjadi pelindung saya dan anak-anak dan bukannya lelaki yang lemah. Malah, saya berkahwin dulu pun bukan kerana harta dan wang ringgit sebaliknya ingin mencari cinta dan kasih sayang daripada seorang suami.

“Soal Aidil memfailkan perceraian pula, saya sudah serahkan kepada peguam yang sudah dilantik untuk berbincang lanjut mengenainya termasuk hak penjagaan anak-anak kami selepas ini,” katanya.

Mengenai penerimaan keluarganya berhubung kemelut rumah tangganya itu, kata Rita, sejak dulu mereka sentiasa memberi sokongan padu kepadanya.

“Keluarga saya tidak pernah campur tangan dalam urusan rumah tangga kami, sejak awal lagi. Apa pun keputusan yang saya buat, keluarga tetap menyokong asalkan ia baik untuk saya dan anak-anak.

“Kali pertama rumah tangga kami bermasalah dulu, keluarga saya beri pandangan supaya saya buat yang terbaik demi masa depan anak-anak,” katanya.

Ibu muda ini tetap berdiri teguh kerana mendapat kekuatan daripada anak-anaknya yang sentiasa di sisi dalam saat suka dan duka.

“Sebenarnya, saya susah nak menangis dan tidak akan menangis depan anak-anak kerana saya tidak mahu nampak diri saya lemah. Kalau saya lemah, bagaimana saya akan menjaga mereka dan membesarkan mereka dengan sempurna?

“Kadang-kadang saya terfikir mungkin Allah s.w.t anugerahkan saya dua anak lelaki untuk menjadi pelindung dalam hidup saya kelak,” katanya.

Rita tekad meneruskan kehidupan solo bersama dua permata hatinya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Rafqa Arjuna, 1.

“Saya memang tidak boleh hidup tanpa anak-anak dan tiada siapa pun yang boleh pisahkan kami bertiga. Saya sanggup ‘shooting’ siang dan malam demi menyara anak-anak. Selama ini pun saya yang mencari rezeki untuk diri sendiri dan anak-anak. Apapun, saya sudah buat persediaan awal termasuk dari segi pendidikan dan masa depan anak-anak supaya terjamin kelak,” katanya.

Ditanya sama ada dia tidak bimbang kenyataan mengenai rumah tangganya tidak di persetujui Aidil, Rita akui dia tidak kisah jika suami terbaca mengenainya di akhbar.

“Sepanjang kami berkahwin, saya sudah menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dengan baik. Malah, saya hanya terima tawaran berlakon jika dia mengizinkannya.

“Malah, saya sanggup dipulau pihak media ketika kami bernikah di Thailand dulu. Semuanya saya lakukan demi cinta dan kasih sayang yang cukup ikhlas padanya. “Justeru, saya pernah bertanya kenapa perkara ini berlaku dalam rumah tangga kami? Namun, saya percaya, Allah beri ujian pada hamba-Nya yang terpilih dan mampu untuk memikulnya,” katanya.

Linangan air mata iringi sambutan hari jadi Rita

SETABAH manapun seorang wanita itu, air mata pasti akan menitis apabila melihat anak-anak yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa itu menjadi mangsa perpisahan yang berlaku.

Itulah yang dapat digambarkan pada majlis hari jadi Rita yang berlangsung tanggal 11 April di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur di sini, kelmarin.

Maklumlah, jika isteri lain menerima hadiah hari jadi yang mahal daripada suami tersayang, Rita pula sebaliknya menerima berita yang cukup memeritkan itu.

Dengan linangan air mata yang dipendam selama ini, Rita berusaha untuk bangkit demi meneruskan kehidupan bersama anak-anak untuk menempuh hari mendatang.

“Sempena sambutan hari jadi tahun ini, saya berdoa semoga hidup saya dan anak-anak lebih bahagia. Saya harap tiada lagi masalah yang kami hadapi seperti sebelumnya,” katanya.

Bukan saja Rita yang tidak dapat menahan tangisan, anak sulungnya, Rayyan yang ‘melekat’ dalam dukungan ibunya juga meragam dan kerap menangis ketika majlis berlangsung seolah-olah anak kecil itu turut mengerti penderitaan yang ditanggung ibunya.

Sambutan hari jadi Rita yang dihadiri keluarga terdekat, rakan artis, penerbit drama serta teman media itu dianjurkan sahabat baiknya, Linda dan Diana Rafar yang turut membuat persembahan menghiburkan tetamu yang hadir. Manakala, suami Diana, pelakon Zamarul Hisyam yang menaja coklat jenamanya untuk majlis itu tidak dapat hadir petang itu.
LINANGAN AIR MATA IRINGI SAMBUTAN HARI JADI RITA... LINANGAN AIR MATA IRINGI SAMBUTAN HARI JADI RITA... Reviewed by Empayar Pemuda on 1:20 AM Rating: 5

1 comment:

  1. jadikan anak2 sebagai penguat diri,hidup untuk diri sendiri dan anak2 sekarang,pedulikan tohmahan org,rumah tangga kita hanya kita saja yg ketahui.buruk atau baik biar kita simpan sendiri.wanita akan jadi kuat bila dia tahu apa yg dia mahu,dan dia akan mempertahankan haknya.

    ReplyDelete

Popular

Powered by Blogger.