Friday, April 13, 2012


DUA pekara yang boleh difikirkan apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng meminta 84 buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di negeri itu berhenti melanggan akhbar Utusan Malaysia.

Pertama, mungkin kerana beliau tidak mempunyai keyakinan yang kuat bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang pimpinannya berada pada kedudukan dapat menghadapi dan menangkis apa juga cabaran.

Dan keduanya, pemboikotan Utusan Malaysia yang dianjurkan bersama oleh parti-parti pakatan pembangkang iaitu DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebaik sahaja mengambil alih kerajaan negeri Pulau Pinang sejak 2008 tidak berkesan.

Utusan Malaysia tetap dibaca oleh penyokong-penyokong mereka dan masih memberikan impak pengaruh tidak sahaja kepada masyarakat Melayu tetapi juga dalam kalangan bukan Melayu.

Arahan pemulauan Utusan Malaysia kepada SJKC adalah penerusan usaha kerajaan pakatan pembangkang untuk membunuh Utusan Malaysia dengan strategi terancang daripada pemboikotan, pemotongan langganan akhbar itu oleh pejabat-pejabat kerajaan negeri, larangan pemberita Utusan meliputi sidang Dewan Undangan Negeri dan majlis majlis kerajaan dan menyaman malu Utusan dari semasa ke semasa.

Dalam beberapa hal tindakan Guan Eng adalah mencontohi tindakan Perdana Menteri, Singapura Lee Kuan Yew terhadap Utusan Melayu dalam tahun 60-an kerana Utusan Melayu dituduh melancarkan serangan-serangan liar terhadapnya yang bersifat perkauman.

Utusan telah meminta maaf kepada Kuan Yew kerana menuduh beliau komunis atas nasihat Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman yang tidak percaya Utusan akan menang apabila akan dibicarakan di Singapura berikutan dengan perpisahan.

Bagaimanapun, terdapat kelainan dalam cara tindakan Guan Eng terhadap Utusan Malaysia dibandingkan dengan mentornya Kuan Yew yang sekalipun memusuhi Utusan Melayu tidak melarang anaknya membaca Utusan Melayu.

Dalam buku memoirnya From Third World To First, di halaman 750 , Kuan Yew menyatakan bahawa Loong mempelajari bahasa Melayu sejak umur 5 tahun dan selepas Singapura menyertai Malaysia beliau mula belajar Jawi, bahasa Melayu yang ditulis dalam skrip Arab.

‘‘Untuk latihan beliau membaca Utusan Melayu, akhbar Jawi UMNO yang menyiarkan tuduhan tuduhan perkauman terhadap PAP dan juga saya,’’ kata Kuan Yew.

Jika diperhatikan sejak beliau memerintah Pulau Pinang, tanpa perisytiharan Guang Eng cuba untuk menjadikan negeri itu sebagai bandar kembar Singapura dan cuba mencontohi, menghayati serta mempelajari strategi pembangunannya dulu dan sekarang. Maka itu dari semasa ke semasa kita akan mendapat berita tentang pertemuan sulitnya dengan pihak tertentu di Singapura.

Di samping beliau cuba mempelajari dari dekat dan cuba mendapat bantuan penanaman modal dan lain-lain yang bersifat politik serta ekonomi untuk perubahan besar bagi Pulau Pinang, beliau juga cuba untuk meyakinkan kaliber dan keupayaannya kepada Singapura.

Umpamanya dalam interviu dengan Asia News yang saya saksikan ketika di Singapura beliau mendakwa di Malaysia, kerajaan negerinya yang pertama dapat menghapuskan kemiskinan.

Dalam pertemuan sulitnya, kesempatan juga diambil untuk menghina kerajaan Malaysia bagi meyakinkan Singapura bahawa beliau sedang meneruskan perjuangan Malaysian Malaysia yang menjadi inspirasi yang diwarisi daripada Kuan Yew.

Tidak semua tindakan Guan Eng untuk pembangunan Pulau Pinang harus dianggap salah terutama dari segi mendisiplinkan rakyat Pulau Pinang yang gagal dilakukan oleh pimpinan-pimpinan kerajaan negeri terdahulu yang lebih mementingkan populariti di kalangan rakyat dari meneruskan projek-projek yang dianggap tidak popular atau kerana adanya bantahan.

Suatu hal yang dilupakan oleh pimpinan terdahulu bahawa masyarakat Cina lebih memerlukan pimpinan yang berani dan tegas demi untuk kepentingan rakyat seperti di Singapura. Maka itu, Singapura berjaya terutama dalam melahirkan sebuah masyarakat Singaporean Singapore.

Kejayaan ini dicapai kerana kenikmatan, kelantangan, ketegasan dan keberanian Kuan Yew untuk mengambil risiko dengan membakar rumah- rumah haram di Singapura, mendenda pembuangan sampah dan meludah di sana-sini bagi melarang pembakaran gaharu di rumah-rumah dan lain-lain untuk mendisiplinkan rakyat dan bagi pembangunan.

Malah wajar disebutkan Kuan Yew juga mengambil tanah perkuburan Cina dan juga menghapuskan institusi-institusi chauvinisme Cina seperti sekolah-sekolah Cina, Universiti Cina (Nanyang Universiti) dan pusat-pusat pengajian tinggi Cina.

Yang menjadi dalang besar kepada pusat chauvinisme itu ialah beberapa orang Cina dari Malaysia yang akhirnya ditakutkan dan dimalukan oleh Kuan Yew di Televisyen Singapura. Bacalah memoir Kuan Yew yang pertama dan kedua untuk mendapatkan gambaran yang sebenar.

Memang wajar bagi Guan Eng untuk membersihkan Pulau Pinang sebagai Mutiara Pelancongan dengan tidak lagi membenarkan orang berniaga di atas pokok, membasuh pinggan mangkuk di tepi jalan, membiarkan sampah-sarap dan kekotoran serta sebagainya yang gagal dilakukan oleh kerajaan terdahulu kerana lebih banyak bermain politik.

Maka itu, kita melihat di bawah pimpinan Guan Eng berlaku tindakan rakus dalam pengambilan tanah, pembangunan kawasan yang boleh merosakkan alam dan pembangunan hartanah yang berlaku dengan pantas. Beliau tidak mempedulikan sensitiviti kaum dan agama malah berlaku pengambilan tapak masjid untuk pembangunan lain yang memberi faedah dari segi ekonomi.

Dalam beberapa hal menampakkan persamaan seperti tindakan yang diambil oleh kerajaan PAP Singapura di awal pemerintahannya.

Bagaimanapun, apa yang harus disedari oleh orang Melayu, tindakan tidak popular itu sebenarnya menambahkan populariti Guan Eng di kalangan pengikutnya terutama masyarakat Cina.

Kemarahan dan tunjuk perasaan terhadapnya memberikan faedah politik kepada Guan Eng yang dapat menunjukkan kepada masyarakat Cina tidak sahaja di Pulau Pinang tetapi di seluruh Malaysia bahawa beliau ialah pemimpin yang tegas dan berani untuk melakukan sesuatu sesuai dengan sentimen masyarakat Cina.

Kegembiraan dan kebanggaan beliau akan semakin besar apabila lebih banyak ditimbulkan kegemparan terhadap tindakannya yang bersifat perkauman terhadap masyarakat Melayu dan Islam di Pulau Pinang kerana akan memperkukuhkan lagi imejnya sebagai juara masyarakat Cina.

Ini tidak dapat dilakukan oleh pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan kerana mereka terikat dengan kontrak sosial malah Menteri Dalam Negeri, Allahyarham, Tun Dr. Ismail dalam buku memoirnya The Reluctant Politician menyatakan bahawa Pindaan kepada Akta Hasutan yang dibuat selepas peristiwa 13 Mei adalah lebih untuk menyelamatkan MCA dan parti-parti komponen Barisan Nasional yang tidak dapat bermain dengan isu-isu perkauman.

Bagi sesiapa yang mengikuti sejarah kepimpinan Kuan Yew di Singapura sejak sebelum menjadi Perdana Menteri dan sesudahnya akan mendapati beliau tidak mencari populariti untuk naik kepada di atas isu perkauman Cina tetapi dari awal lagi bertindak dengan berani memeranginya kerana melihat bahaya besar komunis Cina berada di belakang mereka.

Beliau sebaliknya menggunakan berapa orang pemimpin komunis di Singapura untuk kepentingan politiknya. Beliau menunggangi mereka dan dianggap sebagai pengkhianat oleh orang-orang kiri. Beliau berjaya menunggangi Singa.

Maka itu, Singapura melahirkan ‘Singaporean Singapura’ yang generasi barunya tidak sesuai dengan masyarakat Cina di luar Singapura. Rakyat dari Republik Rakyat China dan Taiwan yang tebal dengan kefahaman kecinaan tidak mesra dengan generasi baru Singapura.

Ini adalah masalah yang dihadapi oleh pendatang-pendatang asing terutama dari Republik Rakyat China di Singapura sekarang sama ada mereka sebagai pekerja, penduduk tetap atau pelajar (lihat Star 6 April 2012). Ramai rakan saya dari kalangan orang Cina Malaysia yang menyatakan bahawa mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan generasi muda Singapura yang kebaratan dan keInggerisan.

Kes terbaru seorang pelajar asing di Singapura dari Cina Sun Xu dalam blognya telah menyatakan bahawa ‘Lebih banyak anjing di Singapura daripada manusia’.

Isu yang timbul dalam pilihan raya nasional Singapura yang lalu dan juga masih hangat sekarang bukan soal perkauman Cina tetapi soal masyarakat Cina Singapura menentang pendatang asing terutama dari China. Hal ini tentunya di luar jangkaan LKY sendiri apabila beliau membina masyarakat ‘Singaporean’ menerusi pengantar Inggeris di semua sekolah.

Hal ini telah pun dijangkakan oleh suatu kajian yang dijalankan di Singapura dan disiarkan oleh akhbar Herald Tribune 20 Disember 1999. Menurut laporan wartawannya di Singapura, Michael Richardson bahawa satu pertiga dari generasi muda Singapore dari etnik Cina di Singapura tidak mahu dikenali sebagai orang Cina dan lebih mahu menjadi Caucasian atau pun Jepun.

Bagaimanapun dengan kemunculan Republik Rakyat China sebagai kuasa baru ekonomi dunia mungkin pendapat ini berubah tetapi secara logiknya tidak mungkin bahasa Mandarin akan mengambil tempat bahasa Inggeris sebagai pengantar sekolah-sekolah di Singapura kerana akan menimbulkan ketidakseimbangan perasaan dalam kalangan kaum di Singapura malah akan menerima tentangan dari masyarakat India di Singapura. Mendiang Menteri Kanan Singapura, Rajaratnam sendiri tidak bersetuju (lihat buku Men in White.)

Maka itu, rakyat Malaysia haruslah sedar bahawa DAP bukanlah seperti parti PAP Singapura yang cuba digambarkan oleh pemimpinnya terutama dari segi moral tetapi sebenarnya adalah parti yang hanya akan bergantung survivalnya atau hanya akan dapat terus hidup dengan bermain di atas sentimen perkauman Cina.

Berbanding dengan PAP yang boleh dianggap bersih tetapi DAP bersekongkol dengan parti-parti yang tidak bermoral dan melindungi rasuah dengan menggambarkan tindakan kerajaan untuk membanteras rasuah sebagai perkauman. Utusan

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.