Monday, April 9, 2012

KENAPA NEELOFA BERSEDIH...



TIDAK pernah merancang untuk menjadi popular, apatah lagi bergelar seorang pelakon dan selebriti yang dikenali ramai seperti hari ini, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, boleh dikira antara aktres yang bertuah kerana mencipta nama dalam masa yang cukup singkat.
Ketika dia mula-mula muncul dalam industri seni, namanya sarat dengan gosip cinta. Kemudian dia dikatakan tersangkut dalam perang dingin dengan seorang lagi aktres popular, meskipun ketika itu belum ada produk yang mempertaruhkan bakatnya kecuali kecantikan yang dimiliki.
Bagaimanapun, selepas kegagalan filem Azura 2011 lakonannya bersama pelakon Shah Jaszle, peminat seni mula mempersoalkan kehadiran Neelofa dalam industri seni. Neelofa sedar akan kritikan negatif yang diberikan terhadap filem sulung lakonannya itu. Tanpa segan silu, dia mengaku dirinya tidak pandai berlakon.
"Saya masuk ke dalam industri seni ini secara tidak dirancang dan saya mengaku sebelum menjadi pelakon, saya tidak pernah ada pengalaman berlakon langsung. Saya memang tidak pandai berlakon.
"Saya sedih juga apabila filem Azura 2011 mendapat kritikan dan lakonan saya dikategorikan sebagai menghampakan, tetapi segala kritikan yang dilontar tidak melemahkan semangat saya. Saya juga masuk ke dalam industri seni bukan untuk menjual kecantikan semata-mata kerana saya sedar untuk bertahan lama dalam industri ini, bakat perlu datang seiring," jawabnya yang ditemui pada majlis pelancaran produk baharu Habib Jewel di Ampang, Selangor baru-baru ini.
Tidak mahu mengalah, Neelofa mengambil inisiatif untuk menghadiri kelas lakonan daripada aktor dan aktres terkenal tempatan bagi memantapkan mutu lakonannya.
"Saya sedar diri dan tahu kemampuan saya. Kerana itu saya sudah merancang untuk memasuki kelas lakonan secara peribadi sebelum saya masuk ke set penggambaran sesebuah filem. Antara aktres hebat yang saya ingin belajar daripadanya adalah Elly Suriati," jawabnya jujur.
Selepas filem Azura 2011, berderet filem lakonannya menanti untuk ditayangkan seperti Lemak Kampung Santan, King Kapcai dan Saya Amat Mencintaimu (S.A.M). Menurutnya lagi, terdapat beberapa tawaran filem yang masih dipertimbangkan dan Neelofa mengakui dia seorang yang amat memilih naskhah demi memastikan kelangsungannya dalam industri seni.
"Sebenarnya sebelum filem Azura 2011 lagi saya telah memilih naskhah.

SELEPAS padat dengan jadual kerja sejak tahun lalu. Neelofa akhirnya dapat meluangkan masa untuk bercuti ke Eropah pada bulan lalu.




"Bukannya mahu berlagak diva tetapi saya harus memilih bagi memastikan profil kerjaya saya berada dalam landasan yang betul sekali gus memanjangkan lagi usia saya dalam industri seni.
"Perkara pertama yang saya lihat dalam sesebuah naskhah sudah pasti skrip yang bagus, kemudian saya akan menilai mampu atau tidak saya membawakan sesebuah watak itu dengan baik. Sebenarnya saya teringin untuk berlakon dalam filem yang berkisar tentang kekeluargaan," beritahu anak kelahiran Kelantan ini.
Besar kepala
Perjalanan kerjaya seni Neelofa baharu sahaja bermula, sejak dari awal sehingga hari ini, ada sahaja gosip liar yang membabitkan namanya.
Terbaharu gadis berusia 22 tahun ini dikatakan sudah mula besar kepala disebabkan permintaan yang tinggi terhadapnya.
Menjawab isu tersebut, Neelofa terdiam sebentar lantas bertanya kembali, bila masa dia bersikap demikian.
"Saya tidak tahu bila dan di mana saya besar kepala. Mungkin ada orang salah faham dan menyebarkan cerita yang tidak betul. Setakat hari ini Alhamdulillah saya tidak pernah gagal menghadiri semua acara atau temu janji yang terdapat dalam jadual saya," terangnya mempertahankan diri.
Namun Neelofa mengakui yang dia kini cukup teliti dalam memilih acara yang ingin dihadirinya bagi mengekalkan nilai eksklusif buat dirinya.
"Saya tidak boleh menghadiri semua acara kerana jika peminat terlalu kerap melihat wajah saya, nilai eksklusif itu akan segera hilang. Jika ada dua acara dalam satu masa, saya akan mengambil kira mana yang lebih penting dan memberi faedah kepada saya tetapi kepentingan itu bukannya kerana wang semata-mata, sebaliknya boleh jadi dalam acara itu saya dapat bertemu peminat," tambahnya lagi.
Sudah menjadi orang popular, namanya cukup kuat untuk menarik orang ramai menghadiri sesebuah acara. Neelofa memberitahu, ada masanya dia terasa dirinya dipergunakan oleh pihak penganjur apabila namanya digunakan untuk menarik orang ramai sedangkan dia belum membuat sebarang pengesahan kehadiran atau tidak tahu menahu langsung tentang kewujudan acara tersebut.

NEELOFA membuat keputusan untuk kurang menonjol dalam banyak majlis selepas ini supaya nilai eksklusifnya terjaga.



"Mungkin sebab hal-hal begini, maka timbul gosip saya besar kepala. Konon janji nak datang tetapi tidak datang. Ingin saya tegaskan sekali lagi, saya tidak pernah gagal menghadiri mana acara yang terdapat dalam jadual saya.
Memang saya rasa diri dipergunakan tetapi mahu buat macam mana sebab saya sendiri tidak tahu, jadi saya terima sahaja," katanya sedikit kesal.

1 comments:

Adi Kencana said...

Neelofa tgh sedih, Nurul Izzah tgh happy...

PENDUDUK FLAT 4 TINGKAT KERINCHI SIBUK PINDAH, NURUL IZZAH SENANG2 BERJOLI. Baca di sini...

http://apakecoh2.blogspot.com/

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.