CUKUPLAH 2 KALI....


“Cukup-cukuplah, saya harap tiada lagi tambahan masa,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berhubung ketetapan kementeriannya untuk tidak menyambung lagi tempoh pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P).


Hishammuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah memberi banyak masa kepada golongan majikan dan pejabat kedutaan untuk mengemas kini rekod rakyat mereka di negara ini menerusi proses pemutihan yang sudah dilanjutkan dua kali.

“Sudah dua kali kita (KDN) melanjutkan program pemutihan dan mahu semua pihak memandangnya sebagai usaha yang serius. Biasanya bila tiba di penghujungnya, kita akan saksikan pejabat KDN akan mengalami kesesakan.

“Saya nak beritahu kepada pihak majikan, kita sudah tambah masa dua kali atas permintaan majikan dan juga kedutaan dalam proses pemutihan ini. Saya harap tiada lagi tambahan masa dan kita nak teruskan dengan 3P (proses pemutihan), 4P, 5P dan akhirnya P yang keenam,” katanya.

Beliau berkata demikian sejurus mengadakan lawatan secara mengejut ke Pusat Setempat (OSC) di bawah Program 6P di Kompleks KDN, Jalan Duta, di sini, semalam.

Hishammuddin yang tiba jam 9.30 pagi dilihat terus meninjau keadaan kompleks berkenaan pada hari-hari terakhir proses pemutihan pekerja asing yang akan berakhir pada 10 April ini dengan keadaan kaunter secara keseluruhan adalah baik dan berjalan lancar.

Beliau berkata, melalui program pemutihan 6P, seramai 2.3 juta warga asing meliputi 1.3 juta Pati dan 1.01 juta pekerja asing sah sudah direkodkan maklumat serta data biometrik mereka.

“Dari segi keselamatan 6P itu 1P 'pendaftaran' adalah perkara yang paling penting bagi saya. Jadi 2.3 juta yang sudah berdaftar dengan kita melalui biometrik dan paling penting data mereka diperlukan terutama dalam membuat analisis.

“Setakat ini kita mempunyai rekod 2.3 juta yang sudah berdaftar dan akan bekerjasama dengan Interpol serta Singapura sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Menurutnya, sehingga kelmarin April lalu, 70,847 majikan mendapat manfaat di bawah Proses Pemutihan (2P), selain sudah mendapat kelulusan untuk menggaji 372,335 orang pekerja asing pada asalnya Pati.

“Mereka kini bekerja secara sah dalam pelbagai sektor seperti perkilangan, perkhidmatan, pembinaan, perladangan dan pertanian.

“Saya juga dimaklumkan Pusat Setempat Khas dibuka di atas permintaan pengusaha kebun sayur di Cameron Highlands pada 5 Mac 2012 hingga 23 Mac 2012 sudah memproses sebanyak 1,936 Pati yang membabitkan 336 majikan,” katanya.

Sehubungan itu, dia mengingatkan majikan supaya tidak menyalahkan KDN sekiranya mengalami kesukaran ketika mendaftarkan pekerja melalui program pemutihan sekiranya melakukan urusan terbabit pada saat akhir.

“Kalau sesak hujung-hujung nanti dan mereka (majikan) tunggu kali terakhir, jangan salahkan KDN sebab kita sudah buat dua kali permintaan majikan dan kedutaan yang tidak boleh proses dokumen kerana berurusan di saat akhir.

“Antara alasan biasa diberikan majikan sebab tidak cukup masa. Sudah dua kali dah (penangguhan). Jadi kita sudah beri masa,” katanya.



CUKUPLAH 2 KALI.... CUKUPLAH 2 KALI.... Reviewed by Empayar Pemuda on 8:29 PM Rating: 5

No comments:

Popular

Powered by Blogger.