Saturday, March 24, 2012


Mawar Nur Farisya Farid Alsuwad, 2 tahun, yang menghidap penyakit lumpuh otak, jantung berlubang dan injap jantung sempit, memerlukan RM35,000 bagi membiayai kos pembedahan di Pusat Perubatan Gleaneagles Intan, Ampang.



Ibunya, Sahida Ramli, 29, berkata, Mawar tiada masalah sewaktu dalam kandungan dan dilahirkan normal.

Bagaimanapun, dua minggu selepas dilahirkan, anaknya itu menangis tanpa henti dan hasil pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati otaknya dijangkiti kuman dan disahkan lumpuh otak.

“Setiap kali diserang penyakit, Mawar akan menangis tanpa henti, muka dan seluruh tubuhnya jadi kebiruan dan akan tercungap-cungap.

“Ibu mana sanggup melihat anaknya begini. Walaupun Mawar tidak mampu meluahkan kata-kata, saya dapat rasakan kesakitan yang ditanggungnya itu,” katanya.

Penderitaan Mawar itu juga menyebabkan Sahida dan suaminya, Farid Alsuwad Mohamed Maki, 34, menghadapi kesempitan hidup disebabkan kos rawatan setiap bulan.

Sahida mahu Mawar menjalani pembedahan segera di Pusat Perubatan Gleaneagles Intan, kerana hospital kerajaan tidak dapat melakukannya pada kadar segera.

“PPUM telah merujuk Mawar untuk menjalani pembedahan segera di Institut Jantung Negara (IJN), tetapi sehingga kini IJN telah beberapa kali menangguhkan pembedahan kerana kesihatan Mawar tidak mengizinkan.

“Akhirnya, doktor pakar di hospital kerajaan menasihatkan saya ke Gleaneagles kerana pakar perubatan di sana boleh melakukan pembedahan segera, namun saya dimaklumkan, kos perubatan di sana adalah RM35,000 dan ini di luar kemampuan kami.

“Semenjak Mawar sakit, suami terpaksa berhenti kerja kerana menumpukan perhatian sepenuhnya untuk menjaga Mawar. Sukar bagi pengasuh menjaga Mawar dalam keadaannya itu.

“Hanya saya bekerja, namun sebagai kakitangan kerajaan pangkat rendah, pendapatan bulanan tidak mencukupi bagi menampung kehidupan kami sekeluarga. Mawar juga perlu diberikan susu khas dan memerlukan lampin pakai buang,” katanya.

Sahida berkata, anaknya memperoleh elaun RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dibayar empat bulan sekali.

“Kami sekeluarga perlu ikat perut, dengan dua lagi anak yang bersekolah dan sewa rumah yang tertunggak. Tidak termampu bagi kami mengumpulkan RM35,000 itu,” katanya.


Orang ramai boleh menyumbang derma ke akaun Bank Islam milik Mawar 12-21602002450-1 atau menghubungi Farid di talian 010-5430339 atau Sahida (019-3939103).

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.